Biasa di akhbar, lelaki terkejut cucu sendiri didera

Seorang ibu berusia 22 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia, 16 Februari 2018. — Foto BernamaSeorang ibu berusia 22 tahun direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes seorang bayi perempuan berusia 46 hari meninggal dunia, 16 Februari 2018. — Foto BernamaBUKIT MERTAJAM, 17 Feb — Anggota keluarga bayi perempuan berusia 46 hari yang meninggal dunia akibat didera dalam kejadian di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah di sini pada Khamis masih terkejut dengan kejadian yang menimpa Nurul Ain Umairah Muhammad Firdaus.

Datuk kepada bayi itu yang mahu di kenali sebagai Saidon, 53, berkata beliau dan anggota keluarganya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu serta bersedia membantu siasatan dan menyalurkan sebarang maklumat yang diperlukan polis.

“Sampai hari ini pak cik masih terkejut dengan apa yang terjadi pada cucu keempat pak cik ini, memang langsung tak menyangka benda macam ini boleh terjadi selalunya dok baca dalam akhbar atau tengok dekat televisyen budak kena dera.

“Tapi kali ini kejadian itu terjadi dalam rumah pak cik sendiri, kami semua sangat sedih dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci demi keadilan untuk Nurul Ain Umairah,” katanya kepada pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Katanya beliau tinggal di rumah pusaka ibunya itu bersama anak sulungnya berusia 26 tahun dan dua anak kembarnya serta ibu bapa kepada Nurul Ain Umairah dan anak sulung pasangan itu, berusia setahun dua bulan.

Menurut Saidon yang bekerja sebagai pemandu lori sebuah kilang di sini, berkata beliau hanya mengetahui keadaan Nurul Ain Umairah selepas dihubungi anak lelakinya yang juga ayah kepada bayi itu semasa beliau berada di tempat kerjanya.

“Dia (anak lelaki) telefon maklumkan anak keduanya itu tidak sedar dan mahu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan saya kata bawa segeralah takut keadaannya makin teruk...selepas itu dia sekali lagi telefon beritahu Nurul Ain Umairah telah meninggal.

“Waktu itu saya memang sangat terkejut kerana sebelum ini cucu saya memang tidak menunjukkan sebarang perubahan atau sakit, saya terus ke HSJ untuk melihat keadaannya dan selepas itu polis memanggil kami ke balai untuk direkodkan keterangan selepas mangsa meninggal dunia dipercayai didera,” katanya.

Katanya anak dan menantu perempuannya juga tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan melayan dua anak mereka dengan baik serta beliau juga tidak pernah nampak pasangan itu memukul kedua-dua anaknya.

Saidon yang baru kematian isteri Disember lepas berkata sebelum ini anak sulung pasangan itu dijaga oleh arwah isterinya sejak kanak-kanak lelaki berkenaan dilahirkan dan ibu kepada Nurul Ain Umairah bekerja di sebuah kilang berhampiran rumah mereka.

Katanya sejak isterinya meninggal, wanita berusia 26 tahun berkenaan tidak bekerja dan menjaga anak sulungnya dan ketika itu dia juga sedang sarat mengandung Nurul Ain Umairah sebelum melahirkannya 30 Disember lepas.

“Kali ini dia uruskan sendiri dan mungkin dia letih atau tertekan kerana terpaksa menguruskan dua anak yang masih kecil tapi dia dan anak lelaki saya tidak pernah cerita apa-apa. 

“Mereka juga tiada masalah dan saya lihat kedua-duanya baik sahaja, cuma sekali-sekala itu adalah bergaduh suami isteri,” katanya.

Beliau berkata Nurul Ain Umairah memang selalu menangis dan beliau pernah bertanya kepada anak lelakinya mengapa bayi itu kerap menangis dan menasihatkan mereka agar membawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan jika dia sakit.

“Anak saya kata Nurul Ain Umairah ok saja sebab itu bila tiba-tiba dapat tahu dia meninggal sebab didera dengan kesan kecederaan yang teruk saya sangat terkejut dan jika ia dilakukan oleh mereka (ibu bapa mangsa) saya harap mereka dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Katanya anak sulung pasangan itu dijaga oleh beliau dan anak perempuannya namun sejak semalam kanak-kanak lelaki berkenaan kerap memanggil ayah serta ibunya terutama ketika mahu tidur serta bangun tidur.

Pada Khamis, Nurul Ain Umairah meninggal dunia kira-kira 10.45 pagi ketika dalam perjalanan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan berdasarkan laporan bedah siasat yang dijalankan, bayi itu meninggal dunia akibat pendarahan di luar otak dan selain itu terdapat banyak kecederaan lebam, luka dan calar di badan mangsa.

Berikutan itu, polis menahan sepasang suami isteri yang merupakan ibu bapa bayi berkenaan dan mereka direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Bernama



Sumber Biasa di akhbar, lelaki terkejut cucu sendiri didera

Related Posts :

0 Response to "Biasa di akhbar, lelaki terkejut cucu sendiri didera"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect
This website attempted to run a cryptominer in your browser. Click here for more information.