Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukum 10 sebatan dan penjara 15 tahun terhadap lelaki yang merogol seorang wanita OKU. ― Paparan skrin GooglePETALING JAYA, 22 Mac ― Seorang penghuni rumah kebajikan yang merogol dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap seorang wanita kelainan upaya (OKU) yang juga penghuni rumah kebajikan itu dihukum penjara 15 tahun dengan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Azwarnida Affandi menjatuhkan hukuman itu terhadap P. Ravi Kumar, 40, selepas lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan itu pada perbicaraan kesnya hari ini dan juga setelah mendengar keterangan impak yang diberikan mangsa.
Tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pemasang paip itu mengaku bersalah dengan sengaja merogol wanita yang berumur 34 tahun yang merupakan OKU pekak dan bisu serta melakukan seks luar tabii terhadap wanita itu.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dalam tandas di sebuah rumah kebajikan di Bandar Sri Damansara, di sini, pada 3.30 petang, 19 Jun lalu mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebat serta Seksyen 377C kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
Bagi kesalahan merogol, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan tujuh sebatan manakala bagi kesalahan seks luar tabii, lelaki itu dihukum penjara lima tahun dengan tiga sebatan dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum terhadap tertuduh mengambil kira faktor trauma yang dialami mangsa akibat kejadian tersebut.
“Tertuduh dengan sengaja telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang lemah dan tidak berupaya, dan melihatkan keadaan mangsa ketika memberikan keterangan impak hari ini jelas menunjukkan dia masih trauma dan menangis semasa melihat tertuduh yang berada di dalam kandang tertuduh.
“Saya juga pohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat agar tertuduh dapat berubah dan menjadi pengajaran kepada masyarakat awam,” kata Norazalina.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia telah insaf dan ingin menjaga ibunya yang sakit.
Mengikut fakta kes, tertuduh yang sedang mencuci tangan di dalam tandas melihat mangsa keluar dari salah satu tandas di situ telah menampar dan menarik mangsa dengan mencengkamnya di bahagian lengan sebelum merogol dan memaksanya untuk melakukan seks luar tabii.
Tertuduh kemudian telah ditangkap di tempat kejadian oleh penghuni lain di pusat kebajikan tersebut yang mendengar teriakan dan tangisan dari mangsa yang ketika dijumpai di dalam tandas masih dalam keadaan berbogel.
Di luar mahkamah, Norazalina ketika ditanya mengenai mangsa semasa memberikan keterangan impak itu memberitahu media bahawa semasa pendakwaan bertanyakan mangsa berhubung hukuman terhadap tertuduh, mangsa telah membuat isyarat mencekik di leher bermaksud ingin tertuduh dijatuhkan hukuman mati. ― Bernama
Sumber Rogol OKU di tandas: Penjara 15 tahun, 10 sebatan
0 Response to "Rogol OKU di tandas: Penjara 15 tahun, 10 sebatan"
Post a Comment