IAG Guardian – Aset Penjaga Keamanan ATM sebaris kenderaan The Rock dalam F&F

Baru-baru ini Menteri Pertahanan, YB Mohamad bin Sabu telah melaksanakan lawatan kerja rasmi ke Sektor Barat UNIFIL di Maarakeh, Lubnan di bawah kawalan dan jagaan Malaysia Battalion (MALBATT) 850-5. Beliau juga berkesempatan merasmikan aset ATM terbaru di sana iaitu IAG Guardian, kenderaan perisai pacuan 4 roda buatan syarikat IAG.

ATM telah menerima sebanyak 9 buah kenderaan tersebut, dan masih dalam proses penerimaan dan penyesuaian bagi kegunaan anggota pengaman PBB di sana. Kenderaan tersebut akan menjadi kenderaan ronda (patrol) bagi anggota tempur dan anggota simpanan (reserve). Selain itu ia juga berkeupayaan sebagai kenderaan pengiring (escort) bagi konvoi VIP mahupun tugas am pengaman seperti Civil Military Cooperation (CIMIC).

Walaupun masih dalam proses penerimaan, keupayaan kenderaan beroda gergasi ini tidak boleh dipandang enteng. Sebaris dengan Terradyne Gurkha yang dipandu Dwayne The Rock Johnson di dalam filem francais Fast and Furious, IAG Guardian ini segah namanya. Dengan keupayaan enjin 67L Power Stroke V8 Turbo Diesel OHV 8 silinder, kelajuan purata kenderaan perisai berat ini boleh mencecah ke 110km/h walaupun beratnya mencecah 8 tan. Enjin buatan Ford ini dibantu lagi dengan torque maksimum 1600 rpm serta mempunyai 150 liter tangki minyak utama dan 106 liter tangki kedua.

Menarik juga kenderaan ini, sebagaimana kenderaan perisai yang lain – ia mempunyai run-on-flat-tires. Bermakna jika tayar tersebut pancit atau meletup, rim tayar tersebut mampu bekerja sebagai tayar dan menggerakkan kenderaan ke kawasan selamat sebelum dibaiki. Tiada istilah tayar pancit, tinggalkan kereta di belakang.

Kenderaan panduan sebelah kiri ini juga mampu membawa sekurang-kurangnya 10 anggota termasuk pemandu. Bertepatan dengan doktrin mekanize/armor kavalri TDM, keupayaan kenderaan dengan kuasa winch 12000 lbs ini sangat menbantu dalam apa jenis operasi yang akan dilaksanakan di bumi Lubnan nanti. Ditempatkan di bawah elemen tempur dan simpanan mobil, pastinya kenderaan ini mampu bertindak lebih pantas jika diperlukan dalam saat-saat genting. Jika berlaku kerosakan, kenderaan ini mampu menarik (tow) kenderaan yang sejenis dengannya dengan serta-merta.

Ditambah lagi dengan pertahanan armornya yang bertaraf STANAG 4569 Level II, kenderaan ini mampu bertahan dari serangan periuk api anti-manusia, IED dan juga tembakan tubi-tubi peluru 7.62mm (AK47). Keupayaan armornya sangat sesuai untuk diaturgerak di kawasan bergolak timur tengah dan selatan Rusia kerana kebanyakan kumpulan militan di sana menggunakan AK47 sebagai senjata utama personel mereka.

Jangan terkejut; cermin kereta juga mempunyai keupayaan armor setaraf badannya. Gabungan bahan kaca, polycarbonate dan Mylar menjadi tunjang keupayaan armor lutsinar kenderaan ini. Jikalau terdapat tembakan AK47 terus ke cermin, pasti dapat dipantul kembali.

Bersama-sama Radpanzer Condor, kenderaan APC Guardian ini diharap dapat terus berkhidmat dengan jayanya di bumi Lubnan. Kita tidak meminta berlakunya peperangan atau pergolakan, tetapi jika ada, kita sentiasa bersedia dengan selengkap-lengkap keupayaan. Insya Allah.

850-6 : BRAVE FOR PEACE

Sumber: https://ift.tt/2AJMX1a

Buku manual kenderaan IAG GUARDIAN.

0 Response to "IAG Guardian – Aset Penjaga Keamanan ATM sebaris kenderaan The Rock dalam F&F"

Post a Comment