Dr M ketuai pasukan petugas khas selesai isu masyarakat India

Perdana menteri mahu laksana janji PH kepada masyarakat terpinggir itu, kata Ahli Parlimen M Kulasegaran.

Perdana menteri mengambil keputusan untuk mengetuai Pasukan Petugas Khas kerana menteri berketurunan India belum dilantik.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau sendiri akan mengetuai Pasukan Petugas Khas bagi menyelesaikan isu berkaitan masyarakat terpinggir di Malaysia, terutama masyarakat India.

Dr Mahathir berkata pada satu sidang akhbar di ibu pejabat PPBM berkata masalah ini harus segera diselesaikan kerana ia sudah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).

Para peringkat ini, beliau sendiri akan mengetuai Pasukan Petugas Khas di samping Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Majlis Presiden PH, Ahli Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran berkata Dr Mahathir nampak sangat prihatin untuk menyelesaikan masalah berkaitan masyarakat terpinggir.

“Ini dibangkitkan tadi semasa mesyuarat Majlis presiden, dan Dr Mahathir sangat memberi perhatian dan prihatin berkenaan kebajikan masyarakat terpinggir, terutamanya kaum India,” kata Kulasegaran kepada FMT.

“Dr Mahathir juga memberitahu kami bahawa beliau sangat bersyukur kepada kaum India atas sokongan padu mereka kepada PH semasa pilihan raya umum ke-14.”

Naib presiden PH itu berkata Dr Mahathir memutuskan untuk mengetuai sendiri Pasukan Petugas Khas kerana menteri berketurunan India belum dilantik.

“Dr Mahathir akan mengetuai Pasukan Petugas Khas bagi menyelesaikan isu-isu yang menjejaskan masyarakat India dan apa yang dinyatakan dalam manifesto kami.”

“Ini termasuklah menyelesaikan isu orang India yang masih mempunyai kad pengenalan merah, orang India yang tiada kewarganegaraan dan juga mereka yang tiada sijil kelahiran, dan termasuklah isu seperti penukaran agama sebelah pihak. Beliau sudah meletakkan keutamaan bagi menyelesaikan masalah-masalah ini.”

PH berjanji orang India akan diberi pertimbangan yang sepatutnya dalam pembangunan Malaysia seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya gabungan itu

Kadar kemiskinan yang tinggi dalam kalangan orang India diperakui dan peruntukan RM4 bilion untuk 10 tahun dijanjikan untuk pembangunan komuniti itu. Berkenaan pendidikan, PH berjanji untuk menubuhkan sekolah menengah jenis Tamil.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Dr M ketuai pasukan petugas khas selesai isu masyarakat India

0 Response to "Dr M ketuai pasukan petugas khas selesai isu masyarakat India"

Post a Comment