Manifesto secara umumnya merupakan satu bentuk kolektif janji-janji yang diwar-warkan akan ditunaikan jika sesebuah pihak memenangi pilihanraya dalam konteks moden. Karl Marx menamakan buku beliau sebagai “The Communist Manifesto” atas faktor ini demi memberi gambaran kepada pembaca buku tersebut apa yang pihak komunis akan tunaikan jika berjaya memerintah satu negara. Namun dalam majoriti perundangan dunia termasuklah perundangan Malaysia manifesto tidak diiktiraf sebagai satu kontrak. Sifat bukan kontrak manifesto ini bermakna jika sesuatu perkara dalam manifesto sesebuah pihak dilanggar pihak yang berkenaan tidak boleh dilanggar.
Di dalam kes yang telah dibicarakan dalam Mahkamah Rayuan Malaysia bernama Murtini Kasman Saman dan lain-lain lwn. Kerajaan Negeri Selangor, mahkamah rayuan telah memutuskan bahawa manifesto tidak boleh dipaksa perlaksanaan dengan undang-undang. Dari sudut pandangan luar kes ini telah meletakkan kedudukan tanggungjawab menunaikan manifesto sebagai tanggungjawab moral semata dan bukan tanggungjawab perundangan. Tanggungjawab moral bermaksud sesuatu perkara ini dari segi obligasi moral setempat digalakkan untuk dipenuhi namun tidak boleh dipaksa dengan perundangan untuk dipenuhi. Sebagai contohnya kamu mempunyai tanggungjawab moral untuk menderma kepada orang miskin. Namun kamu tidak boleh dipaksa untuk menderma kepada orang miskin menurut perundangan.
Biarpun hanya tanggungjawab moral ini tidak bermakna manifesto boleh dilanggar sesuka hati sekurangnya dari segi perspektif seseorang pemerintah. Ini kerana perkara yang sedemikian boleh menjejaskan populariti seseorang pemerintah dan ini sekali gus boleh menyukarkan pemerintah untuk kekal memerintah. Walaubagaimanapun permasalahan ini bukanlah permasalahan baru dari segi perspektif mengekalkan kuasa pemerintahan. Niccolo Machiavelli dalam kitab nukilan beliau bernama The Prince ada mengulas tentang cara-cara untuk kekal memerintah tanpa menunaikan manifesto secara penuh.
AMARAN: 1) Apa yang kamu akan mula baca di perenggan seterus biarpun diakui oleh sesetengah pihak berlaku dalam dunia sebenar, ianya TIDAK HARUS cuba dipraktikkan kerana ianya merosakkan objektif demokrasi dan menidakkan pilihanraya sebagai platform untuk rakyat memilih kehidupan lebih baik.
2) Sesetengah ejaan dan istilah yang saya akan guna bermula perenggan di bawah mungkin dari Bahasa Indonesia kerana saya membaca The Prince versi terjemahan Bahasa Indonesia. Biarpun saudara Zamir Mohyedin, penulis yang menterjemah The Prince kepada Bahasa Malaysia merupakan anggota The Patriot, saya tak jumpa dan sempat beli lagi The Prince versi terjemahan beliau maka saya akan gunakan The Prince versi Bahasa Indonesia untuk rujukkan artikel ini kerana buku itu sudah ada dalam simpanan peribadi saya.
Isu melanggar manifesto namun masih kekal memerintah dapat dikaitkan dengan ulasan Niccolo Machiavelli dalam perihal kerajaan gabungan. Pertama sekali perlu anda fahami disini kerajaan gabungan bukan bermaksud kerajaan yang ditubuhkan hasil gabungan kerusi beberapa parti politik dalam konteks Machiavelli. Menurut beliau kerajaan gabungan wujud apabila sesuatu penguasa yang sedia ada membentuk kerajaan dengan menambah wilayah baru yang di mana wilayah baru ini digelar wilayah gabungan. Dalam konteks silam situasi seperti ini berlaku apabila seorang raja berjaya menjajah wilayah baru melalui proses peperangan. Dalam konteks moden situasi ini berlaku apabila satu parti pembangkang yang memang sudah sedia memerintah beberapa negeri berjaya menawan negeri-negeri lain dan berjaya membentuk kerajaan pusat untuk sesebuah negara. Kerajaan baru ini bukanlah benar-benar baru biarpun Machiavelli mengangap ia satu spesies kerajaan baru. Bolehlah difahami kenapa beliau berpendapat sedemikian kerana pertukaran pemerintah jarang berlaku di zaman beliau berbanding dengan zaman moden di mana rakyat diberi peluang menukar pemerintah setiap kali tempoh beberapa tahun melalui proses pilihanraya. Saya sekadar tersenyum sinis apabila memikirkan bagaimanakah raut wajah Machiavelli andai beliau mendapat tahu yang bahawa proses demokrasi moden memberi peluang yang sedemikian kepada rakyat. Sebagai seseorang yang mempunyai fahaman dan sentimen mempertahankan pemerintahan selama mungkin dengan segala cara yang ada atau menghalalkan cara perkara ini tentunya menggugat fahaman beliau.
