Adakah bas ini yang bakal digunakan Terengganu? (Gambar: Gogopixlibrary)
Ini kerana di Melaka sebelum ini, orang ramai sudah mengetahui kewujudan bas 'amfibia' yang dikenali sebagai 'Duck'.
Konsep pengangkutan dua alam ini sebenarnya dibangunkan oleh Amerika Syarikat ketika Perang Dunia Kedua untuk membawa makanan dan kelengkapan tentera menerusi jalan darat dan juga kawasan air.
Namun, zaman berkenaan sudah pun berlalu dan teknologi terbabit kini diguna pakai sebagai kenderaan komersial untuk kemudahan pelancong seperti di Melaka.
Pelancong dibawa menyusuri jalan darat sebelum memasuki kawasan perairan melalui Pulau Melaka bagaikan sebuah bot. Ia secara tidak langsung memberi pengalaman baru dan unik.
TIBA GILIRAN TERENGGANU
Bagaimanapun, bas amfibia kini tidak tertakluk hanya di Melaka semata-mata kerana ia dikatakan bakal ‘menjengah’ ke Terengganu!
Bas dua alam ini digelar sebagai Ampicoach dan ia sebenarnya sudah lama ditempah. Bagaimanapun, ketibaannya terpaksa ditangguhkan disebabkan faktor tertentu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menerusi Utusan Online sudah pun mengesahkan ketibaan kenderaan berkenaan pagi hari ini.
Kenderaan berkenaan akan dipertontonkan kepada umum di pekarangan Kompleks Sukan Negeri, di Gong Badak mulai 25 Febuari ini hingga 3 Mac depan bersempena Ekspo Terengganu 2018.
Malah, bas Ampicoach ini akan digunakan sebagai tarikan pelancong apabila ia mula diperkenalkan di Tasik Kenyir tidak lama lagi.
PEMERIKSAAN RAPI UNTUK KESELAMATAN
Buat masa ini kenderaan terbabit ditempatkan di depoh Jabatan Kerja Raya (JKR) di Bukit Kecil untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan ini penting bagi memastikan aspek keselamatan di tahap terbaik memandangkan kerajaan tidak mempunyai kepakaran menguruskannya. Permit dan kelulusan daripada JPJ dan Jabatan Laut amat penting,” katanya.
Menurut Ahmad Razif, kenderaan dua alam itu adalah yang pertama seumpamanya di rantau ini dan yang ke-13 di dunia.
Bagi anda yang tertanya-tanya perbezaan antara bas dua alam Ampicoach ini berbanding Duck di Melaka, sama-samalah kita tunggu 25 Februari ini.
Sumber Kejutan Dua Alam Buat Warga Terengganu, Ampicoach Ke-13 Di Dunia Bakal Muncul
0 Response to "Kejutan Dua Alam Buat Warga Terengganu, Ampicoach Ke-13 Di Dunia Bakal Muncul"
Post a Comment