KUALA TERENGGANU: Terengganu City FC (TCFC) mara ke pusingan kedua selepas bangkit mengetepikan Jerantut FA 2-1 dalam aksi pusingan pertama saingan Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.
Tuan rumah terlebih dulu mencemaskan gawang pasukan dari Pahang itu menerusi tandukan Jasmir Mehat pada minit ke-14.
Empat minit berselang, TCFC yang dibimbing bekas pemain kebangsaan, Md Noor Md Derus terus memberi tekanan kepada kubu lawan tetapi rembatan Jasmir sekadar menggegar tiang gol.
Jerantut FA yang bermain dalam Liga Bolasepak Rakyat (LBR) mengatur gerakan dengan melakukan dua percubaan pada minit ke-37 dan 38 namun buntu menghasilkan jaringan hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, gawang tuan rumah bocor hasil rembatan Mohd Arfiyahsah Abdul Jaafar yang menewaskan penjaga gol Muhd Muslim Yusof pada minit ke-64.

PEMAIN Terengganu City FC, Mohd Rahizi Mohd Rasib (tiga kanan) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan pada aksi Piala FA Pusingan Pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. - Foto Ghazali Kori
Begitupun, jaringan itu tidak kekal lama apabila tuan rumah yang bermain di Liga FAM bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan Mohd Rahizi Mohd Rasib pada minit ke- 67.
Mohd Rahizi muncul wira TCFC apabila meledak gol kemenangan hasil tolakan Izzaq Faris Ramlan lima minit sebelum tamat.
Terdahulu, Hanelang FC mengesahkan slot ke pusingan kedua apabila menewaskan Invictus FC 3-0 di Stadium Matshushita Shah Alam, petang tadi.
Sumber Piala FA: TCFC atasi Jerantut FA
0 Response to "Piala FA: TCFC atasi Jerantut FA"
Post a Comment