Boleh 'U-turn', jika salah - Tun Mahathir



TUN Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan boleh membuat 'pusingan-U' apabila perlu, sekiranya mereka membuat keputusan yang salah.

Perdana Menteri berkata, kerajaan, khususnya anggota Kabinet bukanlah manusia yang sempurna dan wajar untuk menarik balik keputusan salah untuk memperbetulkan kesilapan itu.

“Kadang-kala, apabila kita menuju ke jalan yang salah, kita perlulah berpatah balik namun hanya apabila perlu.

“Kita bukan manusia yang sempurna, walaupun sebahagian daripada kita adalah 'malaikat'.

“’Malaikat’ pun melakukan kesilapan dan apabila malaikat buat silap, mereka berpatah balik," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Petaling Jaya , hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Timbalan Presiden DAP, Gobind Singh Deo.



Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persepsi sesetengah pihak yang menyifatkan pentadbiran PH sebagai kerajaan 'pusingan-U' kerana kerap menarik balik keputusan atau dasar selepas dikritik rakyat.

Terbaharu, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik semalam menangguhkan mekanisme baharu bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), selepas mengambil kira keperluan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh.

Berhubung mekanisme bayaran balik yang mewajibkan potongan gaji peminjam itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengubah mekanisme berkenaan selepas mengambil kira pelbagai protes diterima daripada peminjam dan orang ramai.

“Ramai orang ada pandangan. Sebelum kita umumkan (mekanisme baharu bayaran balik PTPTN), mereka tak beritahu (pandangan).



“Bila kita umum, ada banyak la yang tak puas hati. Tapi untuk kita nak tanya 33 juta orang susah sikitlah. Bila mereka beri reaksi negatif, kita ambil perhatian," katanya.

Ditanya sama ada kegagalan Maszlee dan Pengerusi PTPTPN, Wan Saiful Wan Jan mengambil kira pandangan orang ramai sebelum memutuskan mekanisme itu, Dr Mahathir berkata, setiap manusia ada kelemahan.

“Kadang-kadang, benda tak sangka berlaku juga. Kita tak sangka PH menang. Manusia ada kelemahan, dia tak tahu apa nak jadi pada dirinya, keluar jalan saja kena langgar kereta, minta maaflah," katanya.

Sumber : Harian Metro

Sumber Boleh 'U-turn', jika salah - Tun Mahathir

0 Response to "Boleh 'U-turn', jika salah - Tun Mahathir"

Post a Comment