Siti sangkal digam TV3, minta seni tidak dikaitkan dengan politik

Penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza menyangkal dakwaan beliau disekat atau digam daripada membuat kemunculan di stesen televisyen, TV3 seperti hebat diperkatakan sebelum ini.

Sebaliknya kata Siti, 39, pihak stesen televisyen itu ada menjemputnya untuk membuat kemunculan namun menyifatkan sebagai tiada rezeki kerana undangan itu sering bertindih dengan jadualnya.

“Saya bukan digam atau disekat untuk muncul di stesen televisyen tersebut seperti yang dikatakan ramai. Tidak ada istilah digam atau sebagainya.

“Cuma saya jarang muncul sahaja tetapi TV3 tak pernah sekat saya. Mereka ada juga jemput untuk hadir membuat kemunculan pada program terbitan mereka namun tak dapat penuhi kerana masa yang tidak sesuai selain jadual bertindih," katanya.

Siti ditemui pada majlis pertunjukan fesyen dan pelancaran butik Creacion & SimplySiti di Melawati Mall pada petang Ahad.

Ia juga adalah kemunculan pertama penyanyi itu selepas melahirkan cahaya mata pertama, Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.

Tambah penyanyi lagu Comel Pipi Merah ini, beliau berharap selepas ini tiada lagi mana-mana pihak yang mencampur-adukkan soal seni dan politik kerana ia adalah dua perkara berbeza.

Ini kerana baginya, seni itu adalah untuk dinikmati oleh semua orang tanpa mengambil kira fahaman politik dan sebagai penghibur beliau berhak untuk mengadakan persembahan di mana sahaja.

“Situasi menjadi artis ni memang sentiasa diberi perhatian dan ramai yang mengikuti. Tapi kita tak boleh campur aduk seni dan politik.

“Seni untuk semua dan tidak ada politik. Saya menyanyi untuk semua orang, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Sesiapa sahaja untuk dihiburkan,” ujarnya.

Sebelum ini, timbul spekulasi mengatakan Siti digam oleh pihak TV3 selepas anak tirinya, Asyraf Khalid mendedahkan penyanyi itu jarang dilihat muncul di stesen televisyen itu kerana pernah menyentuh soal kerajaan terdahulu selain menyatakan sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bercakap mengenai Creacion & SimplySiti, Siti berkata, beliau memilih Melawati Mall sebagai lokasi untuk membuka butik cawangan kelapan kerana lokasi berkenaan kebanyakannya adalah penduduk berbangsa Melayu.

Malah kata Siti, beliau tertarik dengan keterbukaan pihak pengurusan pusat beli-belah itu yang mengutamakan peniaga tempatan untuk berniaga di Melawati Mall.

“Melawati Mall adalah satu tempat yang strategik dan masih baharu. Kebanyakkan penduduk di sini juga adalah Melayu.

“Malah pihak pengurusan juga memberi peluang kepada peniaga tempatan seperti saya untuk membuka butik di situ dan memberi keistimewaan juga kepada kami,” katanya.

Bersempena dengan pelancaran butik baharu itu, Siti turut melancarkan koleksi baju raya yang dijual pada harga serendah RM219 di semua cawangan butik Creacion & SimplySiti.



Sumber Siti sangkal digam TV3, minta seni tidak dikaitkan dengan politik

0 Response to "Siti sangkal digam TV3, minta seni tidak dikaitkan dengan politik"

Post a Comment