Wow! Rasanya Umie Aida Dan Faizal Hussein Bakal Menang Anugerah Pelakon Terbaik Tahun Ini

Wow! Rasanya Umie Aida Dan Faizal Hussein Bakal Menang Anugerah Pelakon Terbaik Tahun Ini

Apabila pelakon gred A bergabung, naskah ini menjadi begitu berkualiti dan wajib ditonton. (Gambar: Rojak Daily Skop!)

Tahun 1993 mungkin tahun paling menyeramkan buat seluruh warga Malaysia.
 
Boleh dikatakan satu negara ketika itu gempar dengan kes bunuh membabitkan Mona Fandey dengan seorang bekas ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Kes berkenaan dianggap antara kes paling ngeri dalam sejarah jenayah negara.
 
Disebabkan itu, nama Mona Fandey sendiri terpalit sebagai nama paling diingati sehingga sekarang.
 
Tarikh 2 November 2011 pula menjadi pengakhiran riwayat buat wanita ini apabila ia dijatuhkan hukuman sampai mati di Penjara Kajang.
 
Namun kisah mengenai bomoh ini tidak terhenti di situ…

AKHIRNYA KITA BERTEMU DENGAN DUKUN
 
12 tahun diperam, akhirnya kita bertemu.
Sekitar 2007, rakyat di negara ini sekali lagi dikejutkan dengan khabar angin mendakwa Mona Fendy bakal 'dihidupkan' semula.
 
Bukan dari alam nyata, tetapi menerusi karya filem!
 
Filem berkenaan pada awalnya didakwa diadaptasi berdasarkan kisah sebenar Mona Fandey.
 
Filem terbabit diarah Dain Said dan dibarisi pelakon hebat Datin Paduka Umie Aida, Faiza Hussein, Namron, Bront Palare dan ramai lagi.
 
Namun, hasrat untuk penonton menyaksikan filem berkenaan tidak kesampaian apabila Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) telah mengharamkan filem tersebut ditayangkan kepada umun.
 
Ini kerana jalan ceritanya didakwa agak kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga yang terlibat.
 
Bagaimanapun kisah 'pengharaman' filem itu telah berlalu hampir 12 tahun dan akhirnya filem ini ditayangkan.
 
Namun, adakah filem ini berbaloi untuk ditonton walaupun hampir 12 tahun berlalu?
 
Adakah benar filem ini mengisahkan perjalanan Mona Fandey?
 
Ikuti lima pandangan penulis mengenainya filem Dukun!
 
1. LAKONAN KELAS A DATIN PADUKA UMIE AIDA
 
Jelingannya saja sudah menaikkan bulu roma penonton.
Secara ringkasnya filem ini berkisahkan Karim (Faizal Hussein), seorang peguam yang sedang bergelut dengan kerjaya dan gangguan emosi berikutan kehilangan isteri dan anak perempuannya.
 
Pada masa sama, Karim ditawarkan peluang menjadi peguam Orang Kena Tuduh (OKT) bernama Dania Dahlan (Umie Aida) yang dipenjarakan selepas didakwa terbabit dalam kes pembunuhan kejam.
 
Kes pembunuhan Dania ini turut membabitkan ilmu hitam dari suku kaum Batak dan sepanjang perjalanan Karim membicarakan kes Dania, satu persatu perkara sisi ilmu hitam Diana terungkai.
 
Permulaan filem ini mengajak penonton supaya mengenali sejarah Diana itu sendiri.
 
Pengarah cuba membuka minda penonton mengenai sejarah pemberontakan dukun wanita di Indonesia dan bagaimana kedatangan Diana ke Malaysia dengan membawa tongkat sakti suku kaum Batak.
 
Tumpuan sudah pastinya kepada lakonan Umie Aida yang penulis anggap menjadi tunjang utama dan kekuatan filem ini.
 
Lakonannya sungguh menjadi sehinggakan penulis menganggap Umie Aida ini benar-benar Nadia, atau yang seorang lagi.
 
Tidak perlu pertikaikan adegan Nadia di dalam sel penjara dengan gaya akrobatik sambil membaca jampi serapah kerana ia mungkin babak lakonan Umie Aida paling seram dalam filem ini.
 
Umie menjiwai watak dengan cukup baik.
Jelingan mata dan gaya bersahaja Umie sudah cukup untuk membuatkan penonton melontarkan gelaran ‘perempuan psiko’ terhadapnya.
 
Malah, pujian harus diberi kepada Umie kerana melakukan babak seram yang tidak tercapai dek akal.

Babak menetak Datuk Jefri (Adlin Aman Ramlie), adegan jampi di dalam sel penjara, adegan memakan jantung manusia.
 
Semuanya dalam satu filem!

Umie Aida juga dikatakan hampir histeria ketika sesi pengambaran di Penjara Pudu.
 
Komitmen beliau sebagai pelakon wajar dipuji! Tidak mustahil sekali lagi mengondol anugerah pelakon wanita terbaik tahun ini.
 
2. FAIZAL HUSSEIN ‘STANDING OVATION’
 
Emosi diterjemahkan menerusi watak Karim ini berjaya diterjemahkan dengan cukup baik.
Mungkin agak berlebih-lebihan pujian diberi kepada Faizal, namun penulis tetap mahu menyatakan perkara ini.
 
Daripada awal kemunculan Karim (faizal) sehinggalah tamat, lakonan Faizal amat hebat dan meyakinkan.
 
Penonton pastinya boleh menjangkakan yang peguam ini sebenarnya bermasalah dan mempunyai gangguan emosi pada awal kemunculan wataknya.
 
Ekspresi muka Faizal sudah cukup menampakkan kekusutan bermain di dalam fikirannya.
 
