Ribut Tembin, sejuta dijangka terpaksa berpindah di Vietnam

HANOI/MANILA: Pihak berkuasa Vietnam bersiap sedia untuk memindahkan lebih sejuta penduduk yang tinggal di kawasan rendah sepanjang pesisiran pantai di selatan negara itu, ketika ribut tropika Tembin dijangka melanda lewat malam ini.

Lebih 230 terkorban selepas ribut tropika Tembin membadai Filipina baru-baru ini, menjelang sambutan Krismas.

Jawatankuasa Pencegahan Bencana Vietnam berkata, 74,000 penduduk sudah dipindahkan ke kawasan selamat, sementara pihak berkuasa di 15 wilayah dan bandar bersiap sedia untuk memindahkan lebih satu juta lagi penduduk.

Kerajaan turut mengarahkan pelantar minyak dan kapal meningkatkan tahap keselamatan serta berlindung di kawasan lebih selamat, manakala 62,000 bot nelayan diminta supaya tidak turun ke laut.

Foto ini yang diambil pada 23 Disember 2017 menunjukkan penduduk yang melihat Jambatan Cabuyao, yang runtuh selepas dilanda ribut tropika Tembin, di Barangay Dalama, Tubod, Lanao del Norte di selatan Mindanao, Mindanao. - Foto AFP

"Vietnam mesti memastikan keselamatan pelantar minyak dan kapal. Jika perlu, operasi pelantar minyak perlu dihentikan dan pekerja dipindahkan ke kawasan lebih selamat," kata Perdana Menteri, Nguyen Xuan Phuc dalam satu kenyataan yang disiarkan laman web rasmi kerajaan.

Pada masa sama, semua sekolah di Ho Chi Minh City diarah menutup operasinya, sebagai langkah keselamatan.

Sementara itu, di Filipina, anggota penyelamat masih bertungkus lumus mengesan mangsa di kawasan pedalaman yang dilanda banjir kilat dan tanah runtuh akibat ribut tropika Tembin.

Jumlah kematian dilaporkan mencecah lebih 230 mangsa dan ia dijangka meningkat.

Pekerja kesihatan, Arturo Simbajon, berkata hampir semua kawasan perkampungan di Anungan, Zamboanga di pulau Mindanao musnah selepas dirempuh kayu balak, batu dan lumpur yang dibawa arus deras.

"Hanya masjid yang masih berdiri teguh," kata Simbajon. - Reuters



Sumber Ribut Tembin, sejuta dijangka terpaksa berpindah di Vietnam

Related Posts :

0 Response to "Ribut Tembin, sejuta dijangka terpaksa berpindah di Vietnam"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect