Baliklah bantu kami selesai kes 1MDB, Daim nasihat Jho Low

Daim berkata, Jho Low ialah saksi terbaik dalam skandal 1MDB dan beliau tahu di mana ahli perniagaan itu berada.

KUALA LUMPUR: Majlis Penasihat Kerajaan mencadangkan ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low pulang ke Malaysia untuk membantu kerajaan menyelesaikan skandal 1MDB.

Pengerusi majlis itu, Tun Daim Zainuddin berkata, Jho Low merupakan saksi terbaik dalam siasatan kes 1MDB.

“Secara dasarnya, saya tahu di mana Jho Low berada, harap Jho Low cepat balik ke Malaysia dan bantu kita selesaikan masalah 1MDB,” katanya selepas mempengerusikan Majlis Penasihat Kerajaan di Menara Ilham hari ini.

Pada 14 Mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan berjaya mengesan lokasi Jho Low, tetapi permohonan mengekstradisi beliau ke Malaysia belum dikemukakan kerana kerajaan tidak dapat melakukan semua perkara serentak,

Sementara itu, Daim berkata, Majlis Penasihat Kerajaan yang ditubuhkan Sabtu lalu sudah mengadakan 40 mesyuarat dalam masa 6 hari dan menemui 50 individu termasuk pegawai kanan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Beliau berharap semua perkara yang diamanahkan kepada majlis itu dapat diselesaikan dalam masa 100 hari dan kerajaan baru dapat berfungsi dengan baik berdasarkan manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

Dalam perkembangan lain, Daim berkata, bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang terburu-buru mahu menjadi perdana menteri.

“Kadang-kadang dalam mana-mana parti politik, terdapat mereka yang tidak sabar. Mereka yang tidak sabar ini bukan Anwar. Anwar faham keadaan politik.

“Pemuda yang terburu-buru. Seperti kebanyakan orang muda, mereka terburu-buru.”

Katanya, Anwar menghormati pelantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ke-7.

“Saya bertemu Anwar beberapa kali dan Anwar ialah seorang ahli politik sangat berpengalaman dan dia mengetahui dengan begitu baik.

“Dia tahu apa manifesto PH itu (dan) Tun M sebagai perdana menteri sementara selama 2 tahun dan rakyat menerimanya.”


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Baliklah bantu kami selesai kes 1MDB, Daim nasihat Jho Low

0 Response to "Baliklah bantu kami selesai kes 1MDB, Daim nasihat Jho Low"

Post a Comment