Polis serah kertas siasatan minggu depan

SEREMBAN: Polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian seorang pelajar maut dan dua lagi cedera terkena bilah pisau traktor pemotong rumput di Gemas, 13 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamazah Abd Razak, berkata kertas siasatan itu akan dihantar dan dirujuk kepada pihak pendakwaan, minggu depan.

"Kita (polis) sudah menerima laporan daripada Jabatan Kimia dan hasil analisis asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati wujud DNA mangsa pada bilah pisau dijumpai di lokasi kejadian.

"Kita juga sudah mendapat laporan daripada SIRIM (SIRIM Berhad). Kini, kita menunggu laporan pengendalian jentera daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada memerlukan lesen atau tidak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, siasatan terhadap pengendali jentera mesin rumput itu dijalankan mengikut Seksyen 304(A) Kanun Keseksaan kerana kecuaian menyebabkan kematian dan Seksyen 337 kanun sama kerana cuai menyebabkan kecederaan.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman, pelajar tingkatan dua, Nur Afini Roslan, 14, meninggal dunia selepas kepalanya terkena bilah pisau mesin rumput yang ditarik menggunakan traktor.

Dua lagi pelajar, Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13, pula cedera ringan dalam insiden itu.



Sumber Polis serah kertas siasatan minggu depan

0 Response to "Polis serah kertas siasatan minggu depan"

Post a Comment