Kekalkan sokongan Melayu terhadap UMNO jadi agenda Tengku Razaleigh

Mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO merupakan perkara pertama yang akan dilakukan Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya beliau memenangi jawatan Presiden parti pada pemilihan 30 Jun ini.
 
Veteran UMNO berusia 81 tahun itu juga bercadang meneliti keperluan untuk meminda perlembagaan parti supaya UMNO menjadi lebih mantap dalam memperjuangkan nasib orang Melayu dengan lebih berkesan.
 
"Cara kita bergerak sekarang tidak membolehkan kita bertindak dengan baik dan berkesan. Ada satu bahagian terdapat ratusan cawangan, kalau (bahagian) di Sabah ada 400 hingga 500 cawangan... ada cawangan diwujudkan semata-mata kerana perebutan jawatan dalam bahagian.
 
"Banyak juga perkara yang diwujudkan kerana duit semata-mata?kerana hendakkan kontrak dan subkontrak. Ini bukan asas perjuangan kita, jadi kita kena teliti semua ini, " katanya pada sesi soal jawab dalam majlis ramah mesra beliau bersama-sama pemimpin dan wakil UMNO Wilayah Persekutuan di kediamannya di Kuala Lumpur Khamisi.
 
Selain Tengku Razaleigh, jawatan tertinggi UMNO itu turut menjadi rebutan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin, Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, anggota UMNO Bahagian Bandar Tun Razak Mohamed Iqbal Maricair dan anggota UMNO Bahagian Iskandar Puteri Mohd Yusof Musa@Jamaluddin.
 
Mereka berlima disahkan bertanding jawatan itu selepas ibu pejabat UMNO hari ini mengeluarkan senarai calon-calon yang bertanding merebut pelbagai jawatan parti itu pada Sabtu dan 30 Jun ini.
 
Selain itu, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan dari 1976 hingga 1984 berkata beliau mahu memulihkan ekonomi dan standard kehidupan rakyat yang disifatkannya tidak setimpal dengan kemajuan dicapai negara.
 
"Yang penting kita kena utamakan ekonomi. Kita tidak mahu lagi rakyat hidup 'kais pagi, makan pagi; kais petang, makan petang´. Jangan kita kembali kepada ekonomi zaman dahulu. Sekarang pendapatan rakyat tinggi tetapi harga barang mahal, " katanya.
 
Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata beliau menerima dengan hati terbuka berhubung dakwaan kononnya UMNO Kelantan sepakat tidak menyokong pencalonannya sebagai presiden parti, seperti yang dilaporkan sebuah portal berita baru-baru ini.
 
Menurutnya suara yang tidak menyokong pencalonannya itu dapat ?menyegarkan´ amalan demokrasi dalam parti.
 
"Dahulu kita malu alah dan tidak berani menyatakan suara hati kita kerana disekat kepimpinan kita. Jadi, kita mesti berterus terang. Benar, ada ketua-ketua UMNO Bahagian Kelantan yang tidak memihak kepada saya tetapi kita belum dengar daripada ahli-ahli lagi, " katanya.
 
Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata tiada topik khusus ditetapkan pada program 'Debat Presiden UMNO' selama sejam yang dijadualkan pada 9.30 malam 29 Jun ini di Astro AWANI, dan beliau bersedia mengupas apa jua soalan yang dikemukakan kepadanya.
 
Setakat ini, hanya Khairy Jamaluddin yang menyatakan persetujuan untuk menyertai program debat itu.
 
Mengenai keengganan Ahmad Zahid menyertai program itu, Tengku Razaleigh berkata: "Kalau beliau (Ahmad Zahid) berkelapangan, eloklah hadir. "- 21/6/2018
 
 


Sumber Kekalkan sokongan Melayu terhadap UMNO jadi agenda Tengku Razaleigh

0 Response to "Kekalkan sokongan Melayu terhadap UMNO jadi agenda Tengku Razaleigh"

Post a Comment