United rehat Matic, Ibrahimovic layan CSKA

MANCHESTER: Jose Mourinho tidak menyenaraikan dua tonggaknya Nemanja Matic dan Zlatan Ibrahimovic ketika Manchester United melayan kunjungan CSKA Moscow di Old Trafford bagi pertembungan Liga Juara-Juara, awal pagi esok.

Pemain tengah Serbia, Matic mengalami kecederaan otot pada pertemuan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Watford, minggu lalu tetapi disenarai dalam kesebelasan utama ketika United menang 3-1 ke atas Arsenal, Sabtu lalu.

Mourinho berkata dia enggan meletakkan risiko ke atas pemain berusia 29 tahun itu sekali pun United memerlukan satu mata pada perlawanan terakhir itu untuk mengesahkan tempat selaku juara Kumpulan A.

"Matic mengalami kecederaan dan apabila saya cakap yang dia cedera, dia memang cedera. Saya tidak akan membenarkan dia bermain esok jadi Matic terkeluar," kata Mourinho ketika sidang media, hari ini.

"Beberapa pemain juga bermain setiap perlawanan dan mereka juga perlu berehat. Apa yang lebih penting, pemain lain layak untuk mendapat lebih peluang untuk bermain."

Mourinho juga mengesahkan Ibrahimovic akan direhatkan sebagai sebahagian daripada proses pemulihan sejak pulih daripada kecederaan jangka panjang membabitkan ligamen lututnya.

Penyerang berusia 36 tahun itu tampil selaku pemain gantian dalam empat perlawanan bulan lalu tetapi disisihkan dalam skuad ketika melawan Arsenal.

"Zlatan kadang kala memerlukan kerja keras di kawasan ototnya yang menyokong lutut yang berdepan masalah," kata Mourinho.

"Dia melakukan kitaran, membahagikannya di antara gimnasium dan atas padang. Dan dia tidak akan bermain esok tetapi saya percaya dia akan kembali seperti biasa selepas CSKA."

Mourinho dalam pada itu enggan untuk mengulas sama ada United akan melakukan rayuan terhadap penggantungan Paul Pogba selepas pemain tengah itu dilayangkan kad merah susulan kekasaran ke atas pemain Arsenal, Hector Bellerin. - Reuters



Sumber United rehat Matic, Ibrahimovic layan CSKA

Related Posts :

0 Response to "United rehat Matic, Ibrahimovic layan CSKA"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect