BN fahami kehendak masyarakat India

SEREMBAN: Kerajaan Barisan Nasional (BN) begitu memahami kehendak masyarakat India, terutama membabitkan soal sekolah dan kuil, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, BN adalah sebuah parti yang mementingkan dua keperluan itu hinggakan di Negeri Sembilan, kuil digazetkan sebagai tempat yang tidak boleh dirobohkan.

"Baru-baru ini, ketika lawatan kerja saya di Langkawi, masyarakat India mengadu orang yang jadi Perdana Menteri selama 22 tahun membiarkan kuil diroboh.

"Di negeri ini (Negeri Sembilan), bukan saja sekolah, malah kuil turut dijaga. Saya memuji usaha Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang adil dalam pentadbiran dan ia selaras kehendak BN di peringkat pusat.

" Kita menjaga keperluan semua kaum, termasuk masyarakat India. Selepas ini, saya akan melancarkan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) buat masyarakat India bagi kategori B40," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Bertam di Bandar Sri Sendayan, di sini.

Yang turut hadir, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramanian; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaludin Abu Bakar dan Spekaer Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Dr Awaluddin Said.

Pengerusi BN itu berkata, pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan menepati falsafah BN, yang mengamalkan konsep berkongsi hasil negara, kekayaan, kuasa dan juga tanah.

"BN adalah parti politik yang mendokong dasar inklusif, adil dan progresif bagi melahirkan masyarakat yang sama rata," katanya.

Najib turut memuji pembinaan sekolah itu yang dijalankan Matrix Concepts Holding Berhad, membabitkan kos RM17 juta iaitu RM9 juta untuk pembinaan dan RM8 juta untuk nilai tanah.

"Dapat saya katakan ini adalah SJKT yang tercantik dalam Malaysia. Manakan tidak, tiada sekolah yang ada taman dalam perpustakaan.. tak ada sekolah yang ada auditorium megah seperti sekolah ini.

"Malah, bilik kaunseling di sekolah ini sebenarnya sesuai untuk orang politik," katanya yang menerima tepukan dan gelak tawa daripada kira-kira 3,000 tetamu yang hadir.

Sementara itu, Mohamad berkata, tiga sekolah kebangsaan dibina di Bandar Sri Sendayan, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

"Hampir RM30 juta dibelanjakan untuk tiga sekolah yang serba cantik ini. Masyarakat pastinya dapat menilai pentadbiran di negeri ini dan oleh itu, berilah sokongan kepada BN," katanya.

Mohamad turut mengumumkan SJKT Ladang Bukit Bertam akan ditukar sebagai SJKT Bandar Sri Sendayan.

Terdahulu, pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Telok Kemang di Dataran Kompleks Daerah dan Tanah Port Dickson, Najib berkata, BN yakin dapat merampas Parlimen Teluk Kemang daripada PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Malah, beliau berkata, BN juga yakin mampu menambah sekurang-kurangnya tiga lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menang dengan majoriti 2/3 di Negeri Sembilan.

Majlis itu turut dihadiri Mohamad dan Pengerusi BN Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.



Sumber BN fahami kehendak masyarakat India

0 Response to "BN fahami kehendak masyarakat India"

Post a Comment