Talkin lilin untuk Kim Jonghyun

Meneliti mentaliti 'kultus' di sebalik pandangan mengharamkan upacara berkabung untuk bukan Islam.

KOMEN

Kim-JonghyunDi Malaysia, tidak menghairankan lagi apabila kita mendengar pandangan golongan agamawan yang menghalang kita daripada berinteraksi dengan agama lain.

Dulu kita mendengar yang hukumnya haram untuk mengucap “Selamat Hari Krismas: kepada orang Kristian. Kononnya, dengan berbuat demikian, kita mengakui yang Jesus itu anak Tuhan!

Minggu lepas pula, dunia pop Korea (Kpop) kehilangan bintangnya Kim Jonghyun, penyanyi kumpulan SHINee, yang membunuh diri.

Peminat termasuklah ramai gadis Melayu Islam meratapi kematiannnya dengan berkabung. Ada yang menyalakan lilin sebagai dalam “candlelight vigil”.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, mengeluarkan kenyataan yang berbunyi “Tidak boleh. Haram kalau buat kerja macam itu. Kalau artis atau individu itu orang Islam, kita hadiahkan Al-Fatihah. Kalau bukan Islam, takkan hendak doakan syurga pula? Sudahlah dia bunuh diri, kenapa hendak ikut budaya kafir? Buat apa?”

Walaupun kita boleh menganalisa dan membidas kenyataan ini, lebih baik sekiranya kita memahami sebab-musabab di sebalik kenyataan ini.

Pada sesetengah agamawan, Islam dan penganutnya mesti berkelakuan dengan satu cara dan pemikiran sahaja. Kalau orang itu beragama Islam, dia mesti melakukan sesuatu perbuatan. Kalau tidak, maka melanggar undang-undang Islam dan akan mendapat sesuatu hukuman atau penilaian.

Kultus

Inilah dikatakan mentaliti “kultus” (cult).

Ia satu cara berkumpulan yang melenyapkan hak individu mahupun kapasiti individu itu untuk berfikir. Mentaliti kultus adalah mentaliti tahap rendah dan tidak memahami faktor yang teramat penting, iaitu interpretasi.

Dengan membelakangkan faktor ini, kultus itu berkelakukan seolah-olah hanya satu cara saja untuk kita berfikir.

Kenapa dikatakan “tidak boleh” dan “haram”? Kerana difikirkan apabila seseorang itu bukan dalam kultusnya, dia tidak berhak untuk mendapat penghormatan yang sepatutnya. Maka dia menjadi “kafir” iaitu golongan yang tidak termasuk ke dalam kultusnya itu.

Maka, hidupnya dalam dunia ini tidak bermakna kerana dia tidak bertuhan dengan cara yang sama dengan agamawan sedemikian, yang memberi takrifan satu-satunya jalan betul diterima Tuhan.

Persoalan yang patut kita tanya sekarang ialah, adakah agamawan membuat kenyataan berpaksikan Al-Quran atau pun dengan persepsi yang amat terhad?

Islam dan tak Islam

Dalam erti kata lain, adakah Islam itu sebenarnya sebuah kultus seperti yang digambarkan mentaliti agamawan?

Biasanya, agamawan Islam yang memiliki mentaliti ini gemar memetik ayat 85 dari Surah Al-Imran, yang menyebut siapa yang tidak mahukan Islam sebagai agamanya, dia tidak diterima Tuhan dan akan menerima kerugian di akhirat.

Tafsiran yang biasa didengari untuk ayat ini ialah sesiapa yang tidak memeluk agama Islam, iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad, maka dia sudah mengambil jalan yang salah.

Jadi golongan yang kita biasa katakan “bukan Islam” itu adalah golongan yang akan merasakan azab neraka.

Tafsiran ini jauh tersasar daripada pandangan sarwa (worldview) Al-Quran. Al-Quran tidak menghadkan pembawaan Islam kepada Nabi Muhammad. Nabi disuruh untuk membuat deklarasi yang baginda bukanlah rasul yang membawa perkara baru (46:9).

Selain itu, Al-Quran menegaskan bahawa tiap-tiap umat akan mendapat rasul masing-masing (10:47). Apa yang lebih menakjubkan ialah Al-Quran menekankan yang kebenaran itu mengalir dalam pelbagai terusan seperti air (13:17).
Maka, untuk mendapat bacaan yang konsisten, kita perlu memahami yang apabila Al-Quran menggunakan kalimah “Al-Islam” ia bukanlah satu kultus. Ia adalah satu gerakan universal yang membawa kedamaian. Itulah sebenarnya maksud “islam”, iaitu pembawaan salam atau kedamaian.

Kabung dan talkin

Jadi bagaimana kita tahu yang Kim Jonghyun itu bukan Islam? Kita tidak boleh tahu, sebenarnya, kecuali jika beliau membuat kacau bilau di muka bumi (fasad fil ardh). Biarlah Tuhan yang menghukumnya, bukan golongan yang mempertuhankan diri mereka.

Bagaimana pula dengan “candlelight vigil” dan berkabung? Ini adalah aspek budaya semata-mata, sama dengan upacara talkin dan tahlil.

Sementara kebanyakan orang Islam di Malaysia tidak menghalang upacara ini, golongan Wahabi menganggap ia salah dan bid’ah dan tiap-tiap bid’ah membawa kepada azab neraka.

Jadi sesama Islam pun, mereka tidak boleh bersetuju upacara yang betul untuk meratapi orang yang mati.

Mentaliti kultus agamawan kita hanyalah dalam imaginasi sahaja dan tidak ada bukti daripada Al-Quran.

Islam itu adalah sesuatu yang amat terbuka dan bercirikan kemanusiaan. Adalah naluri kita untuk bersedih apabila seorang muda hancur harapan dan membunuh diri. Kenapa kita tidak boleh mengekspresi kesedihan itu dengan pelbagai cara?

Kenapa kita perlu mengikut hanya satu budaya, umpamanya budaya Arab kuno, sahaja? Ini hanyalah pendapat manusia yang berfikiran cetek.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.


The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.



Sumber Talkin lilin untuk Kim Jonghyun

Related Posts :

0 Response to "Talkin lilin untuk Kim Jonghyun"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect