Pelajar jual Audi TTS dakwa ditipu ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’

Sejak tahun lepas Nancy Chan menunggu seorang Datuk menyelesaikan bayaran RM100,000 yang dijanjikan.

Lim (tiga dari kiri) berkata kes Nancy (bertopi) yang ke-4 diterimanya.

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar wanita yang menuntut di institusi pengajian tinggi swasta di Lembah Klang mendakwa ditipu seorang ahli perniagaan bergelar “Datuk” yang tidak membuat bayaran penuh selepas kereta diserahkan.

Pelajar terbabit, yang hanya mahu dikenali sebagai Nancy Chan, 25, berkata Datuk berjanji untuk membayar RM114,000 pada hari yang sama sebuah kereta Audi TTS ditukar milik tetapi gagal dihubungi sejak Mei lalu.

Jual beli kereta dengan Datuk itu bermula di laman Mudah.my, kata Nancy pada sidang media di Pusat Khidmat Komunit DAP Segambut hari ini.

Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata kes Nancy ini satu daripada beberapa kes melibatkan individu bergelar Datuk itu.

Menurut Nancy, beliau setuju untuk menjual Audi TTS miliknya yang diiklankan di Mudah.my kepada Datuk itu pada 20 Mei 2017.

“Saya setuju untuk menjual kereta saya dengan harga RM114,000. Pada 22 Mei, Datuk dan saya telah selesai prosedur penukaran pemilikan dan saya telah menyerahkan kereta saya dan dokumen-dokumen di rumahnya.

“Selepas itu, Datuk berjanji untuk membayar RM114,000 pada hari itu secara atas talian dan dia menipu saya bahawa proses itu akan mengambil masa 2 jam sebelum saya menerima bayaran.

“Sehingga sekarang saya hanya menerima RM14,000 tetapi RM100,000 lagi masih belum diterima,” katanya.

Nancy cuba menghubungi ahli perniagaan berkenaan tapi tidak berjaya.

“Kereta itu telah dipindahkan ke orang baru yang lain,” katanya.

Nancy membuat laporan polis terhadap Datuk itu di Balai Polis Kota Damansara 6 September lalu, namun hingga hari ini polis tiada perkembangan terkini daripada pihak polis.

Sementara itu, Lim berkata kes Nancy ini kes ke-4 melibatkan Datuk itu yang diterima pusat khidmatnya.

“Orang yang sama menggunakan ‘modus operandi’ yang sama untuk mengambil kereta orang.

“Salah seorang mangsa berjaya mendapatkan kereta manakala seorang lagi gagal mendapatkan apa-apa.”

Lim juga berpesan kepada rakyat supaya berhati-hati dan berwaspada apabila melakukan urusan jual beli dalam talian.

Beliau juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dalam dakwaan terhadap ahli perniagaan itu.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Pelajar jual Audi TTS dakwa ditipu ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’

0 Response to "Pelajar jual Audi TTS dakwa ditipu ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’"

Post a Comment