Machiavelli memberi ulasan yang kerajaan baru ini bakal menghadapi beberapa kesulitan untuk kekal memerintah. Majoriti masalah tersebut menurut Machiavelli berpunca dari penduduk wilayah yang baru dikuasai oleh kerajaan baru tersebut atau lebih tepat lagi kelompok rakyat yang menjatuhkan kerajaan lama. Machiavelli mengatakan rakyat-rakyat dari kelompok ini dengan senang hati menjatuhkan pemerintah lama mereka kerana mereka berharap mereka akan mendapat kehidupan yang lebih baik di bawah pemerintah baru. Harapan ini mendorong mereka mengangkat senjata menentang raja mereka sendiri bagi mengangkat raja baru. Adalah mustahil untuk menjatuhkan pemerintah yang menerima sokongan kuat oleh rakyat wilayah yang diperintah.
Dari sini juga bagaimana strategi pembunuhan watak lahir dalam konteks strategi politik demi memastikan rakyat membenci pemerintah mereka agar pemerintah baru dapat menguasai wilayah tersebut menggunakan harapan rakyat wilayah untuk kehidupan lebih baik. Ini kerana menurut Machiavelli walau betapa kuat pun pasukan tentera seorang raja mereka masih tidak dapat menguasai dan menjajah wilayah baru tanpa sokongan rakyat wilayah tersebut. Dalam konteks modennya pasukan tentera diterjemahkan kepada parti dan jentera politik, harapan pula diterjemahkan kepada konsep manifesto pilihanraya dan senjata pula kepada undian terhadap parti baru yang menjadi kerajaan.
Machiavelli seolah memberi gambaran kelompok rakyat ini biarpun berkesan bagi menjatuhkan kerajaan lama namun mereka bakal memberi malapetaka yang maha besar kepada kerajaan baru. Menurut Machiavelli kelompok rakyat yang berharap ini akan menerima bebanan yang seolah maha dahsyat pada persepsi mereka dari pemerintah baru. Perkara ini tidak akan dapat dielakkan dan sering berlaku menurut Machiavelli. Ini kerana dalam harapan yang melampau tersebut telah menyebabkan sentimen utopia yang sukar berlandaskan realiti. Dalam konteks silam bebanan maha dasyat itu menurut Machiavelli datang dari tekanan oleh tentera dan pemerintah untuk memaksa rakyat tunduk pada pemerintah baru, kelaparan dan kesesakan hidup yang timbul angkara tempoh darurat yang terlampau lama antara peralihan kerajaan dan juga beberapa perkara lagi.
Bebanan yang maha dahsyat tersebut dalam konteks moden mungkin datang dari keputusan-keputusan kerajaan seperti tidak menunaikan manifesto kerana kesukaran realiti, isu-isu bersabit cukai yang dikenakan pemerintah ataupun polisi-polisi yang dianggap menggugat majoriti rakyat. Machiavelli menyatakan bebanan-bebanan ini akan menyebabkan rakyat wilayah gabungan tersebut akan membenci dan menyimpan dendam kesumat terhadap raja baru mereka dan menyukarkan raja baru itu menjalinkan hubungan persahabatan dengan rakyat barunya biarpun rakyat itu membantu pemerintah menjalinkan . Hubungan persahabatan ini dalam konteks moden boleh diterjemahkan kepada populariti semasa seseorang pemerintah.
