Hannah Yeoh turut mencabar presiden Umno itu memperuntukkan 30% kerusi parti itu pada PRU14 kepada calon Wanita Umno.
PETALING JAYA: Dua ahli politik wanita daripada pembangkang mempertikaikan keikhlasan Datuk Seri Najib Razak meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh berkata, jika perdana menteri benar-benar ikhlas memperkasakan wanita dalam politik, sekurang-kurangnya 30% daripada anggota Kabinetnya perlu terdiri daripada wanita.
“Ini betul-betul dalam kawalannya. Tak perlu menang besar pada PRU14 (pilihan raya umum ke-14) untuk melakukannya,” katanya dalam catatan Facebooknya hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Najib yang Barisan Nasional akan mempertimbangkan penambahan kuota untuk senator wanita, jika mereka menang besar pada PRU14.
Perdana menteri ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Mengenai Wanita Dalam Politik 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini berkata, kerajaan BN perlu mendapatkan undi majoriti yang diperlukan jika mahu perubahan itu dilaksanakan.
Katanya, kerajaan mahu melihat sekurang-kurangnya 30% senator di Dewan Negara terdiri daripada wanita.
“Saya mahu melihat cadangan ini dilaksanakan. Itulah sebabnya saya berharap dapat memperoleh mandat yang kukuh dalam pilihan raya akan datang (bagi melaksanakan cadangan ini).”
Yeoh berkata, kerajaan Selangor mempunyai 40% wanita dalam barisan exconya pada 2008.
Beliau turut mencabar Najib memperuntukkan 30% kerusi parti itu pada PRU14 untuk calon Wanita Umno.
“Sekali lagi, ini benar-benar berada dalam kawalannya. Tidak perlu menang besar pada PRU14 untuk melakukannya.
“DAP sudah memperuntukkan 30% kerusi mereka di Selangor pada PRU13 untuk calon wanita.
“Mempunyai 30% senator (wanita) di Dewan Negara ialah tindakan menipu Wanita Umno yang beliau dakwa merupakan tulang belakang partinya,” kata naib pengerusi Wanita DAP itu.
Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin turut mengkritik Najib berhubung kenyataannya yang BN memerlukan mandat kukuh untuk mencadangkan pelantikan 30% senator wanita.
“Beliau tidak sanggup menurunkan lebih ramai wanita pada PRU akan datang untuk mempunyai 30% ahli Parlimen wanita.
“Sebaliknya, beliau meminta sokongan kuat wanita supaya beliau boleh melantik 30% senator wanita.
“Ini satu penghinaan kepada wanita. Wanita bukannya pak turut.”
Ahli Parlimen Ampang itu berkata, Malaysia sudah merdeka selama 60 tahun, tetapi belum mencapai 30% penyertaan wanita dalam politik, tidak seperti Uganda di mana 135 (34.97%) daripada 386 ahli Parlimennya terdiri daripada wanita.
“Uganda berada di tangga ke-30 daripada 193 negara untuk penyertaan wanita. Rwanda mendahului senarai itu dengan 61% wanita di Parlimen.
“Malangnya, Malaysia berada di tangan ke-158 dengan hanya 23 wanita (10.4%) daripada 222 kerusi Parlimen,” katanya sambil menambah statistik itu dikeluarkan Kesatuan Antara Parlimen, Oktober lalu.
Zuraida berkata, kekurangan penyertaan wanita di peringkat Parlimen berpunca daripada tafsiran Umno terhadap peranan wanita di negara ini.
“Wanita sentiasa diberitahu supaya taat, berada di rumah, masak dan menjaga keluarga serta suami. Sudah tentu mereka mengelak daripada politik.
“Ini kerana wanita yang berani membuat kelainan sentiasa dilabelkan lelaki.
“Wanita Umno tiada pendirian kecuali menyokong Umno,” katanya sambil menambah sayap Wanita parti politik berperanan penting dalam memperjuangkan hak dan agenda wanita.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
Sumber Speaker Selangor saran Najib lantik 30% wanita dalam Kabinet
0 Response to "Speaker Selangor saran Najib lantik 30% wanita dalam Kabinet"
Post a Comment