Hilang isteri tanpa berita selama 10 tahun manakala anak perempuannya pula gagal ditemui kerana melarikan diri.

Kekusutan terbabit disulami dengan tanggungjawab untuk mengendalikan kes jenayah anak guamnya.
 
Itu belum lagi apabila dia berdepan dengan Diana. Semuanya diterjemahkan dengan lakonan mantap.

Sesekali kedengaran penonton mengelar Faizal comel pada babak ucapan ‘thank you’ ketika babak dalam mahkamah. (Anda saksikan sendiri)
 
Secara ringkasnya, lakonan pelakon ini cukup sempurna di mata penulis yang secara jujurnya jarang melihat lakonan Faizal berikutan usia yang masih kecil ketika era kegemilangannya.
 
Namun apa yang boleh dikatakan, Faizal antara pelakon terhebat di negara ini.
 
3. LAKONAN HEBAT NAM RON, SOFI JIKAN, HASNUL, ELYANA, SEMUALAH!

Siapa boleh pertikaikan lakonan Nam Ron.
Kalau hendak menyentuh tentang lakonan pelakon dalam filem ini, panjang lebar rasanya artikel ini.
 
Secara ringkasnya, semua pelakon menjalankan karakter mereka dengan bagus sekali.
 
Nam Ron sebagai  Asisten Superintenden Talib, berjaya menonjolkan karakter polis berpengalaman mengendalikan jenayah berat.
 
Kehadiran Bront pula sedikit sebanyak memberi selingan jenaka ringan kepada filem genre berat ini.
 
Sofi Jikan, Hasnul dan Elyana juga menggalas watak mereka dengan sebaik mungkin.
 
Namun apa yang boleh diberikan kredit adalah lakonan Mislina Mustafa menerusi watak Halimah dan Ramli Hassan sebagai Daud.
 
Watak sampingan tetapi memberi kesan.

4. KESAN KHAS DAN VISUAL YANG BUKAN CALANG-CALANG

 
Perlu diingatkan sekali lagi, filem ini diterbitkan pada 2007.
 
Bagaimanapun selepas menontonnya semalam, penulis tidak ada masalah dengan kesan khas atau visual pada filem ini.
 
Pengarahnya sendiri menyatakan filem ini telah menjalani proses 're-master digital' untuk menghasilkan bunyi, warna dan visual yang terbaik.
 
Bermula dengan visual anggota badan yang telah dikerat sehinggalah kepala manusia yang dipenggal.
 
Semuanya kelihatan realistik di mata penulis.
 
Bunyi efek tetakkan pada babak Fadzil (Sofi Jikan) menetak anggota Datuk Jefri juga ‘on point’.
 
Secara keseluruhannya, kesan khas dan visual pada filem 2007 ini masih relevan untuk tontonan 2018.
 
Tidak seperti filem diterbitan pada 2018 namun kelihatan seperti 2007.
 
5. HIDANGAN TERBAIK BUAT PEMINAT FILEM 'INVESTIGATIVE/THRILLER'

Adegan menetak Datuk Jefri antara paling 'kecut perut'.Jika anda menggemari filem bergenre ‘investigative’ dan ‘thriller’, anda harus menonton filem ini kerana ia menggabungkan kedua-dua elemen.
 
Filem ini mengangkat amalan ilmu hitam yang amat dekat dengan kepercayaan masyarakat di Malaysia.
 
Upacara memuja diterjemahkan bagi menimbulkan rasa seram berbanding penggunaan kelibat atau penampakkan hantu seperti kebanyakan filem seram lain.
 
Setiap watak juga dikembangkan dengan baik menerusi plot penceritaan yang tidak terlalu lambat dan tidak terlalu cepat.
 
Mungkin ada yang mengeluh filem ini tidak seram seperti yang diharap.
 
Namun jika anda memahami jalan cerita dan kisah utamanya, anda mungkin boleh mempertimbangkannya.

Malah setiap babak memainkan peranan penting kerana ia saling berkait rapat. Seperti puzzle!
 
Apakah kaitan watak Karim dengan Diana akan dirungkai satu persatu dalam filem ini.
 
Malah, watak Elyana sebagai Nadia juga ditonjolkan pada saat-saat akhir filem bagi merungkai segala persoalan bermain di fikiran anda.
 
Penulis biarkan kesemua persoalan itu untuk anda tonton di pawagam.

FILEM MONA FANDEY ATAU FIKSYEN?

Nama Mona Fandey terpalit sebagai nama paling diingati di negara ini.
Jadi, adakah filem ini berkisahkan Mona Fandey? Tepuk dada tanya selera!
 
Dari perspektif pihak produksi, filem ini berdasarkan beberapa fasa penyelidikan membabitkan kes berprofil tinggi di Malaysia dan luar negara.
 
Oleh itu, dakwaan filem ini diadaptasi daripada kisah benar adalah tidak tepat sama sekali.
 
Namun, bagi penulis yang turut membesar di zaman kes Mona Fandey, filem ini dilihat amat dekat pemikiran masyarakat Malaysia.
 
Senyuman Diana setiap kali tiba di perkarangan mahkamah menaiki kenderaan OKT juga amat nostalgik!

Filem wajib tonton! 12 tahun menunggu, kini sudah tiba masanya untuk anda bertemu Dukun!
Jika anda masih tertanya-tanya mengenai kehebatan karya ini, silalah tonton. Penantian hampir 12 tahun akhirnya terlerai!
 
Secara keseluruhan penulis beri 4/5.



Sumber Wow! Rasanya Umie Aida Dan Faizal Hussein Bakal Menang Anugerah Pelakon Terbaik Tahun Ini

0 Response to "Wow! Rasanya Umie Aida Dan Faizal Hussein Bakal Menang Anugerah Pelakon Terbaik Tahun Ini"

Post a Comment