
MELAKA: Seorang janda muda dipercayai dalang kumpulan pecah tabung masjid di sekitar negeri ini dikenali sebagai Geng Siti Jeram, antara tiga yang ditahan polis, awal bulan ini.
Wanita berusia 32 tahun itu ditahan bersama anak lelakinya berusia 13 tahun dan seorang lagi remaja berusia 20 tahun di rumahnya di Kampung Jeram, Masjid Tanah, di sini, kira-kira jam 2 pagi, pada 2 Februari lalu.
Ketiga-tiga suspek ditahan dalam keadaan 'lalok' selepas hampir empat jam memecah tabung sebuah masjid di daerah Alor Gajah, di sini.
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Jalil Hassan, berkata penahanan semua suspek adalah hasil maklumat Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Ar-Rahman, Rantau Panjang susulan beberapa kejadian pecah tabung masjid.
"Tindakan pantas AJK masjid yang segera membuat laporan dan membawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) banyak membantu polis menyelesaikan kes ini dalam tempoh segera," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, Bukit Beruang, hari ini.
Beliau berkata, dalam kejadian di Masjid Ar-Rahman itu, janda berkenaan menunggu di dalam kereta PERODUA Viva, manakala anaknya bersama rakan memecah tabung masjid terbabit, kira-kira jam 10.20 malam pada 1 Februari lalu.
"Ketika kejadian, hanya terdapat sejumlah RM30 di dalam tabung masjid berkenaan dan ketiga-tiga suspek turut mengakui melakukan perbuatan itu. Polis juga percaya, mereka terbabit dengan beberapa lagi kejadian sama.
"Pemeriksaan juga mendapati, semua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan melakukan kegiatan itu untuk tujuan membeli bekalan dadah," katanya.
Abdul Jalil berkata hasil soal siasat juga membawa kepada penangkapan seorang penjenayah lelaki menggunakan nama Abu Hafiz.
"Suspek berusia 27 itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 11 malam pada 3 Februari lalu kerana dipercayai turut terbabit dalam kejadian pecah tabung lima masjid di sekitar Masjid Tanah," katanya.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengaitkan keempat-empat suspek dengan laporan kes pecah tabung masjid di negeri ini.
Semua suspek direman sehingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Sumber Janda muda dalang pecah tabung masjid
0 Response to "Janda muda dalang pecah tabung masjid"
Post a Comment