7 Jenis Perniagaan Laris Yang Anda Boleh Buat Ketika Bulan Puasa.

Kedatangan Ramadan menjadi sesuatu yang amat dinanti umat Islam sedunia. Bulan yang penuh dengan kebaikan, keberkatan, lambakan pahala dan kasih sayang Allah, bulan yang ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam.

Bahkan kedatangan bulan Ramadan sering dinanti-nantikan terutamanya dalam kalangan para peniaga kerana bulan inilah melimpah ruahnya rezeki bagi mereka.

Menjadi usahawan segera bagi memanfaatkan peluang yang ada tidak salah, malahan kecenderungan dan kekuatan awda untuk memulakan perniagaan ini harus dipuji.

Malah yang tidak berniaga pun akan turun padang membuat kerja tambahan dengan menjadi peniaga pasar Ramadan yang menjanjikan pulangan lumayan.

Di sini Tim Majalah Niaga akan berkongsi dengan anda 7 jenis perniagaan laris yang anda boleh buat ketika bulan puasa.

#1- Kuih Raya.

Belum puasa lagi pasti order dah berderu masuk. Zaman teknologi ini semuanya dihujung jari. Kebanyakan rakyat Malaysia memang terikat dengan kerja hakiki jadi, membeli kuih tunjuk-tunjuk adalah kegemaran dan tradisi masa kini.

Jika anda memang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan kuih raya yang enak dan sedap dinikmati, jangan lepaskan peluang ini untuk memperlihatkan kelebihan yang ada.

Tetapi jangan risau jika anda tidak pandai membuat kuih raya, anda hanya perlu jadi agent terutama artis-artis ternama yang menjadi pengeluar kuih raya jenama sendiri. Silap-silap satu balang boleh dapat untung RM5-Rm10.

#2-Meniaga Bazar.

Malaysia akan dibanjiri dengan bazar-bazar ketika bulan Ramadhan tiba. Tumpuan orang ramai tentunya pada makanan dan minuman untuk berbuka. Jika anda hanya menjual minuman sahaja ianya cukup memberi keuntungan kepada anda.

Tetapi anda perlulah suntik sedikit kreativiti dalam meniaga di bazar. Jangan 100 peratus ikut orang lain meniaga. Contohnya anda ingin menjual minuman. Anda, cuba hasilkan satu minuman yang sedap dan akan menjadi tumpuan di bazar nanti.

Begitu juga makanan. Jika orang lain jual makanan seperti nasi lemak, nasi ayam, anda cubalah jual nasi 7 benua dengan harga mampu milik. Pasti ianya akan mendapat tumpuan!

#3- Baju Raya

Lihat bagaimana Jakel dah hasilkan baju raya koleksi raya 2018. Pantas dan cekap. Sebab nak curi hati pembeli ni bukan senang. Kena goda mereka dengan koleksi-koleksi yang dapat menggiurkan mata mereka untuk membuat pembelian.

Jangan pula nak jual baju raya yang dah tak releven pada zaman 2018. Nanti kecewa sebab tak ada pembeli. Kena ada cara untuk pancing pembeli. Jangan terlalu rakus nak menjual tetapi tak tahu sasaran pelanggan.

Fokus pada satu mekanisma jualan sahaja. Jika sasaran anda kanak-kanak, anda perlu tahu nak jual tudung ke, baju kurung ke, baju kebaya ke atau aksesori kanak-kanak yang lain. Jangan semuanya anda nak jual. Ke laut nanti.

#4- Produk Kecantikan

Wanita-wanita diluar sana sekarang ini tengah menyelam produk-produk kecantikan yang dapat membuatkan mereka nampak kurus dan jelita menjelang lebaran nanti.

Rebutlah peluang ini untuk mengandakan keuntungan anda dalam menghantui golongan ini untuk membeli produk kecantikan daripada anda.

Jangan teragak-agak untuk membuat jualan kerana itu sebelum menjual anda kena pastikan diri anda boleh dijadikan role model atau terstimoni terbaik dalam produk yang anda jual itu.

Wanita mudah ditawan dengan bukti. Jadi, buktikan keberhasilan yang ada depan mata mereka tentang produk jualan anda.

#5-Service Penghantaran Makanan Ketika Bersahur dan Berbuka

Ini jarang-jarang orang buat. Untuk berbuka pastinya dah ramai buat tetapi untuk bersahur minima. Nampak macam susah tetapi pasti akan jadi senang jika anda melihat keuntungan yang datang.

Perkhidmatan hantar makanan sahur dan berbuka ini memerlukan komitmen yang tinggi. Pastikan makanan di hantar tepat pada masanya dan tidak basi.

Anda hanya perlu fokus dikawasan kejiranan atau berdekatan dengan kediaman atau kedai anda. Sebab masa yang suntuk dan penghantaran pantas diperlukan. Kadang kala pelanggan suka buat pesanan saat akhir.

#6-Hamper Raya.

Jika tangan anda kreatif dalam bermain dengan bunga, anda perlu terjun dalam bidang seni niaga hamper raya ini. Fokuskan kepada dua sahaja. Hamper mampu milik dan hamper paling mahal. Dua sasaran pelanggan yang berbeza.

Lagi bagus jika anda berjaya dapatkan isi-isi hamper itu dengan kos yang rendah. Anda perlu kreatif dalam meletakkan isi hamper. Jangan terlalu sarat dan jangan pula terlalu sedikit.  Lagi molek jika isi hamper itu menarik dan luar biasa.

#7- Sampul Duit Raya.

Zaman sekarang ini dah jadi macam trend sampul raya siapa paling unik dan hebat. Zaman dulu-dulu berebut orang minta sampul raya daripada bank-bank untuk isi duit raya bagi kepada kanak-kanak yang datang beraya.

Tapi, sejak dua menjak ini tumpuan kepada sampul yang mempunyai gambar kartun mencuri perhatian. Contohnya gambar kartun-kartun yang paling disukai oleh kanak-kanak.

Ada juga yang ingin menghasilkan sampul raya berlatarbelakangkan gambar family sendiri atau lain-lain. Jadi gunakan peluang ini untuk menunjukkan bakat yang terpendam anda.



Sumber 7 Jenis Perniagaan Laris Yang Anda Boleh Buat Ketika Bulan Puasa.

0 Response to "7 Jenis Perniagaan Laris Yang Anda Boleh Buat Ketika Bulan Puasa."

Post a Comment