Ucapan dasar presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak bagai 'lampu suluh' dalam pilihan raya umum ke-14, kata seorang pembantu menteri Sabah. ― Foto oleh Miera Zulyana
KUALA LUMPUR, 8 Dis ― Anggota Umno perlu berjiwa besar dengan melihat ucapan dasar Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak, sebagai “lampu suluh” perjalanan ke gelanggang pilihan raya umum ke-14 bagi memastikan kemenangan lebih besar, kata Pembantu Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Katanya amanat Najib pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 semalam, memperincikan kejayaan masa lalu dan perancangan masa depan lengkap dengan gerak kerja yang perlu digalas setiap anggota parti.
“Kini menjadi tanggungjawab setiap ahli untuk menterjemahkan amanat itu menjadi realiti. Ia tidak sukar dicapai, dan bukan mustahil dilaksanakan, asalkan setiap ahli berjiwa besar dan memiliki `minda menang' yang kental,” katanya ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Beliau diminta mengulas ucapan dasar Presiden parti yang mahukan anggota parti memperkasakan semangat perjuangan dan jati diri menghadapi PRU14 yang diibaratkannya sebagai medan perang terpenting.
Dalam amanatnya itu, Najib menegaskan bahawa PAU 2017 bukan saja penting untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah, tetapi juga demi kelangsungan dan survival atau destini umat serta negara keseluruhannya.
Ghulam Haidar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Kawang berharap setiap anggota parti melihat kembali sejauh mana persediaan di peringkat akar umbi bagi menentukan kesiapsiagaan menghadapi PRU14 bila-bila masa.
“Ini penting supaya kita tidak leka, sebaliknya bersedia tatkala presiden meniupkan wisel pilihan raya,” katanya, sambil menyokong saranan presiden supaya setiap anggota parti tidak terperosok dalam `zon selesa' sepanjang masa.
Beliau yakin Umno Sabah di bawah teraju kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman akan terus kekal sebagai tunjang pemerintahan kerajaan BN negeri, kerana berjaya membawa perubahan besar kepada negeri itu.
Katanya hala tuju kemajuan dan pembangunan negeri berjaya membawa anjakan besar dalam landskap pembangunan negeri Sabah.
“Dengan dukungan dan kesepaduan permuafakatan bersama komponen BN lain, UMNO Sabah bakal menjadi penyumbang kepada kemenangan serta mandat besar BN dalam PRU14,” katanya, sambil mengulangi keyakinan Sabah kekal sebagai `simpanan tetap' BN. ― Bernama
Sumber Ucapan presiden ‘lampu suluh’ Umno lawan dalam PRU
0 Response to "Ucapan presiden ‘lampu suluh’ Umno lawan dalam PRU"
Post a Comment