Dulu masa aku tulis pasal isu Cikgu Azizan dari sudut perundangan, ramai guru-guru yang mempersoalkan tentang undang-undang Malaysia.
“Oh.. Kalau macam tu lepas ni guru dah tak berhak didik lah?”
“Inilah udang-undang Malaysia.. Langsung tidak menyebelahi guru-guru. Lepas ni, lantaklah anak-anak korang nak buat apa. Kami dah tak nak ambil tahu. Nanti kalau diusik, kena saman pulak.”
“Hmmm didik salah. Tak didik salah.. Lepas ni biarlah anak-anak buat jahat. Cikgu ni mengajar je. Nak didik lebih-lebih, puffff.. Surat saman datang.”
Inilah lebih kurang bentuk komen-komen yang aku dapat, sampaikan aku dah malas nak reply satu demi satu. Yang lain tu, aku biarkan je.
Baru reda isu Cikgu Azizan, tup tup keluar isu seorang pelajar Tingkatan Dua ditemui hampir mati kerana menggantung dirinya.
Terdapat satu nota yang ditulis oleh pelajar ini mengatakan yang dia bersungguh-sungguh mengatakan bukan dia orang yang mencuri telefon milik guru dia.
Lalu cerita ni ditatap secara umum. Sebelum kejadian cubaan membunuh diri itu berlaku, guru sekolah budak perempuan ini dikatakan telah menuduh dia mencuri telefon bimbitnya.
Dia disoal siasat dengan cara memalukan, dan paling kejam, dikurung di dalam sebuah bilik oleh guru yang sama untuk membuatkan budak perempuan ini mengaku.
Setelah beberapa hari koma, Vasanthapiriya telah menemui Sang Pencipta.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Sebab kejadian macam inilah pentingnya penguatkuasaan undang-undang.
Undang-undang bukan dicipta untuk sekat aktiviti guru. Undang-undang bukan dicipta untuk menghentikan kerja guru untuk mendidik pelajar. Undang-undang bukan dicipta untuk galakkan murid-murid jadi lebih jahat.
Tapi undang-undang nak melindungi guru daripada berlebihan menggunakan kuasa mendidik.
Sebab, bila dah berlebihan, kesannya macam ni lah. Ada pelajar meninggal dunia. Kehidupan guru tu pun jadi sangat tak tenteram.
Bila dah jadi macam ni, barulah kita nak sanjung penguatkuasaan undang-undang.
Katakanlah, kalaulah kan, budak perempuan tu tak bunuh diri. Dia balik rumah, dia report pada mak ayah dia, lepas tu mak ayah dia report polis. Polis panggil guru tu, tangkap dia atas kesalahan memukul dan mengurung, lepas tu guru tu dihadapkan ke mahkamah.
Kau rasa, ada tak orang yang akan backup Vasanthapiriya?
Tak. Tak ramai yang akan backup.
Senario Cikgu Azizan tu akan berulang semula. Kita akan dendangkan balik skrip yang sama iaitu mengecam tindakan mak bapak Vasanthapiriya sebab report kat polis pasal isu ni.
Walaupun kes Cikgu Azizan tak sama macam kes guru Vasanthapiriya, tetapi berdasarkan pemikiran kita yang asyik menghentam penguatkuasaan undang-undang, kita pasti akan backup guru, dan akan mengecam Vasanthapiriya.
Namun, disebabkan kes ni dah jadi kes kehilangan jiwa, barulah kita nak kecam guru tersebut.
Kalaulah ada murid yang kena tampar dengan cikgu, dia balik rumah lepas tu bunuh diri dengan nota yang lebih kurang sama. Apakah kita akan backup guru tu atau kita akan backup murid tu? Pastilah kita akan backup murid tu, sebab murid tu dah meninggal dunia.
Takkan nak tunggu ada orang meninggal dunia baru kita nak ambil tindakan?
Jadi, dengan sifat Undang-Undang yang bukan sahaja dicipta untuk menghukum, tetapi ia juga untuk mencegah, maka Kementerian keluarlah macam-macam peraturan dan SOP untuk menghukum pelajar.
Dan dengan sifat undang-undang untuk mencegah, polis dan Pendakwa Raya bebas untuk mendakwa dan menangkap mana-mana kes berkaitan hukuman fizikal dan mental terhadap murid.
Sekali lagi, ia bukan nak halang cikgu buat kerja. Tetapi ianya untuk mengelakkan perkara-perkara buruk yang berlaku, seperti yang berlaku hari ini.
Apa pun, kita ikuti kes ini dengan rasional. Moga yang berhak itu mendapat haknya.
Moga tenang di sana, adik Vasanthapiriya.
Mufarwa Farid
Sumber Dah Meninggal Dunia Baru Nak Ambil Tindakan?
0 Response to "Dah Meninggal Dunia Baru Nak Ambil Tindakan?"
Post a Comment