Machiavelli menambah lagi yang situasi ini akan menimbulkan dilema kepada pemerintah baru. Beliau berpendapat pemerintah baru ini secara dasarnya berhutang budi dengan rakyat wilayah yang telah mengangkat beliau menjadi pemerintah. Namun pemerintah baru tidak dapat menggapai harapan rakyat wilayah baru tersebut kerana kekangan semasa selain realiti dunia sebenar pentadbiran sesuatu wilayah. Pemerintah baru itu juga mungkin turut sama terbuai dan terikut rentak rakyat wilayah yang ingin dijajah dalam memberi harapan melalui dakyah dan propaganda sehingga harapan tersebut mencapai tahap sukar digapai. Sifat hutang budi ini menyebabkan pemerintah sukar mengenakan tindakan tegas terhadap rakyat wilayah barunya.
Machiavelli memberi contoh Louis XII seorang raja Perancis yang begitu mudah menguasai daerah Milan, namun dalam masa yang sama begitu mudah juga hilang wilayah tersebut. Menurut sejarah negara Perancis hilang Milan sebanyak dua kali. Kali pertama kerana penduduk Milan merasakan harapan mereka dikhianati oleh Louis XII dan Louis XII seorang raja yang maha keji sehingga mereka sanggup membuka pintu kota kepada kumpulan askar yang diupah oleh Ludovico. Kali kedua pula selain dari isu dari kehilangan Milan kali pertama yang tidak diselesaikan, ialah kerana Louis XII menurut Machiavelli tidak melakukan 5 perkara. 5 perkara tersebut dijadikan strategi bagi Machiavellisme dalam konteks moden untuk kekal memerintah tanpa perlu begitu menunaikan manifesto. Strategi-strategi oleh Machiavelli dalam perenggan-perenggan seterus bagi mengatasi masalah ini merupakan contoh klasik dan buku teks Machiavellisme dalam perihal matlamat menghalalkan cara kerana strategi-strategi tersebut seolah menyuruh pemerintah mempersetankan “hutang budi” ini jika ingin terus memerintah mengikut doktrin Machiavellisme.
Sebelum pergi kepada strategi-strategi tersebut adalah penting bagi kita memahami apakah itu wilayah yang sukar dikuasai dan apakah itu wilayah yang senang dikuasai menurut Machiavelli. Menurut Machiavelli jika wilayah yang memberontak berjaya ditawan kembali oleh seseorang pemerintah, wilayah itu sukar untuk terlepas kembali jika mereka melakukan 5 strategi yang dinyatakan oleh beliau. Antara contoh moden perlaksanaan 5 strategi ini yang berjaya ialah:
- Parti Konservatif UK berjaya menawan kembali UK setelah tewas kepada Parti Buruh dalam pilihanraya UK sebelum ini. Parti Konservatif kekal memerintah sehingga sekarang di UK.
- Parti Liberal Demokratik (LDP) Jepun berjaya merampas kembali Jepun setelah tewas dalam pilihanraya sebelum ini. Parti LDP kekal memerintah sehingga sekarang.
- Parti PAS di Malaysia berjaya menawan kembali Kelantan setelah tewas kepada Barisan Nasional di Kelantan dalam pilihanraya sebelum ini. PAS kekal memerintah Kelantan sehingga sekarang.
Menurut Machiavelli sebuah wilayah memberontak sukar dilepaskan jika berjaya ditawan kembali ialah kerana pemerintah tersebut telah belajar dari kesilapan dari kehilangan pertama kali (dalam istilah kejamnya ialah pemerintah tersebut kini sudah mengenali siapa yang boleh dipercayai dan siapa yang boleh diharap dan beliau boleh memusnahkan pihak yang menyebabkan kekalahan yang pertama) selain dari perlaksanaan 5 strategi yang digariskan oleh beliau.
Perihal lain pula bersabit topik wilayah yang senang dan sukar dikuasai ialah hubungan diantara pemerintah dan penduduk. Antara hubungan yang disebut ialah hubungan bahasa dan bangsa. Jika pemerintah mempunyai bahasa dan bangsa yang sama dengan wilayah baru yang diperintah wilayah tersebut merupakan wilayah yang amat senang untuk dipertahankan.
