Malaysia nafi ditekan China - Zahid

BATU PAHAT: Malaysia menafikan menerima tekanan daripada China berhubung 11 etnik Uighur Islam dari China yang dilaporkan ditahan di Malaysia, selepas melarikan diri dari penjara Thailand tahun lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata perkara itu tidak timbul sebaliknya China membuat permohonan rasmi kepada Malaysia untuk mengekstradisi 11 etnik Uighur berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang melakukan siasatan terperinci mengenai penahanan 11 warga Uighur itu termasuk sama ada mereka terbabit dalam aktiviti militan Daesh.

"Malaysia berpegang kepada persetujuan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) yang dimeterai bersama China jadi tidak timbul kita ditekan mana-mana pihak termasuk China malah perjanjian berkenaan harus dihormati.

"Sudah menjadi kewajipan PDRM untuk melakukan siasatan rapi malah kita bekerjasama rapat dengan polis China berhubung isu ini.

"Malaysia juga mengguna pakai perjanjian MLA untuk ekstradisi rakyat negara kita yang terbabit dalam sindiket pemalsuan kad kredit di China tahun lalu.

"Jadi mana-mana pihak atau negara lain tidak perlu bimbang dengan langkah Malaysia menyiasat mahu pun jika kita mengekstradisi 11 etnik Uighur itu nanti, " katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan pada majlis Bersama Pelajar Kepimpinan Negara Sempena Minggu Haluan Siswa Pelajar Baharu Program Sarjana Muda semester II Sesi 2017/8, di Dewan Tunku Mahkota Ismail, UTHM Batu Pahat. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bersama Pemimpin Negara Sempena Minggu Haluan Siswa (MHS) Pelajar Baharu Program Ijazah Sarjana Muda Semester II Sesi 2017/2018, di Dewan Tunku Mahkota Ismail, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi yang juga Ahli Parlimen Sri Gading dan Naib Canselor UTHM, Prof Dr Wahid Razzaly.

Semalam, Reuters yang memetik sumber melaporkan, 11 etnik Uighur ditahan di utara Malaysia, dan China sedang berbincang dengan kerajaan mengenai pengusiran mereka.

Laporan itu mendakwa Malaysia berada dalam tekanan hebat dari China untuk menyerahkan mereka ke negara itu, bukannya ke Thailand.

Ditanya bila kerajaan Malaysia akan mengekstradisi 11 etnik Uighur itu, Ahmad Zahid berkata tiada tempoh masa ditetapkan berikutan siasatan masih lagi dijalankan.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, beliau mengingatkan mahasiswa memperkemaskan diri bagi menghadapi cabaran dunia kerjaya yang semakin tidak menentu.

Katanya, semakin ramai tenaga kerja diberhentikan berikutan tidak mencapai kompetensi yang dikehendaki pasaran kerja.

"Saya amat kecewa jika ada negarawan yang menghina dan memperlekehkan mahasiswa yang menjual nasi lemak, sedangkan itulah daya mandiri mahasiswa dalam memenuhi survival hidup ketika menunggu peluang kerjaya, " katanya.



Sumber Malaysia nafi ditekan China - Zahid

Related Posts :

0 Response to "Malaysia nafi ditekan China - Zahid"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect
This website attempted to run a cryptominer in your browser. Click here for more information.