
KLANG: Sebanyak 1,129 saman dikeluarkan polis dalam Operasi Lampu Merah sempena Op Selamat 12 di seluruh negeri ini sepanjang dua jam operasi hari ini.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Pengkuatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superitendan Sahimi Husin berkata, operasi yang bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi adalah sebagai gimik perasmian pelancaran Op Selamat 12 Tahun Baharu Cina peringkat Kontinjen Selangor.
Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan pengguna termasuk melanggar lampu merah, tiada lesen memandu, memandu tanpa cukai jalan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan tidak memakai topi keledar.
"Kesalahan tertinggi direkodkan adalah melanggar lampu merah dengan 281 saman dikeluarkan, diikuti nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi iaitu 207 saman, tiada lesen memandu (193), tiada cermin sisi (151), tiada cukai jalan (130) dan lain-lain kesalahan (161).
"Operasi ini adalah sebagai gimik pelancaran Op Selamat 12 yang akan memberi tumpuan kepada mencegah kemalangan jalan raya, mengambil tindakan terhadap pesalah lalu lintas selain membuat rondaan pencegahan jenayah pecah rumah serta curi kenderaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Operasi Lampu Merah di persimpangan lampu isyarat pekan Meru, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Mazelan Paijan.
Dalam operasi itu juga, sebanyak 34 motosikal disita membabitkan pelbagai kesalahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara untuk tindakan selanjutnya.
Sahimi berkata, operasi selama dua jam itu dibahagikan kepada empat zon iaitu Zon Utara, Zon Selatan, Zon Timur dan Zon Tengah.
"Zon Utara membabitkan daerah Sabak Bernam sehingga ke Klang Selatan, Zon Selatan (Kuala Langat, Sepang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan Serdang).
"Zon Timur pula dari Hulu Selangor, Sungai Buloh, Gombak dan Ampang Jaya manakala Zon Tengah membabitkan Petaling Jaya, Kajang, Subang Jaya dan Shah Alam," katanya.
Sumber 1,129 saman dikeluarkan dalam Operasi Lampu Merah [BHTV]
0 Response to "1,129 saman dikeluarkan dalam Operasi Lampu Merah [BHTV]"
Post a Comment