Lebihan lagi jika wilayah itu merupakan wilayah yang terlampau sering dijajah dan jarang mempunyai kerajaan sendiri. Wilayah sedemikian seolah sudah selesa untuk mengikut sahaja cakap pemerintah dan ianya akan menjadi lebih mudah jika pemerintah dari bangsa yang sama dan bercakap bahasa yang sama. Cara pemerintahan seperti ini amat laku dalam politik Malaysia di mana bangsa seseorang wakil rakyat di sesuatu parlimen sering sama dengan bangsa majoriti di sesebuah parlimen. Wilayah yang sama bahasa dan bangsa ini juga cukup sudah dipertahankan dengan semata menghapuskan kaum kerabat lawan penentang yang berada di wilayah tersebut. Bersabit dengan hal lain-lain pula, Machiavelli menyatakan tidak perlu begitu dipedulikan jika wilayah tersebut sama bahasa dan bangsa kerana ianya sudah cukup dengan adat-istiadat/uruf setempat tidak diganggu oleh pemerintah baru.
Machiavelli memberi contoh wilayah Brittany, Burgundy, Gascony, dan Normandy yang begitu selesa ditakluk Perancis kerana biarpun berbeza bahasa sedikit mereka masih mempunyai uruf setempat serta adat istiadat yang hampir sama. Secara ringkasnya untuk mempertahankan wilayah yang mempunyai bahasa dan bangsa yang sama ialah dua perkara, yang pertamanya kumpulan pemerintah lama harus dimusnahkan sehingga pupus, dan yang keduaannya adat istiadat dan uruf setempat yang sedia ada tidak diganggu oleh pemerintah baru.
Uruf setempat boleh bermaksud banyak perkara namun yang paling popularnya ialah perbezaan ringkas dalam agama yang sama namun berbeza mengikut kawasan setempat. Contoh dunia nyatanya uruf Indonesia tidak boleh dilaksanakan di Malaysia dan begitu juga sebaliknya. Antara contoh popular yang pernah bersabit dengan situasi ini ialah isu penggunaan khalimah Allah oleh bukan Muslim satu ketika dahulu. Biarpun ia uruf yang diterima di Indonesia namun ianya tidak diterima oleh uruf Malaysia dan sebarang cubaan menyentuh perkara sedemikian boleh menggugat pemerintah baru.
Begitu juga uruf dari norma seperti isu LGBT yang mana ianya merupakan norma yang diterima di negara-negara barat namun ianya merupakan norma yang tidak diterima di Malaysia jika pemerintah baru ingin mengekalkan pemerintahan. Sebarang konsep asasi manusia sama ada ciptaan barat dan lain-lain seolah dianggap sia-sia oleh Machiavelli jika ianya melanggar uruf setempat. Apa yang lebih penting menurut Machiavelli ialah mempertahankan pemerintahan walau dengan apa cara sekalipun.
Konklusinya menurut Machiavelli untuk wilayah jenis ini mereka ialah kelompok rakyat yang paling senang untuk diperintah tanpa menunaikan manifesto kerana mereka rakyat sebuah wilayah yang sering terjajah. Yang bertukar tangan dari satu kuasa penjajah lain. Yang hidup mereka tidak merdeka dan tidak mengenal erti kebebasan. Sudah cukup sudah asal kehidupan harian mereka tidak diganggu mereka akan terus mengikut telunjuk pemerintah tanpa banyak soal.
Itu untuk wilayah yang sama bahasa dan bangsa, bagaimana pula untuk wilayah yang berbeza bangsa dan bahasa? Wilayah seperti ini menurut Machiavelli adalah wilayah yang paling sukar untuk dipertahankan. Sehingga Machiavelli mengatakan hanya dengan usaha keras dan nasib yang baik sahaja wilayah seperti ini dapat dipertahankan. Wilayah seperti inilah di mana 5 strategi yang gagal di implementasi oleh Louis XII akan memainkan peranan.
Machiavelli menyebut di dalam The Prince:
“Louis made these five errors: he destroyed the minor powers, he increased the strength of one of the greater powers in Italy, he brought in a foreign power, he did not settle in the country, he did not send colonies.”
Secara ringkasnya 5 strategi tersebut ialah terbalikkan dari 5 kesilapan Louis XII yang akan menjadi: menguatkan kuasa-kuasa kecil, mengurangkan pengaruh kuasa besar, menolak kuasa asing, dan menempatkan koloni di wilayah baru tersebut.
