Beat The System ‘dipinang’ syarikat rakaman AS

Kumpulan Beat The System membawa genre poprock mencipta nama di Amerika Syarikat. — Foto ihsan Facebook/Beat The SystemKumpulan Beat The System membawa genre poprock mencipta nama di Amerika Syarikat. — Foto ihsan Facebook/Beat The SystemKUALA LUMPUR, 26 Feb — Selepas Yuna dan Zee Avi, kini sebuah kumpulan muzik tempatan dikenali Beat The System pula dalam usaha mencipta nama di Amerika Syarikat.

Komposer kumpulan itu Adrian Puan, 29, berkata usaha mereka untuk menembusi negara tersebut berjaya apabila kumpulan yang membawakan genre pop rock menghantar pita ragaan kepada beberapa syarikat rakaman di sana pada 2014.

“Satu daripada label di sana (Monster Hits Record) menghubungi kami setelah mendengar pita ragaan kami. Wakil mereka datang ke Malaysia berjumpa kami dan membantu kami dari segi nasihat tentang bagaimana menembusi pasaran muzik Amerika Syarikat (AS),” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu rancangan Nine11 di Bernama News Channel, di sini hari ini.

Kumpulan itu yang kini berpangkalan di New York telah membuat beberapa persembahan sebagai artis jemputan sementara menunggu album sulung mereka bersama Monster Hits Record diterbitkan.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 2005 dengan hanya dianggotai oleh Gerald Storm, 30 (pemain dram), Stewart Sellan, 30-an (pemain gitar) bersama Adrian sebagai komposer telah ke Amerika Syarikat pada 2014  ntuk menjadi artis rakaman Monster Hits Record.

Di sana mereka berjumpa dengan penyanyi negara itu May Leigh, 29 yang bersetuju menyertai mereka.

Sementara itu, ketua kumpulan Gerald berkata Beat The System akan muncul dengan album sulung mereka pada tahun ini yang akan turut memuatkan sebuah lagu berbahasa  Melayu.

“Vokalis kami, May yang merupakan warga AS terpaksa belajar bahasa Melayu untuk menyanyikan lagu itu bagi menambat hati pendengar muzik tempatan.

“Kami juga akan membuat siri jelajah radio di AS yang merangkumi sesi temu bual dan persembahan akustik mengenai album ini pada  pertengahan bulan depan.

“Selain itu kami juga akan menjadi ‘opening act’ untuk konsert kumpulan popular AS seperti Maroon 5 dan Imagine Dragons pada musim panas nanti,” katanya.

Adrian berkata tindakan mereka mencuba nasib di AS setelah usaha menempa nama di persada tempatan tidak berjaya kini membuahkan hasil yang tidak disangka-sangka hingga berjaya menandatangani  kontrak dengan syarikat rakaman terkenal Amerika Syarikat.

Kumpulan itu kini sedang mempromosikan single terbaharu mereka berjudul Be Your Own, mengisahkan perjalanan hidup mereka termasuk suka-duka yang terpaksa dilalui.

“Banyak yang kami harungi sebelum berjaya menarik perhatian syarikat rakaman AS ini… Pada awalnya sesetengah pihak mentertawakan kami apabila kami beritahu mereka kami akan ke sana, malah ada yang kata jangan beranganlah, kalian orang Malaysia, tiada orang yang pernah dengar rakyat Malaysia berjaya mencipta nama di sana,” katanya.

Adrian berkata walaupun sering menerima komen negatif, mereka tetap bertahan dan terus berusaha untuk merealisasikan impian mereka. — Bernama



Sumber Beat The System ‘dipinang’ syarikat rakaman AS

0 Response to "Beat The System ‘dipinang’ syarikat rakaman AS"

Post a Comment