TAN Sri Noor Rashid Ibrahim berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia, di Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Polis menubuhkan pasukan khas di peringkat negeri bagi menyiasat kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, berkata Bukit Aman akan memantau perkembangan kes berkenaan bagi memastikan suspek dapat ditahan secepat mungkin.
"Pasukan khas ini akan melihat dan mengumpul risikan serta memastikan suspek dapat ditangkap dan didakwa di mahkamah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM) di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden PPKKM, Datuk Seri Mustapa Ali.
Dalam kejadian malam kelmarin, mangsa yang berusia 30-an mati akibat ditikam di jantung sebelum digilis dengan sebuah kereta ketika mengisi angin tayar di stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru.
UNIT Forensik melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta milik kes seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mati ditikam dan dilanggar oleh sekumpulan empat lelaki menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi Taman Pelangi, malam kelmarin. - Foto BERNAMA
Polis Johor sudah mengenal pasti empat suspek yang dipercayai terbabit dalam kes itu.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa kes berpunca daripada pergaduhan kumpulan kongsi gelap, Noor Rashid berkata, pihaknya ada menerima beberapa maklumat berkaitan perkara itu.
"Antara maklumat diterima adalah berkaitan memberi pinjaman wang dan ada kemungkinan perebutan kawasan. Kita mahu membuat kesimpulan awal.
"Mungkin kita dapat gambaran lebih jelas dalam sehari dua lagi," katanya sambil menambah mangsa mempunyai beberapa rekod polis tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya.
Dalam perkembangan lain, Noor Rashid mahu syarikat kawalan keselamatan swasta di negara ini memastikan pengawal dan pegawai keselamatan yang diambil bekerja menjalani saringan ketat bagi mengelak mereka terbabit dalam jenayah dan keganasan.
Sumber Pasukan khas siasat kes bunuh di stesen minyak
0 Response to "Pasukan khas siasat kes bunuh di stesen minyak"
Post a Comment