TANGKAK: Seramai 14 pembeli rumah berkembar satu tingkat di sebuah projek perumahan di Tanjung Agas di sini kesal apabila rumah yang dibina pada 2015 dan sepatutnya siap pada Februari tahun lalu masih belum dapat disiapkan oleh pemaju.
Lebih meresahkan pembeli ialah tiada sebarang tanda projek perumahan itu akan dapat disiapkan berikutan ia seolah-olah ditinggalkan begitu sahaja oleh pihak pemaju walaupun struktur binaan 14 unit rumah berkembar itu sudah berada pada tahap 80 peratus siap.
Pembeli, Nazarruddin Annuar, 38, mendakwa beliau sendiri pernah menghantar surat kepada pihak pemaju berkaitan perkara berkenaan dan kemudiannya menerima maklum balas yang mengatakan projek itu akan disiapkan selewat-lewatnya pada Disember tahun lalu.
"Bagaimanapun projek perumahan ini tidak juga siap. Apa yang lebih menggusarkan apabila kami mendapati tiada perubahan yang berlaku di kawasan projek perumahan ini dilakukan dan keadaannya sama seperti yang kami lihat pada Februari lalu. Tiada perubahan langsung.
"Dalam tempoh setahun ini, projek perumahan ini sepatutnya sudah dapat disiapkan. Yang menjadi tanda tanya, pemaju sama juga mempunyai dua projek perumahan lain di kawasan tidak jauh dari sini dan ia masih giat dijalankan tetapi projek ini ditinggalkan.
"Selain itu, ramai juga pembeli rumah terbabit yang membeli pada harga antara RM250,000 hingga RM300,000 itu sudah mula membayar ansuran bank dan ia sedikit sebanyak memberi beban kepada kami semua," katanya ketika ditemui BH di tapak projek perumahan berkenaan di sini, hari ini.
Nazarruddin berkata, beliau bersama 13 pembeli yang lain berharap pihak berwajib akan dapat membantu menyelesaikan masalah ini daripada terus berlarutan dan pihaknya juga akan membawa perkara itu ke Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) kelak.
Bagi Mohd Hairulajar Mohd Amin, 48, mendakwa kelewatan projek perumahan terbabit untuk disiapkan menyebabkan beliau bukan sahaja tidak dapat mendiaminya bersama keluarga tetapi juga terpaksa menanggung ansuran rumah berkenaan dan juga bayaran sewa untuk rumah yang didudukinya sekarang.
"Saya sudah membeli rumah ini pada April 2015 dan mula membayar ansuran bank bermula Julai tahun yang sama. Disebabkan kelewatan rumah ini siap, saya berhadapan dengan komitmen kewangan yang agak tinggi. Ia belum lagi ditambah dengan kos lain seperti belanja dapur, sekolah anak-anak dan sebagainya.
"Selain itu, saya lihat beberapa bahagian rumah saya juga sudah ada kerosakan termasuk beberapa kebocoran pada bahagian siling di bahagian bilik tidur utama. Jika pemaju masih bertangguh menyiapkan projek perumahan ini, saya rasa akan ada lebih banyak kerosakan pada rumah ini kelak.
"Justeru, saya mohon kepada pihak berwajib termasuk Bahagian Perumahan Negeri Johor supaya segera membantu menyelesaikan masalah ini yang dilihat seolah-olah tiada jalan penyelesaian berikutan tiada tindakan diambil walaupun aduan sudah dibuat kepada beberapa pihak berwajib," dakwanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Md Jais Sarday, berkata beliau sendiri sudah melawat kawasan perumahan terbabit dan mendapati terdapat beberapa masalah berkaitan isu berkenaan.
"Isunya ialah pihak pemaju berjanji akan menyerahkan kunci pada tahun lalu tetapi ia sudah setahun lewat hingga menyebabkan pembeli berdepan pelbagai masalah. Selain itu, projek terbabit juga berdepan masalah dengan soal utiliti.
"Pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga sudah melantik kontraktor cuma mereka belum ke kawasan projek terbabit. Jadi, pada Rabu ini juga, pihak Majlis Daerah Tangkak (MDT) akan memanggil pihak utiliti seperti TNB dan Syarikat Air Johor serta pihak pemaju untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.
Sumber Resah rumah tak siap-siap
0 Response to "Resah rumah tak siap-siap"
Post a Comment