Seorang wanita yang bekerja sebagai guru memaksa tiga orang anaknya minum racun serangga sehingga mati sebelum dia cuba membunuh diri dengan minum racun yang sama dan mengelar pergelangan tangan dan lehernya sendiri.
Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu 21 Februari lalu di Banjar Palak, Indonesia, Septyan Parmadani, 33, telah memaksa tiga anaknya berusia 2, 4 dan 6 tahun minum racun serangga yang disediakan dalam plastik.
"Wanita itu dipercayai telah memaksa tiga anaknya membunuh diri dengan minum racun serangga. Ketiga adik beradik itu berada dalam keadaan tidak bernyawa ketika ditemui dan jenazah mereka kini sedang dibedah siasat di Rumah Sakit (hospital) Kasih ibu," kata sumber polis.
Sementara itu, ibu mangsa masih hidup dan sedang diberikan rawatan perubatan berikutan keadaannya yang agak kritikal.
Menurut dua orang saksi kejadian yang juga merupakan ahli keluarga pasangan berkenaan, kejadian itu berlaku pada awal Selasa lalu apabila Septyan dan anak-anaknya telah datang ke rumah adiknya untuk menumpang berteduh selama beberapa hari. Adiknya pada ketika itu tidak mengesyaki apa-apa kerana segalanya seperti biasa sahaja.
Jam 2.30 petang kemudian, suaminya, Putu Mohdiana, datang ke rumah dan mengajak isteri dan tiga orang anaknya itu pulang ke rumah. Tetapi Septyan menolak pelawaan suaminya itu, lapor Merdeka.com.
Lebih kurang jam 11 malam pada hari yang sama, adik mangsa sempat bertemu dengan Putu Mohdiana di depan pintu bilik dan apabila ditanya mahu ke mana, katanya dia akan kembali. Ketika itu, kelihatan Septyan sedang menyusui anaknya.
Pada pagi keesokan harinya, ketika adik mangsa mahu mengambil alatan mandian di bilik itu berasa curiga bila mana pintu yang diketuk berkali-kali tidak dibuka, malah tiada jawapan dari dalamnya.
Mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena, adik mangsa kemudian berusaha membuka tingkap bilik dan alangkah terkejut apabila melihat Septyan dan anak-anaknya sudah terbujur kaku. Di tangan Septyan ketika itu dilihat sedang memegang sebilah pisau dengan kesan luka di pergelangan tangan kiri dan leher kanan dipercayai cuba membunuh diri selepas membunuh tiga anak-anaknya itu.
Adik mangsa segera membuka pintu bilik dan memaklumkan tragedi itu kepada ahli keluarga. Empat anak beranak itu dikejarkan ke hospital. Tiga beradik berkenaan disahkan telah meninggal dunia, manakala ibu mereka masih sempat untuk diselamatkan.
Keluarga mangsa kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak polis. Berdasarkan laporan itu, polis telah menghantar pasukannya ke tempat kejadian untuk mengambil bahan-bahan bukti dan turut menemui bungkusan plastik yang mengandungi cecair racun penyembur serangga Baygon.
Polis sehingga kini masih menjalankan siasatan dan tidak menolak kemungkinan berlaku pertengkaran di antara suami isteri berkenaan.
Sumber Bertengkar dengan suami, isteri racun 3 anaknya sampai mati
0 Response to "Bertengkar dengan suami, isteri racun 3 anaknya sampai mati"
Post a Comment