KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran mewujudkan skim insurans kesihatan nasional bagi membolehkan rakyat menikmati kemudahan terbaik di klinik dan hospital swasta.
Pendekatan itu dilihat bersifat inklusif dan bakal mendatangkan manfaat besar terhadap golongan sasar ke arah memperkasakan perkhidmatan kesihatan di negara ini.
Profesor Kanan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor, berkata skim itu bermatlamat mengurangkan kesesakan dan tempoh menunggu bagi mendapatkan perkhidmatan di klinik serta hospital kerajaan, sekali gus menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Kerajaan boleh merujuk model yang diguna pakai di United Kingdom dalam melaksanakan skim perlindungan berkenaan.
"Skim terbabit memerlukan kerajaan menanggung caj premium termasuk bagi golongan berpendapatan tinggi yang juga pembayar cukai," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Prof Shazali berkata, kerajaan perlu menjalankan kajian terperinci terhadap senarai penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam memastikan hanya mereka yang layak menikmati kemudahan itu.
Katanya, instrumen dan dasar sedia ada perlu digunakan secara optimum untuk membantu rakyat, selain mengurangkan pengaliran wang keluar dengan mengutamakan pekerja tempatan di sektor yang mampu dikendalikan pekerja tempatan berdasarkan gaji munasabah.
"Pelaburan langsung dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi perlu ditingkatkan, selain mengawal kenaikan harga barang dan tol," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas aspek pengurusan ekonomi yang wajar dilaksanakan kerajaan bagi membolehkan cabaran dan isu asas dihadapi rakyat ditangani dengan baik.
Sementara itu, pakar geostrategis, Azmi Hassan, berkata pengurusan ekonomi Malaysia dianggap mantap dan kukuh berikutan dasar yang menjurus kepada kepelbagaian punca pendapatan negara.
"Aspek paling ketara pastinya pendapatan sumber minyak ketika ini adalah 14 peratus daripada jumlah perolehan negara.
"Negara masih memiliki sumber pendapatan lain sebagai pergantungan dalam keadaan harga minyak merudum sehingga AS$45 setong," katanya kepada BH.
Keadaan itu, jelasnya, berbeza dengan Venezuela yang bergantung 90 peratus kepada hasil minyak dan berdepan kemelesetan ekonomi teruk ketika ini.
Katanya, Iran juga menghadapi situasi sama kerana terlalu bergantung kepada sumber minyak dan kini berdepan masalah ekonomi yang membawa kepada bantahan rakyat secara besar-besaran.
"Ia berbeza dengan Malaysia kerana dasar ekonomi anjal menyaksikan kerajaan mengambil peluang untuk meningkatkan eksport daripada kadar ringgit rendah kerana barangan menjadi kompetitif, sekali gus menjadikan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2017 yang terbaik di ASEAN," katanya.
Azmi berkata, kerajaan turut mempunyai dasar untuk menambah pendapatan menerusi sistem percukaian lebih sistematik seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang menyumbang lebih RM35 bilion setahun.
Beliau berkata, dasar melabur di luar negara melalui instrumen seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Khazanah Nasional Berhad bukan saja strategik tetapi turut menguntungkan dari segi pendapatan.
"Arab Saudi yang kaya dengan hasil minyak dijangka menaikkan harga runcit petrol lebih sekali ganda bagi menambah pendapatan.
"Hakikat itu membuktikan kepelbagaian dasar ekonomi Malaysia yang anjal wajar dicontohi, bukan saja oleh negara Islam tetapi juga negara yang bergantung kepada hasil minyak," katanya.
Sumber Perlindungan kesihatan tingkat taraf hidup rakyat
0 Response to "Perlindungan kesihatan tingkat taraf hidup rakyat"
Post a Comment