Kuala Lumpur akan menjadi hutan bandar 20 tahun akan datang, diliputi 30 peratus kawasan hijau. — Foto Reuters KUALA LUMPUR, 13 Feb — Tiada lagi ruang parkir terbuka di ibu negara 20 tahun akan datang kerana ia akan bertukar sebagai kawasan hijau yang menjadi tapak untuk perumahan mikro dan ‘Pocket Park’ atau lebih dikenali sebagai hutan bandar.
Pengarah Knowledge Management and Advisory of Urban Wellbeing Centre of Excellence (Urbanice) Malaysia Dr Azmizam Abdul Rashid berkata rancangan inovasi hijau itu sekali gus akan membuatkan bandar raya ini diliputi kira-kira 30 peratus kawasan hijau pada waktu itu.
“Sebagai usaha merealisasikan hasrat tersebut, kami akan mengenakan caj parkir yang tinggi sebagai langkah menggalakkan warga kota beralih menggunakan kemudahan pengangkutan awam.
“Dan bagi mengelak ruang parkir itu dibiarkan kosong kelak, pembangunan rumah mikro ini amat bertepatan kerana penduduk Kuala Lumpur dijangka akan meningkat kira-kira 70 peratus, hal ini kerana kita tak nak lot parking ini menjadi kawasan pembangunan bangunan bertingkat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas sesi perbincangan bertajuk ‘Transformasi Infrastruktur Hijau di Kuala Lumpur melalui Penyelesaian Bandar dan Inovasi’ bersempena Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) di sini hari ini.
Azmizam berkata pembangunan rumah mikro itu sekali gus menjadi alternatif penyelesaian masalah perumahan dalam bandar dan berharap model rumah yang dipamerkan di Medan Pasar sepanjang WUF9 itu dapat memberi gambaran awal kepada orang ramai agar mereka lebih terbuka dengan idea tersebut.
“Bagaimanapun kami masih dalam perancangan untuk bangunkan rumah mikro di parking lot dan pihak pemaju masih mengenal pasti lokasinya dan kawasan itu mungkin akan tertumpu kepada kawasan parkir yang besar.
“Selain itu, pihak kami akan bekerjasama dengan DBKL untuk memperluas ‘Pocket Park’ yang diterapkan dengan elemen rangkaian pejalan kaki di sekitar ibu negara agar dapat memberi kesegaran atau menjadi tempat rehat untuk pejalan kaki yang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.
Selain pembangunan infrastruktur, pembangunan kawasan hijau dan kawasan biru seperti sungai dan kolam di ibu negara perlu diberi keutamaan oleh pelbagai pihak agar Kuala Lumpur menjadi bandar raya yang lebih lestari. — Bernama
Sumber Tiada lagi parkir terbuka di KL 20 tahun akan datang
0 Response to "Tiada lagi parkir terbuka di KL 20 tahun akan datang"
Post a Comment