'Pakatan tidak mampu penuhi semua janji'

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui Pakatan Harapan (PH) yang diketuainya tidak mampu memenuhi semua janji ditabur pemimpin mereka, jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan menubuh kerajaan kelak.

Berikutan itu, Dr Mahathir berkata, pakatan itu terpaksa menilai semula kira-kira 60 janji pemimpin mereka setakat ini, sebelum disenaraikan dalam manifesto untuk dikemukakan kepada pengundi menjelang PRU14.

Beliau mendakwa, kepemimpinan PH tidak terikat kepada kenyataan dan janji dibuat pemimpin tertentu jika mendapati ia di luar kemampuan kewangan.

"Kita sedar bahawa sebelum kita menyiapkan manifesto, ramai pemimpin pakatan harapan yang membuat kenyataan tertentu (berhubung janji kepada rakyat).

Tak terikat janji

"Kita tidak terikat dengan kenyataan dibuat itu jika dapati tidak dapat dilaksanakan apabila menerajui kerajaan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Galeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Menara Yayasan Selangor, di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengerusi PPBM itu berkata pemimpin pakatan membuat 60 janji yang diharap dapat dilaksanakan walaupun mungkin tidak seperti diharapkan rakyat.

"Kita berpendapat, kewangan kerajaan ketika itu mungkin tidak boleh menampung janji yang keterlaluan.

"Berikutan itu, kita akan membuat janji setakat yang mampu sahaja dan akan mengeluarkan manifesto ini tidak lama lagi," katanya.

Mengenai pendaftaran pakatan harapan, Dr Mahathir berkata, PH akan membawa kes itu ke mahkamah pada Khamis ini berikutan tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak memberi maklum balas kepada permohonan membentuk sebuah pakatan.

PH menghantar permohonan sejak pertengahan tahun lalu dan mahu isu itu diselesaikan untuk bertanding pada PRU14.

Mengulas isu pembahagian kerusi peringkat negeri di antara parti dalam pakatan itu, Dr Mahathir berkata, masih ada beberapa pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang gagal dipersetujui parti dalam PH.

"Mereka (peringkat negeri) kalau tak dapat selesaikan pada Jumaat ini kena beritahu ibu pejabat dan perkara itu akan diangkat kepada Majlis Presiden untuk ditentukan di peringkat pusat.

"Segala keputusan selepas itu mesti diterima semua pihak. Setakat ini kita sudah selesai (pembahagian kerusi) empat negeri," katanya tetapi enggan mendedah empat negeri berkenaan.

Info: Antara janji pemimpin PH

  • Hapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST)
  • Turun dan hapuskan tol secara berperingkat
  • Turun caj pengangkutan awam
  • Pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim
  • Melantik Anwar sebagai Perdana Menteri selepas Dr Mahathir
  • Siaran Liga Perdana Inggeris (EPL) percuma
  • Isytiharkan aset semua menteri dan pegawai kanan kerajaan
  • Dua penggal tempoh jawatan Perdana Menteri
  • Stabilkan harga petrol
  • Kurangkan jumlah Menteri Persekutuan
  • Menteri Kewangan diasingkan daripada jawatan Perdana Menteri
  • Kaji semula kontrak kerajaan dengan syarikat asing
  • Pendidikan percuma kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah
  • Pulihkan FELDA
  • Ubah sukatan mata pelajaran Sejarah Sabah


Sumber 'Pakatan tidak mampu penuhi semua janji'

Related Posts :

0 Response to "'Pakatan tidak mampu penuhi semua janji'"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect
This website attempted to run a cryptominer in your browser. Click here for more information.