i Suri : Pendaftaran bagi Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri) boleh dibuat oleh mereka yang layak bermula hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP untuk menyertai skim dengan mengunjungi mana-mana 67 cawangan KWSP di seluruh negara.
“Suri rumah, balu dan ibu tunggal yang profilnya didaftarkan di Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (eKasih), boleh menyertai i-Suri dan membuat caruman minimum sebanyak RM5 setiap bulan.
“Caruman itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam akaun simpanan persaraan mereka bagi melayakkan mereka menerima insentif kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan yang akan dimasukkan ke dalam akaun KWSP mereka,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Menurut Mohd Naim, individu yang layak mendaftar bagi i-Suri akan menikmati manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain.
“I-Suri memberi manfaat yang sama seperti ahli KWSP lain seperti dividen tahunan ke atas simpanan persaraan, Pengeluaran Umur 50, 55 dan 60, Bantuan Hilang Upaya, dan Bantuan Kematian.
“Ini adalah sebagai tambahan kepada insentif Kerajaan sebanyak RM40 setiap bulan,” katanya.
Berdasarkan statistik eKasih, seramai 221,890 suri rumah, 98,536 balu, dan 28,116 ibu tunggal dari golongan miskin tegar layak menerima insentif kerajaan itu selepas mendaftar untuk i-Suri.
Bagi maklumat lanjut mengenai eKasih, orang ramai boleh hubungi Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MGCC) di 03-8000 8000.
Penjelasan mengenai produk dan perkhidmatan KWSP boleh diperoleh daripada Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000 atau rujuk laman web KWSP di www.kwsp.gov.myatau mana-mana cawangan KWSP di seluruh negara.
Sumber: BH Online
Sumber i Suri : Pendaftaran i-Suri dibuka (Caruman Sukarela Insentif Suri)
0 Response to "i Suri : Pendaftaran i-Suri dibuka (Caruman Sukarela Insentif Suri)"
Post a Comment