Kejar suspek curi kabel, kereta peronda polis terbabas

BAGAN SERAI: Sebuah kereta peronda polis terbabas akibat dihimpit sebuah kereta sewaktu adegan mengejar pencuri di persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga, Parit Buntar awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata, dalam kejadian 4.15 pagi, dua anggota polis berpangkat koperal telah menerima maklumat awam mengatakan ada sebuah kereta jenis Proton Wira sedang mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) di Jalan Siakap, di sini.

Katanya, dua anggota berkenaan menaiki kereta peronda jenis Proton Inspira menuju ke lokasi aduan, namun setibanya di sana, kereta mereka hampir dirempuh sebuah kereta dinaiki empat suspek yang cuba melarikan diri ke Pusat Bandar Bagan Serai.

"Kereta suspek terus memecut melalui Jalan Ipoh-Butterworth menghala ke arah Pusat Bandar Parit Buntar, manakala kereta peronda dinaiki anggota polis bertindak mengekorinya sambil meminta bantuan tambahan anggota Unit Kereta Peronda (MPV).

"Ketika menghampiri persimpangan lampu isyarat Simpang Tiga, Parit Buntar, kereta suspek bertindak menghimpit kereta peronda berkenaan sewaktu cuba dihentikan anggota polis terbabit, lalu terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melanggar penghadang jalan," katanya kepada media sewaktu meninjau keadaan kereta peronda itu di Pejabat Bahagian Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian hari ini.

Omar Bakhtiar berkata kesan kemalangan itu menyebabkan kereta peronda dinaiki dua anggota polis MPV berkenaan mengalami kerosakan di bahagian bonet belakang, lampu belakang, cermin belakang serta tayar dan rod tayar belakang pecah dan patah.

Namun kedua-dua anggota polis berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kereta suspek jenis Proton Wira, berwarna hijau gelap dan nombor pendaftaran tidak dapat dilihat kemudiannya melarikan diri menghala ke Jalan Taiping, Parit Buntar.

"Polis mengenal pasti empat suspek menaiki kereta itu merupakan lelaki Melayu, berumur lingkungan 20 hingga 25 tahun, berbadan kecil dan berpakaian gelap," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, siasatan polis di lokasi kejadian curi kabel di Taman Sri Siakap, Jalan Siakap di sini mendapati sejumlah kabel TM sepanjang 15 meter siap dipotong, ditinggalkan di sisi jalan bersama peralatan memotong oleh kumpulan suspek berkenaan.

Katanya kejadian itu merupakan kali kedua kes curi kabel TM berlaku di kawasan Jalan Siakap, di sini dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada Telekom Malaysia.

"Pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak turut dipanggil dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 43(1) Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh dan mencuri kabel," katanya.

Sehubungan itu beliau meminta mana-mana saksi kejadian tampil ke IPD Kerian untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan. -- Bernama



Sumber Kejar suspek curi kabel, kereta peronda polis terbabas

0 Response to "Kejar suspek curi kabel, kereta peronda polis terbabas"

Post a Comment