Machiavelli menyatakan langkah terbaik dari 5 strategi tersebut untuk wilayah seperti ini ialah untuk seseorang pemerintah tersebut menetap di wilayah tersebut. Machiavelli mengulas lanjut yang strategi ini ada diguna pakai oleh pihak Turki terhadap orang Yunani. Strategi ini akan memastikan sesuatu pemerintahan akan berlangsung dengan aman serta bertahan lama. Dengan tinggal dekat dengan wilayah, sebarang khabar berita dapat didengari dengan pantas oleh seseorang pemerintah. Ini membolehkan mereka mengambil langkah awal untuk mencegah sebarang keburukan yang timbul.
Jika pemerintah itu tinggal jauh dari wilayah mereka mungkin cuma akan mendapat khabar berita setelah perkara itu mencapai tahap serius. Strategi ini juga menolak orang tengah dan membenarkan rakyat berurusan secara terus dengan pemerintah. Perkara ini penting demi memupuk rasa sayang terhadap pemerintah. Malah jika mereka berniat buruk pula mereka akan semakin takut dengan pemerintah kerana pemerintah itu selalu ada di kawasan wilayah mereka.
Bagi contoh dunia sebenar pula DS Najib Razak merupakan antara individu yang gagal mengaplikasikan strategi ini. Punca mungkin dapat dikesan dari kebergantungan beliau pada orang tengah untuk mendapat khabar berita dari wilayah. Kita dapat melihat perbezaan DS Najib Razak setelah beliau tidak lagi menggunakan orang tengah dari kualiti segi kualiti utusan Facebook beliau yang kini semakin bertambah kualiti berbanding sebelum ini yang mana utusan Facebook beliau sering dilihat lambat untuk mengejar sesuatu isu.
Manakala bagi Tun M pula beliau pernah hampir mengalami nasib dan kesilapan yang sama dengan DS Najib Razak sewaktu penggal terakhir beliau sebagai Perdana Menteri di bawah Barisan Nasional yang di mana ketika itu Barisan Nasional pernah merosot mendadak di bawah beliau hingga kehilangan negeri Terengganu. Namun mungkin deria Machiavelli Tun M jauh lebih tajam dari DS Najib Razak kerana beliau mengambil keputusan untuk meletak jawatan awal ketika itu dan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Pak lah yang mana di bawah Pak Lah BN mendapat peningkatan paling memberangsangkan dalam sejarah sehingga hampir tidak ada negeri di bawah pembangkang kecuali Kelantan yang kekal bersama PAS itu pun dikatakan seolah perbezaan satu undi sahaja dengan BN. Bagi isu kepantasan mendengar khabar berita kita boleh melihat bagaimana strategi itu digunakan oleh PH sewaktu PH baru memenangi pilihanraya dengan strategi sidang media yang diadakan hampir setiap hari pada ketika itu.
Tinggal dekat dengan wilayah dalam konteks mudah politik Malaysia ialah cuma turun padang, tidak menggunakan orang tengah, dan pantas memberi respons kepada isu bagi memastikan rakyat kenal pada pemerintah. Bagi PH pula parti komponen PH yang perlu memandang serius perkara ini ialah parti DAP kerana Parti tersebut cukup popular dengan tabiat politik memindahkan kawasan parlimen calon dan di katakan mempunyai tabiat sukar turun padang dan bergantung harap pada sentimen benci kerajaan pusat sebelum ini. Biarpun strategi seperti itu dahulunya menguntungkan DAP, DAP yang kini sebagai parti komponen gabungan yang menjadi kerajaan pusat dan bukan lagi pembangkang perlu mengubah tabiat tersebut jika mereka ingin PH terus memerintah jika menurut formula Machiavelli.
Strategi ke dua dari lima yang akan diulas ialah strategi koloni. Machiavelli menggalakkan kewujudan koloni yang seolah menjadi kunci pada memegang tampuk pemerintah wilayah tersebut. Machiavelli berpendapat tanpa koloni ada penduduk setempat baru di sesebuah wilayah seseorang pemerintah terpaksa mengeluarkan belanja besar dari segi ketenteraan untuk memastikan wilayah tersebut tidak memberontak angkara marah kerana harapan mereka untuk kehidupan lebih baik tidak dilaksanakan oleh pemerintah baru. Machiavelli menggalakkan raja baru merampas tanah dan rumah penduduk tetap di wilayah tersebut dan memberi tanah dan rumah tersebut kepada penyokong raja tersebut.
