MELAKA: Seorang penumpang wanita yang menggunakan perkhidmatan Uber parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam kemalangan di Jalan Semabok, di sini, awal pagi tadi.
Dalam nahas jam 2.30 pagi itu, Sariah Jasmin, 31, yang duduk di bahagian penumpang belakang parah pada muka dan kepala, manakala pemandu Uber berusia 32 tahun hanya luka pada muka.
Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Melaka (HM) di sini.
Bagaimanapun, pemandu pacuan empat roda Ford Ranger berusia 44 tahun tidak cedera.
Difahamkan, kejadian berlaku apabila pemandu Ford Ranger dikatakan gagal mengawal kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh pemandu Uber yang menggunakan kereta PERODUA Myvi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad ketika dihubungi sebentar tadi, berkata penumpang wanita berkenaan masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HM.
"Polis sedang mengesan waris mangsa dan memohon orang ramai yang mengenali ahli keluarga atau kenalan tampil menghubungi balai polis berhampiran," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber Penumpang Uber parah kemalangan
0 Response to "Penumpang Uber parah kemalangan"
Post a Comment