“Tak Apalah Tak Ada Cinta Lagi, Janji Peminat Sayangkan Saya” – Khai Bahar

“Tak Apalah Tak Ada Cinta Lagi, Janji Peminat Sayangkan Saya” – Khai Bahar

Giliran Khai Bahar meraikan peminat. (Pic: Mohamad Bakar)

Siapa sangka cita-cita Khai Bahar yang asalnya mahu menjadi arkitek, akhirnya berubah menjadi penyanyi. Namun semua itu tidak pernah disesali jejaka kacak dari Perlis itu. Malah kenikmatan yang diraihnya sejak setahun empat bulan bergelar artis tak pernah dibayangi. Hanya mampu memanjat kesyukuran, dia terus mahu konsisten dengan apa yang dilakukan.

Malah sebagai artis baru, namanya juga bersih tanpa sebarang skandal atau gosip cinta. Jejaka kacak berusia 23 tahun itu selesa fokus dengan kerjaya tanpa dibebani sebarang cinta yang belum pasti lagi hujung pangkalnya lagi buat ketika ini.

Sedangkan artis seangkatan dengannya seperti Wany Hasrita, Tajul Rosli, Andi Bernadee, Sufian Suhaimi sebagai contohnya antara yang dihimpit kisah peribadi.

Tiada tekanan untuk bercinta.

“Memang tak ada pun gosip cinta saya. Saya pun tak bercinta dengan sesiapa lagi. Tak apalah, janji buat masa sekarang peminat sayangkan saya.

“Saya lihat tiada cinta di usia sekarang pun bukan satu tekanan besar. Lagipun perjalanan seni saya masih jauh lagi untuk diteroka. Usia kembara seni saya pun baru setahun empat bulan,” kata Khai Bahar yang ditemui Rojak Daily Kaw! di majlis Greatest Love of Khai Bahar meraikan peminatnya di Laman Kayangan, Shah Alam.

Menelusuri perjalanan seninya, Khai sebenarnya boleh berbangga kerana dalam tempoh yang masih dilihat hijau dia meraih banyak anugerah. Lima trofi kini dalam genggamannya. Bermula dengan kemenangan Artis Baru Meletop pada Anugerah Meletop Era 2017, Khai kemudiannya menang Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0 pada Mei lalu dengan dua trofi iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular.

Sokongan padu dari kelab peminat.

Seterusnya dalam Anugerah Planet Muzik 2017 (APM) di Singapura, mengangkat namanya sebagai pemenang kategori Lagu Paling Popular APM (menerusi lagu Bayang) dan Artis Paling Popular APM 2017.

“Buat masa sekarang memang saya nak fokus nyanyi dulu. Saya tak mahu tamak ambil semua dalam satu masa. Saya bersyukur Tuhan bagi rezeki dalam bidang nyanyian. Saya tak terfikir lagi pun nak berlakon atau berniaga secara serius.

“Tapi semua itu bukan isyarat saya boleh berpeluk tubuh. Persaingan penyanyi lain dan baru itu pasti ada. Saya kena terus majukan diri dan perbaiki kelemahan. Usaha itu penting dan lebih utama saya terus disokong peminat tersayang termasuk kelab peminat, Khai Bahar Empire,” katanya.

Dapat restu ibu bapa.

Tambah Khai lagi, dia berbangga kerana cita-cita mahu menjadi penyanyi yang selama ini diingini ibu bapa tersayang bukan lagi omong kosong. Ia sudah menjadi realiti.

“Saya percaya semua orang boleh berjaya. Apa yang lebih penting minat saya itu direstui ibu bapa. Semuanya berkat doa ibu bapa. Sebab mereka nak saya jadi penyanyi. 

“Ikutkan memang saya asalnya bercita-cita nak jadi arkitek. Tapi selepas tamat sekolah menengah, saya pandai main gitar pula. Akhirnya nyanyian yang jadi pilihan. Saya percaya semua ini aturan-Nya,” kata penyanyi lagu Bayang dan Luluh itu.

Mengenai majlis Greatest Love of Khai Bahar yang berlangsung pada cuti umum Hari Krismas lalu, ia sebenarnya anjuran Khai sendiri bagi menghargai 520 orang peminatnya.

'Belanja' peminat.

“Majlis ini bukan peminat raikan saya. Tapi saya yang celebrate mereka. Saya sudah lama berniat nak buat semua ini. Ikutkan juga ia dirancang lebih awal, tapi ada peminat yang tak dapat cuti. Last dianjak pada sambutan hari Krismas.

“Kiranya majlis ini saya ‘belanja’ apa saja yang peminat mahukan, termasuk menyanyikan lagu yang tak pernah mereka lihat atau dengar. Saya ada nyanyikan lagu Ella dan daripada kumpulan Steel Heart berjudul She’s Gone.

“Saya juga hadiahkan barang kesayangan peribadi untuk peminat bertuah,” katanya yang akan menyambung kontrak tiga tahun lagi bersama NAR Records.



Sumber “Tak Apalah Tak Ada Cinta Lagi, Janji Peminat Sayangkan Saya” – Khai Bahar

Related Posts :

0 Response to "“Tak Apalah Tak Ada Cinta Lagi, Janji Peminat Sayangkan Saya” – Khai Bahar"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect