Ulangtahun Satu Lebaran Sejarah: Pendaratan Di Bulan

49 tahun sudah berlalu sejak kejayaan program Apollo memberikan kita satu inspirasi yang luar biasa. Legasi yang ditinggalkan Amerika Syarikat sememangnya tidak dapat ditandingi. Bayangkanlah – langit dan bumi berjaya dihubungkan ketika kuasa-kuasa besar leka dengan Perang Dingin. Dan pendaratan di Bulan memberikan kita azam baru untuk menggerakkan segala kerja ke Marikh pula. Namun ramai yang lihat pada kejayaan 20 Julai 1969 sahaja, tanpa mengambil kira percaturan yang dimulakan hampir 10 tahun sebelumnya.

Sepanjang 1950-an, Amerika Syarikat sudahpun meletakkan mata di angkasa. John F. Kennedy sendiri menjaminkan dominasi Amerika Syarikat dalam hal ehwal penerokaan angkasa dan pertahanan dalam manifesto kempen beliau. Sepanjang demam pilihanraya, beliau mengecam kelemahan Amerika Syarikat akibat tindakan-tindakan Dwight Eisenhower. Maka pencapaian aeroangkasa bagi Kennedy akan mengembalikan prestij Amerika Syarikat.

Namun retorik beliau tidak dimanfaatkan selepas kemenangan dalam pilihanraya. Beliau tidak begitu arif tentang keperluan teknikal dan kewangan. Ketika itu juga, Kesatuan Soviet sudahpun bersedia untuk melancarkan kembara agung mereka. Amerika Syarikat turut tidak berdiam, dengan Projek Mercury misalnya yang melibatkan seramai 2 juta orang dengan bajet AS$270 juta (1965). Kejayaan Sputnik-1 dan Program Vostok menghidupkan semula azam Kennedy. Rakyat Amerika mula risau jika mereka ketinggalan dalam aspirasi angkasa.

Maka dalam satu sidang, John F. Kennedy berucap, “saya rasa negara ini perlu komited untuk mencapai sasaran sebelum habisnya dekad ini iaitu dengan mendaratkan seseorang di Bulan dan kembalikannya ke Bumi.” Tetapi beliau tidak dapat merasai keghairahan ketika Neil Armstrong meletakkan kakinya di permukaan Bulan. Sebanyak AS$25.4 bilion (1973) telah dibelanjakan untuk mencapai matlamat ini.

Sehingga hari ini Program Apollo dikatakan telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan teknologi. Memang benar komputer dan elektronik telah direvolusikan sehingga komputer riba pada hari ini pun merupakan benih semaian Program Apollo. Inovasi tanpa wayar NASA juga telah memberikan pembaharuan bagi peralatan Black & Decker seperti mesin-mesin tebuk, pemutar skru automatic dan apa-apa jua peralatan perumahan mudah alih.

Tetapi sumbangan program Apollo sebenarnya melangkau jauh daripada elektronik semata-mata. Pakaian angkasa yang digunakan NASA sendiri telah memperbaharui bumbung stadium misalnya Stadium Reliant, Texas. Malah fabrik pakaian ini juga kini digunakan pihak bomba atas keupayaan tanggung panas dan tekanan.

Banyak peralatan lagi pada hari ini merupakan warisan daripada program Apollo. Daripada alat pemantauan jantung ke panel suria, kita menikmati kehebatan-kehebatan saintifik di dalam sistem keselamatan anti-pencuri pun. Menggunakan kontrak NASA, Wyle-3S turut membina sebuah sistem untuk meneliti gempa bumi. Teknologi ion perak NASA juga merupakan alternatif terbaik bagi Caribbean Clear Inc. untuk membersihkan kolam renang tanpa menggunakan klorin ataupun bromin.

Tentu sekali usaha besar Amerika Syarikat ke Bulan telah menghasilkan keajaiban yang memudahkan hidup manusia. Disebabkan itulah langkah ke Marikh pula perlu diutamakan, kerana masa depan manusia sebenarnya terletak di luar angkasa.

0 Response to "Ulangtahun Satu Lebaran Sejarah: Pendaratan Di Bulan"

Post a Comment