Laporan The Digital News Report 2017 menunjukkan pengguna WhatsApp paling ramai di Malaysia diikuti Facebook dan YouTube. — Foto Reuters
KUALA LUMPUR, 5 Dis — Media sosial dijangka memberi pengaruh yang lebih meluas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang khususnya dalam kalangan generasi muda, kata beberapa anggota perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2017.
Mereka rata-rata percaya bahawa media sosial akan menjadi antara medium utama dalam strategi kempen kesemua parti yang bertanding pada PRU itu.
Ketua Pemuda Umno Pahang Mohd Shahar Abdullah berkata media sosial merupakan platfrom terbaik bagi para pemimpin parti untuk mendekatkan diri dengan masyarakat.
“Sebagai contoh, mereka boleh menggunakan media sosial untuk berkomunikasi dengan masyarakat mengenai semua perkara (yang bukan hanya berkaitan politik), memberitahu aktiviti terkini berkenaan parti serta mendapatkan maklum balas daripada masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini.
Bagi memenangi hati generasi digital, beliau berkata anggota Umno perlu lebih agresif dan bijak dalam menggunakan media sosial terutamanya bagi menangkis berita-berita palsu berkaitan parti terutamanya menjelang PRU14.
“Saya percaya pihak pembangkang akan menggunakan media sosial sebagai satu daripada medium utama mereka untuk berkempen dan ‘berperang’ dengan Barisan Nasional (BN) pada PRU14.
“Kita tidak dapat mengawal apa yang dipaparkan di media sosial tetapi kita wajib mempertahankan apa yang benar bagi mengelak generasi Y mempercayai gambaran negatif dan maklumat tidak sahih yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab sehingga berisiko menyebabkan mereka menjauhi Umno,” katanya.
Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Datuk Mohd Razlan Rafii, yang senada dengan Mohd Shahar, berkata Umno tidak mengamalkan budaya membenci seperti dilakukan pembangkang, yang sering memainkan isu negatif seperti harga minyak untuk kepentingan mereka.
“Namun, saya melihat netizen (warga Internet) sudah sedikit matang dan mula mempercayai berita daripada sumber sahih. Saya percaya ini akan memberikan kelebihan kepada BN pada PRU14 kelak,” katanya.
Seperti Mohd Razlan, ketua Puteri Umno Bahagian Gua Musang Norfadzlete Ayrani Mat Rosli juga yakin kempen atau penyebaran berita mengenai aktiviti parti melalui media sosial mampu memberi manfaat kepada BN menjelang PRU14.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dipetik sebagai berkata dalam catatan blognya baru-baru ini bahawa mereka yang aktif dalam politik mula menggunakan Internet pada 1998 untuk mempengaruhi pandangan orang ramai tetapi 10 tahun kemudian iaitu pada 2008 barulah rakyat Malaysia menyedari impak Internet dalam mempengaruhi undi.
“Hartawan media Rupert Murdoch pernah berkata bahawa menjelang 2050, media akan beralih sepenuhnya kepada dalam talian atau elektronik, dan media cetak bakal menjadi sesuatu yang sudah berlalu.
“Berdasarkan apa yang berlaku kini, keadaan itu dijangka berlaku lebih awal daripada 2050. Pada masa ini, politik dan kempen politik lebih bergantung kepada media dalam talian dan elektronik,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, industri media perlu bergerak mengikut keadaan dan masa dengan menjadi celik Internet.
“Apa yang lebih penting adalah kita tidak boleh merosakkan integriti media dalam talian dengan membiarkan berita palsu berleluasa kerana ini akan mewujudkan masalah defisit amanah yang serius,” katanya.
Laporan The Digital News Report 2017 mendapati rakyat Malaysia adalah pengguna WhatsApp paling ramai dengan mencatatkan 51 peratus.
Laporan itu juga mendapati Facebook dan YouTube turut popular dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan masing-masing mencatatkan 58 peratus dan 26 peratus pengguna, manakala WeChat dan Instagram masing-masing mencatatkan 13 peratus.
Sementara itu, ketua Puteri Umno Pulau Pinang Nurul Haida Mahamad berkata pihaknya menggunakan media sosial seperti WhatsApp untuk menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat mengenai program anjuran Puteri Umno seperti Puteri Peduli dan bantuan mangsa banjir.
“Langkah sebegini mendapat reaksi positif daripada pengguna media sosial kerana ini menunjukkan Puteri Umno bukan sahaja cakap kosong tetapi kami sememangnya turun padang untuk membantu rakyat,” katanya.
Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini membuka tirainya kepada 5,739 anggota perwakilan Umno yang berkampung bagi mengikuti Perhimpunan Agung terakhir parti itu sebelum menghadapi PRU14.
Perhimpunan tahunan itu berlangsung sehingga 9 Dis ini. — Bernama
Sumber Umno perlu agresif, luaskan pengaruh di media sosial
0 Response to "Umno perlu agresif, luaskan pengaruh di media sosial"
Post a Comment