Mahkamah Rayuan Putrajaya menambah hukuman penjara 12 bulan terhadap bekas pegawai daerah Seberang Perai Tengah kerana mencabul. — Foto oleh Miera ZulyanaPUTRAJAYA, 2 Jan — Menyifatkan kesalahan yang dilakukan serius, Mahkamah Rayuan di sini hari ini menambah hukuman penjara daripada enam bulan kepada 12 bulan terhadap bekas pegawai daerah Seberang Perai Tengah kerana mencabul kakitangan wanitanya.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Wira Mohtarudin Baki menambah hukuman itu ke atas Roslan Yahaya, 57, selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan yang tidak berpuas hati terhadap hukuman itu.
Hakim Mohtarudin yang bersidang bersama Hakim-hakim Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata panel itu sebulat suara mendapati rayuan pendakwaan mempunyai merit, oleh itu rayuan dibenarkan.
“Keputusan Mahkamah Majistret diketepikan keseluruhannya dan digantikan dengan penjara 12 bulan dan denda dikembalikan. Disebabkan responden sudah menjalani hukuman penjara enam bulan, perayu perlu menjalani penjara enam bulan lagi berkuat kuasa hari ini.
“Kesalahan yang dilakukan adalah serius dan mahkamah perlu memberikan mesej yang jelas,” kata Hakim Mohtarudin yang membuat keputusan tersebut selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Adam Mohamed dan peguam Muhammad Nor Izzat Nordin yang mewakili Roslan.
Selepas keputusan itu kelihatan isteri Roslan dan seorang lagi anggota keluarganya menangis.
Pihak pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 2017 yang mengekalkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 yang dijatuhkan Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada 1 April 2016 terhadap Roslan selepas didapati bersalah mencabul wanita yang berusia 29 tahun.
Roslan didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap wanita yang sudah berkahwin itu di dalam pejabatnya, Pejabat Daerah dan Tanah, Jalan Betek, Sungai Rambai, Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang, antara jam 11 pagi hingga 1.10 tengah hari, 26 April 2010.
Dia dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana antara dua, jika sabit kesalahan.
Terdahulu Adam berhujah bahawa Mahkamah Tinggi gagal menilai sepenuhnya kepentingan awam terhadap hukuman yang dijatuhkan ke atas responden kerana kesalahan yang dilakukan itu adalah serius.
“Dalam kes ini perbicaraan penuh telah dijalankan dan bukannya responden membuat pengakuan bersalah, dan kepentingan peribadi responden tidak seharusnya melebihi kepentingan awam yang menjadi paksi kepada sesuatu hukuman itu diberikan,” katanya.
Beliau berkata kes ini membabitkan pegawai daerah yang mengambil kesempatan ke atas kakitangannya yang masih belum disahkan jawatan dan kejadian berlaku di pejabatnya (responden).
Muhammad Nor Izzat berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Majistret telah mengambil kira kepentingan awam juga mengambil kira anak guamnya telah diberhentikan kerja serta pencennya ditarik balik.
Beliau berkata anak guamnya selesai menjalani hukuman penjara enam bulan itu pada November tahun lepas dan dia kini menjalani hukuman penjara tiga tahun bagi kesalahan rasuah.
Mahkamah Sesyen Butterworth pada 20 Mac 2015, telah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM150,000 atau penjara 12 bulan terhadap Roslan, selepas didapati bersalah memberi rasuah RM30,000 kepada suami wanita itu supaya menarik balik dakwaan gangguan seksual terhadapnya. — Bernama
Sumber Cabul staf, isteri bekas DO menangis hukuman ditambah
0 Response to "Cabul staf, isteri bekas DO menangis hukuman ditambah"
Post a Comment