Beri mandat lebih besar kepada BN - Zahid

KUALA NERUS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pengundi di Terengganu memberikan mandat lebih besar kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) bagi memastikan kesinambungan kejayaan di negeri ini.

Beliau berkata, 144 kisah kejayaan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif, sepanjang kepimpinannya sejak hampir lima tahun lalu akan memerlukan kesinambungan yang boleh menjadikan Terengganu menjadi negeri lebih berdaya maju.

"Tentunya kesinambungan ini dengan mandat yang akan diberikan adalah satu jawapan kepada apa yang sudah dicapai oleh rakyat Terengganu.

"Kita tahu bahawa mandat ini amat diperlukan kerana kita mahu Terengganu ada kerajaan yang lebih mantap," katanya berucap merasmikan Ekspo Terengganu di Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.

Selain Ahmad Razif, turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis, dan barisan kepemimpinan kerajaan negeri.

Ahmad Zahid berkata, beliau melihat sendiri perkembangan Terengganu yang semakin membangun pada setiap kali lawatannya ke negeri ini.

"Dalam keadaan ini kita lihat ia beri faedah secara langsung dan tidak langsung. Saya lihat setiap kali kunjungan ke Terengganu, pelbagai perubahan dibawa Menteri Besar.

"Tetapi kita jangan biarkan beliau keseorangan. Saya teruja melihat semangat berpasukan dalam Terengganu ini.

"Justeru adalah amat merugikan jika isu titik bengit dijadikan isu pokok," katanya yang juga memangku tugas Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata, Terengganu adalah negeri yang berpotensi dibangunkan dan hubungan baik kerajaan negeri dengan Kerajaan Pusat dapat memberi dokongan terhadap pemerkasaan Terengganu keseluruhannya termasuk politik dan pentadbiran.

"Jika dokongan dan sokongan diberi lebih kuat, saya berjanji lebih banyak peruntukan disalurkan untuk Terengganu.

"Saya juga ingin sampaikan komitmen bahawa jika mandat lebih besar diberi kepada Terengganu dengan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan datang lagi bantu Terengganu," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita apabila ditanya mengenai spekulasi mengenai calon PRU-14, Ahmad Zahid berkata, ia adalah perkara biasa setiap kali PRU menghampiri.

"Mereka boleh berangan-angan, tetapi kita mempunyai metodologi memilih calon dan kita sudah membuat kajian mendalam terhadap setiap calon berpotensi.

"Kita tahu siapa disukai rakyat dan siapa yang boleh memenangkan parti serta siapa yang boleh bekerja untuk kepentingan pengundi.

"Ini adalah antara kriteria tetapi kata putus senarai calon akan diumumkan Perdana Menteri selepas berbincang dengan Menteri Besar," katanya.



Sumber Beri mandat lebih besar kepada BN - Zahid

0 Response to "Beri mandat lebih besar kepada BN - Zahid"

Post a Comment