Anwar Ibrahim perdana menteri ke-8?

Tidakkah penyokong PKR lupa memikirkan mandat yang diberi kepada Dr Mahathir dan kerana itu Anwar tak mungkin menjadi PM ke-7.

KOMEN

Oleh Mohd Firdaus Hamzah

Hipotesis – Pakatan Harapan berjaya memenangi pilihan raya umum ke-14. Tun Dr Mahathir Mohamad ditabalkan menjadi perdana menteri transit seperti yang dipersetujui oleh PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih kedudukan sebagai PM ke-8.

Adakah itu harapan Parti Keadilan Rakyat? Adakah itu hasrat golongan penyokong PKR – para reformis yang berjuang dalam reformasi? Hairan, bila kita lihat sepanduk-sepanduk yang tertera Anwar PM ke-7, adakah mereka lupa memikirkan mandat yang diberi kepada Dr Mahathir dan kerana itu Anwar PM ke-7 adalah satu andaian yang meleset.

Meleset kerana sekiranya menang sekali pun, Dr Mahathir adalah PM ke-7, memegang kembali jawatan perdana menteri. Maka Anwar tidak mungkin jadi PM ke-7. Mungkin harapan seterusnya, bagi mereka yang menyokong Anwar adalah Anwar menjadi PM ke-8. Lagu ini akan didendangkan, “Anwar Ibrahim sebagai PM ke-8” sebagai penyejuk hati dan gula-gula untuk menenangkan PKR.

Adakah Dr Mahathir akan meletak jawatan, dalam masa beliau mempunyai sepenggal untuk memimpin negara ini, untuk memberi laluan? Laluan bagaimana? Anwar bukan Ahli Parlimen – walau pengampunan diraja mengampunkan, beliau belum layak untuk diangkat menjadi PM. Mungkin akan ada Ahli Parlimen yang akan melepaskan jawatan dan pilihan raya kecil diadakan semata-mata mahu memberi tempat kepada Anwar. Mungkin itu jawapan paling logik untuk menempah tempat dan menyediakan kerusi untuk Anwar sebagai PM ke-8.

Namun, sementara menunggu perlepasan mana-mana kawasan Parlimen oleh Ahli Parlimen yang ada dan sementara menunggu PRK diadakan, adakah tidak mungkin komponen-komponen PH akan membuat pilihan mereka dan mengambil kira pula PH terbentuk dan PPBM memperoleh pendaftaran mereka. Panjang rupanya cerita untuk Anwar mengambil alih jawatan PM dari Dr Mahathir yang digambarkan menjawat PM ke-7 nanti.

Adakah ruangan ini akan disusun semula semata-mata untuk menjadikan Anwar PM ke-8, dalam Dr Mahathir sedang empuk duduk di atas kerusi PM – sebagai PM ke-7. Berapa lama agaknya untuk Anwar sampai semula dalam melunaskan hasrat menjadi PM ke-8. Bagi yang sedang berangan-angan Anwar PM ke-7 mungkin sudah berkecai, untuk menjadi pula PM ke-8, banyak pula yang mahu dilalui.

Dr Mahathir berjaya mencatur langkah untuk semua parti pembangkang – berjaya memberi angan-angan kepada wadah perjuangan Reformasi – PKR menimbulkan harapan palsu untuk Anwar menjadi PM ke-8 dan akhirnya bergolak semula PH.

Kadang-kadang bila kita melihat semua, amat mudah PKR dan sekutu terpengaruh dengan percaturan yang tidak sebenarnya untuk menzahirkan satu pakatan konon-kononnya memperjuangkan agenda rakyat. Dr Mahathir memang cekap dan seperti biasa semua akan tahu – sekali kuasa digenggam untuk meleraikan bukan mudah. Tidak semudah Pak Lah yang disergah terus melepaskan jawatan – itu pun memberi tarikh masa yang ditetapkan, bukan “immediate” untuk keluar dari pejabat PM.

Mungkin terus berangan-angan para penyokong Anwar melihat idola perjuangan terus tertipu dengan muslihat politik – kononnya PM transit menunggu Anwar Ibrahim bebas. Amat terkedu PKR sekiranya kelak PPBM menjadi PM ke-7 dan ke-8 dan tidak dari PKR. Mudah sekali mereka terserap dalam agenda Dr Mahathir dan kelak adakah tidak salah kalau demokrasi terpimpin Pakatan Harapan tidak lagi mencalonkan Anwar sebagai PM, malah seakan berpusing semula ke era Dr Mahathir membentuk legasi dan menurunkan kelak dalam kerangka feudalisme.

Adakah golongan yang berhempas pulas memperjuangkan kepimpinan reformasi mereka, Anwar Ibrahim untuk PM Malaysia, akan melopong kerana terperangkap dalam politik Dr Mahathir. Akan tiba ketika nanti, dakwaan “bukan Anwar yang diperjuangkan”, “kita bukan berjuang untuk individu”, dan soal Anwar tidak lagi relevan. Mungkin akan disaran untuk perubahan pada PRU-15 nanti – perubahan pucuk kepimpinan negara kita ini.

Hanya satu yang boleh diucap kepada penyokong Anwar: bersedialah untuk mencari ruangan melaksanakan reformasi ke-2, mahu menjatuhkan Dr Mahathir sebagai PM. Sejarah akan berulang kembali kerana kita gagal melihat atau kerana kita lupa. Sumpah Dr Mahathir mengenai Melayu mudah lupa berjaya – kerana PKR wadah perjuangan reformasi juga lupa.

Hipotesis ini bukan kosong. Pembacaan untuk Dr Mahathir terus berusaha mencatur politik dalam pembangkang terhasil. Maka tertipulah mereka yang memegang sepanduk Anwar PM ke-7. Mungkin PM ke-8 melihat Mukhriz dan Azmin Ali berebutan, memporak-perandakan politik negara ini kembali.

Harus kita fikirkan, keadaan politik yang sentiasa bergolak tidak menguntungkan rakyat. Kestabilan penting dan buat pengiraan yang betul tentang memilih siapa menjadi PM. Adakah kita sanggup melihat parti yang kononnya diharapkan memberi harapan sebetulnya sedang bergolak untuk kepentingan politik tersendiri. Tidak ada kerusi PM ke-8 untuk Anwar. Mungkin kena bersedia untuk laungan Reformasi ke-2 untuk lebih 10 tahun lagi.

Mohd Firdaus Hamzah adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Anwar Ibrahim perdana menteri ke-8?

Related Posts :

0 Response to "Anwar Ibrahim perdana menteri ke-8?"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect
This website attempted to run a cryptominer in your browser. Click here for more information.