Menurut Machiavelli pelaburan untuk membina koloni jauh lebih murah dari perbelanjaan menguruskan tentera untuk menjaga keamanan. Beliau menyatakan mereka-mereka yang dirugikan, jatuh miskin dan terpinggir dari kesan strategi koloni tidak boleh melawan raja itu lagi. Manakala mereka yang tidak menerima kesan secara langsung dari strategi koloni pula akan merasa takut untuk melawan kerana risau mereka akan menerima nasib yang sama. Penderitaan mereka yang ditumpaskan itu juga perlulah besar menurut beliau. Ini kerana penderitaan kecil menurut beliau hanya akan mengakibatkan mereka ingin membalas dendam. Jika penderitaan besar mereka akan patah semangat dan tidak mampu berbuat apa-apa lagi.
Ada banyak cara strategi politik yang boleh diaplikasikan menurut konsep strategi koloni. Namun moral seakan melaung keras sewaktu menulis bahagian ini yang bahawa tidak ada satu pun strategi tersebut yang di bawah strategi koloni ini yang boleh dianggap tidak jijik. Namun memandangkan ini merupakan satu ulasan ilmiah terhadap Machiavelli dalam isu manifesto maka saya paksa diri saya tulis juga. Tanah Melayu pernah merasai strategi koloni sewaktu Tanah Melayu di bawah jajahan British melalui polisi pecah yang perintah yang dilaksanakan oleh British.
Konsep asas strategi koloni ialah mengubah demografi. Ia mungkin demografi penduduk setempat secara literal atau mungkin juga demografi kuasa yang tidak begitu literal. Demografi penduduk mungkin melibatkan isu gerrymandering (menyusun taburan kawasan peti undi untuk menguntungkan parti pemerintah), tanah hak milik kekal ataupun pemberian tanah pertanian seperti tanah Felda. Dari segi demografi kuasa pula ianya mungkin dari segi pemberian projek kepada penyokong setia, pembukaan cawangan parti baru di kawasan baru seperti di Sarawak serta juga lantikan jawatan secara politik kepada penyokong setia.
Strategi ketiga dan ke empat lebih melibatkan hubungan antarabangsa. Machiavelli menggalakkan pemerintah baru memelihara negara-negara tetangga yang jauh lebih lemah sebagai strategi ketiga dan dalam masa yang sama memperlemahkan negara-negara tetangga yang jauh lebih kuat sebagai strategi ke empat.
Machiavelli memberi contoh tentang bagaimana bangsa Aetalia mengundang bangsa Romawi masuk ke Yunani, menurut beliau lagi ke ke wilayah mana pun bangsa Romawi datang, mereka datang atas permintaan penduduk setempat. Beliau menambah lagi adalah tidak asing untuk sesebuah bangsa yang lemah apabila didatangi oleh bangsa yang lebih kuat, kelompok dari bangsa itu yang membenci pemerintah yang membenci pemerintah mereka sendiri akan meminta untuk bangsa yang kuat itu untuk menumbangkan pemerintah mereka sendiri.
Perkara seperti ini juga malangnya pernah berlaku di Tanah Melayu apabila ada kelompok penduduk Tanah Melayu ketika itu meminta bangsa Jepun yang lebih kuat untuk menghalau British. Biarpun kesan penjajahan Jepun memberi kesan negatif kepada Tanah Melayu selepas itu. Kita juga ada melihat strategi ini diguna pakai sewaktu PRU14 dengan penglibatan DOJ dari US dalam kes 1MDB. Siapa pun yang betul atau salah dalam isu 1MDB, contoh penglibatan DOJ merupakan contoh klasik strategi Machiavelli. Strategi ini merupakan cara yang terbaik untuk mengembangkan kuasa pemerintah baru di kawasan-kawasan sekitar.
Bangsa Romawi dikatakan sering menggunakan strategi ini sehingga mereka menjadi kuasa besar dunia. PAS juga sama ada secara sengaja atau tidak sengaja seolah menggunakan strategi ini untuk menawan negeri Terengganu sewaktu PRU14 kerana Terengganu merupakan jiran tetangga negeri Kelantan yang dominan di bawah PAS. Terengganu yang sememangnya sedia lemah dari PRU13 dan ditambah pula dengan isu kemelut MB Terengganu menjadikan Terengganu contoh klasik untuk dilaksanakan strategi Machiavelli ini kerana Kelantan hanya berjiran dengan negeri Terengganu.
