Kantin Sekolah Bukan Untuk Anak Kita Seorang!

Saban tahun aku dengar isu mak ayah menimbulkan masalah di kantin waktu rehat terutamanya untuk murid tahun satu. Selalunya aku hanya perhatikan saja kawan-kawan yang merungut mengenai hal ni. Tahun ni, anak aku sendiri darjah satu. Aku berusaha dan mengelak dari melakukan perkara yang menjengkelkan ini. Pagi-pagi sebelum masuk ke kelas aku berpesan juga pada Iris supaya beratur ketika ingin membeli makanan, lepas bayar tunggu duit baki, jangan terus berpatah balik. Iris faham dan hanya menganggukkan kepala.

Hari pertama persekolahan memang sesuatu yang merunsingkan bagi ibu bapa murid tahun satu. Termasuk aku dan isteri. Ya, kali pertama anak perlu berdikari sendiri tanpa bantuan kami dalam menempuhi alam persekolahan. Kami mengambil keputusan untuk menunggu di warung sebelah sekolah sehingga masa rehat. Takut jika Iris tidak makan dan menahan lapar kerana tidak tahu membeli.

Tepat jam 9.00 pagi loceng Sekolah Agama berbunyi. Berpusu-pusu pelajar tahun 1 hingga 3 turun ke bawah untuk ke kantin dan membeli juadah untuk mengalas perut sebelum sesi pembelajaran seterusnya. Steady, pelajar-pelajar sekolah Iris beratur. Mungkin telah diingatkan oleh guru dalam kelas. Beratur dan memanjang ke belakang. Lebih kurang 20-30 ibu bapa berada di kawasan berhampiran kantin. Memerhati anak masing-masing. Ada yang membawa bekal, ada yang menguruskan anak, ada yang bergurau senda, bermacam keadaan.

Tiba-tiba, sedang murid-murid tahun satu beratur, datang seorang ibu menolak anak lelakinya ke depan dan memotong barisan murid lain. Aku perhati dari luar pagar, aku ingatkan mungkin kerana anaknya tertinggal barang ataupun tidak mendapat duit baki, rupanya dia membeli bagi pihak anaknya. Berulang pula kali kedua dengan ibu bapa yang lain, aku yang berada agak jauh dari pintu pagar kantin (sekolah agama, kantin kecil je) baru nak memulakan langkah untuk menegur tapi dah hilang pula dua ibu bapa yang tidak bertanggungjawab tadi dalam perut kantin.

Bayangkan, anak sedang beratur, datang ibu tolak anak ke depan dan potong barisan. Generasi apa yang sebenarnya kita sedang cuba lahirkan? Berang aku mula melepas geram dalam group Whatsapp. Tadaaa… rupanya dua tiga rakan lain juga mengalami nasib yang sama. Mereka ini tidak ramai, tapi mereka ini ibarat kanser, jika tidak dikesan dan dirawat awal ia akan merosak sehingga mati.

Hipotesis mudah, ibu bapa beginilah yang akan menyaman guru jika anak diherdik tidak mengikut peraturan, ibu bapa begini jugalah yang memotong barisan di tol kerana ingin pulang ke rumah awal untuk mendodoi anak di dalam kain batik setiap petang. Ya, ini hipotesis paling mudah untuk menggeneralisasikan ibu bapa yang bersikap demikian.

Untuk ibu bapa yang bersikap sedemikian, bukan anak kamu sahaja perlu makan di masa rehat, bukan anak kamu sahaja yang melalui hari pertama persekolahan darjah satu. Tidakkah kamu merasa bersalah merompak masa anak-anak berusia tujuh tahun yang lain tanpa belas? Tidakkah kamu tahu ketamadunan manusia itu dimulakan dengan peradaban yang mulia, jika semut juga mampu mengikut barisan inikan kamu yang manusia dijadikan tuhan lengkap otak dan akal fikirannya. Tidakkah kamu malu jika semut itu hanya binatang serangga tetapi kamu yang manusia gagal berfikiran waras menindas murid tahun satu???

Ya, siapa tidak sayangkan anak, tetapi kita menghantar anak ke sekolah untuk berdikari bukan sebaliknya. Selepas kalian berbuat demikian, akan ada pula yang mengikut kerana tidak berpuas hati. Bayangkan murid yang ibu bapanya tidak hadir? Adakah mereka tidak sayangkan anak mereka? Sedangkan mereka telah melatih anak mereka sebaiknya kerana aku melihat sendiri seorang anak rakan yang ibu bapanya tidak hadir tetapi cool beratur membeli makan di kantin. Tapi kesiannya anak ini apabila ibu bapa yang tidak berperikemanusiaan mementingkan diri sendiri menindasnya hanya kerana ibu bapanya tidak hadir.

Tidakkah kalian rasa ini adalah hak kanak-kanak yang perlu diperjuangkan mengikut akta dan undang-undang tertentu? Atau mungkin kerana anak ini tidak ditampar cikgu maka haknya untuk membeli makanan di kantin ditidakkan oleh ibu bapa yang sedemikian?

Tolonglah, tolong biarkan anak-anak ini berdikari. Jika kalian tidak mahu anak kalian berdikari, benarkan kami ibu bapa lain melihat anak kami berdikari dari jauh tanpa perlu ditindas manusia yang bersaiz 30 kali ganda darinya. Tunggulah anak kami selesai membeli makanan dan barulah kalian menyorong anak kalian untuk membeli makanan di kantin dan makanlah sepuasnya. Jangan dirompak hak mereka secara terang-terang tanpa segan silu. Takkanlah mereka berani melawan makcik berbadan sasa seperti Malek Nor semata-mata mempertahankan hak beratur untuk membeli makanan. Beratur di kantin adalah asas kehidupan seorang murid di sekolah. Jangan diragut nilai murni yang diterapkan kerana anda seorang yang suka memotong barisan di tol. Cukuplah negara ini seperti hari ini, sekurang-kurangnya biarlah generasi hadapan bersikap lebih baik sejajar dengan TN50 yang dicanangkan kerajaan. Cukuplah kegagalan Wawasan 2020, jangan ditambah kegagalan merancang masa depan supaya negara ini menjadi lebih baik untuk generasi masa hadapan.

Hari ni, masa rehat Iris di sekolah kebangsaan aku tidak dapat bersama. Tetapi jika esok berlaku lagi, tidak lagi aku berdiam diri. Ya, anak aku juga punyai hak untuk menjadi manusia yang mengikut peraturan dan tatasusila peradaban manusia moden dalam sebuah negara yang membangun.

Terima kasih aku ucapkan jika kalian mampu memahami.

Shah Rafi


Sumber Kantin Sekolah Bukan Untuk Anak Kita Seorang!

Related Posts :

0 Response to "Kantin Sekolah Bukan Untuk Anak Kita Seorang!"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect