
KUALA LUMPUR: Widuri Capital Management Sdn Bhd, syarikat pengurusan ekuiti swasta tempatan, menyasarkan melancarkan tiga dana berjumlah RM300 juta membabitkan pelaburan dalam hartanah dan pelaburan berpotensi.
Pengasas dan Pengarahnya, Siti Zurina Sabarudin, berkata tiga dana berkenaan terdiri daripada Dana Hartanah berjumlah RM100 juta, Dana Pertumbuhan I dan Dana Pertumbuhan II yang masing-masing berjumlah RM100 juta.
"Dana Pertumbuhan I yang membabitkan pelaburan berpotensi, akan melihat kepada industri berpotensi seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan pengguna.
"Manakala Dana Pertumbuhan II lebih melihat kepada peluang suntikan aset kepada syarikat tersenarai iaitu menerusi pengambilalihan serta membeli syarikat tersenarai bawah nilai," katanya ditemui selepas majlis pelancaran Widuri Capital Management, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Widuri Capital Management, Gakim Solomons.
Siti Zurina berkata, ketiga-tiga dana berkenaan akan didaftarkan pada akhir suku kedua tahun ini.
"Pelancaran ketiga-tiga dana berkenaan adalah langkah pertama syarikat kami untuk mendapatkan komitmen modal daripada pelabur dan institusi pelabur yang juga terdiri daripada koperasi serta individu kaya.
"Kami yakin ketiga-tiga dana ini adalah memenuhi permintaan pasaran kerana ia memenuhi keperluan serta kemahuan pelabur.
"Sememangnya pelabur mahukan pulangan yang bagus dan stabil. Dana yang dilancarkan itu juga adalah berdaya tahan kerana ia tidak terjejas dengan peralihan serta perubahan pasaran saham selain tidak terlalu bergantung dengan keadaan politik negara," katanya.
Beliau berkata, pulangan modal dana berkenaan tidak berisiko kerana ia jangka panjang, iaitu antara lima hingga tujuh tahun.
"Kami juga menjangkakan ketiga-tiga dana berkenaan mampu memberi pulangan lebih baik, antara 20 peratus hingga 30 peratus," katanya.
Mengulas lanjut Siti Zurina berkata, melangkah ke hadapan, Widuri Capital Management berharap untuk menjadi satu platform dana yang memiliki kepelbagaian dana, antaranya berkaitan dengan syarikat tidak tersenarai.
Sumber Widuri Capital sasar lancar tiga dana
0 Response to "Widuri Capital sasar lancar tiga dana"
Post a Comment