Berkenaan melemahkan kuasa besar pula boleh dilihat aplikasi strategi itu melalui tindakan Tun M menekan Singapura yang merupakan jiran Malaysia yang kuat serta China yang kini antara kuasa besar dunia melalui pembatalan atau kajian semula atau perbincangan semula projek-projek yang sedia berjalan dengan negara China. Asas yang paling utama strategi ini ialah untuk bersedia berhadapan dengan perkara yang belum lagi berlaku. Strategi ke tiga dan ke empat ini amat kritikal kerana kini manifesto bukan sahaja melibatkan kawasan setempat malah kawasan luar dari wilayah.
Strategi ke lima dan terakhir ialah menolak campur tangan kuasa asing. Biarpun campur tangan kuasa asing menguntungkan sebagai pembangkang atau pihak yang ingin menjajah menurut Machiavelli, namun sebagai pemerintah perkara ini amat merugikan mereka tambahan lagi jika pemerintah itu merupakan pemerintah yang baru sahaja berkuasa. Walaubagaimanapun konsep kuasa asing menurut Machiavelli bukanlah negara lawan. Sebaliknya ia merupakan sekutu yang bersama ketika berjuang namun boleh mengungkit kuasa pemerintah baru di kemudian hari.
Dalam kata lain Machiavelli berpendapat bukan semua sahabat yang berjuang bersama demi kuasa boleh dipercayai setelah mendapat kuasa. Machiavelli memetik tentang bagaimana Louis XII dikatakan telah membantu Pope Alexander menduduki Romagna demi mendapat sokongan gereja untuk merampas Milan. Walaubagaimanapun Machiavelli berpendapat tindakan itu seolah memperkenalkan kuasa asing di Milan dan ia telah melemahkan kedudukan Louis XII sendiri sebagai pemerintah.
UMNO dilihat jelas menggunakan strategi ini sewaktu pemilihan Agong UMNO baru-baru ini yang mana mereka telah menolak keras sebarang calon yang dilihat mendapat sokongan dari pemimpin Parti PH. Mereka sebaliknya memilih DS Zahid Hamidi yang ketika itu dilihat tidak mendapat sokongan langsung dari mana-mana kepimpinan PH. Dari sudut PH pula saya seolah merasakan konflik yang hampir mula timbul antara Azmin Ali dan juga Rafizi Ramli yang mana Azmin dilihat lebih mesra Tun M manakala Rafizi Ramli pula tegar di belakang DSAI. Sedikit sebanyak ini juga melambangkan simbolik antara hubungan Tun M dan juga DSAI. Sama ianya akan mengikuti acuan strategi Machiavelli pula.. saya tidak mampu meramal masa depan dan biarlah peredaran masa yang menjelaskan apa yang tidak jelas.
5 strategi tersebut merupakan ringkasan tentang bagaimana strategi Machiavelli dalam berhadapan harapan rakyat dan mengekalkan pemerintah, atau dalam konteks modennya mengurangkan impak ketidakbolehan perlaksanaan manifesto dan mengekalkan pemerintahan dalam masa sama. Jika dingin diulas lagi 5 strategi ini hanyalah asas. Ada lagi kembangan lain kepada strategi-strategi lain jika diteruskan bacaan selanjutnya dalam The Prince. Namun itu mungkin diulas di masa akan datang. Saya sudah cuba menulis artikel ini seobjektif dan seadil mungkin tanpa mengira pihak. Harapnya matlamat itu tercapai.
Saya akhiri dengan peringatan dari Machiavelli tentang jalan menuju kekuasaan:
“Barang siapa yang membantu orang lain untuk memegang kuasa (berbanding diri sendiri), maka individu itu telah menempah kecelakaan terhadap dirinya sendiri. Kerana jalan ke arah kekuasaan itu sering hadir dengan tipu daya serta muslihat, malah mungkin dengan kekerasan, dan perkara-perkara itu tidak akan dipercayai oleh orang yang telah berkuasa.”
0 Response to "Strategi Memerintah Tanpa Menunaikan Manifesto Menurut Niccolo Mchiavelli"
Post a Comment