Murid keluarga miskin dapat beg, alat tulis

PEKAN: Puteri UMNO Bahagian Pekan mengagihkan 400 beg sekolah dan alat tulis kepada murid daripada keluarga berpendapatan rendah daerah ini.

Ketuanya Malia Irdawati Khairuddin, berkata mereka dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen Pekan.

Beliau berkata, bantuan terbabit diagihkan secara berperingkat-peringkat sebelum sesi persekolahan bermula tidak lama lagi.

Beliau berkata, Puteri UMNO diberi tanggungjawab mengagihkan bantuan terbabit dengan kerjasama Biro Kebajikan Umno Bahagian Pekan, Yayasan Pelajaran MARA dan Kelab Guru Aktif Pekan.

Katanya, bantuan terbabit bukti keprihatinan kerajaan membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah di luar bandar yang berhadapan masalah kewangan.

"Selain Puteri UMNO, Pemuda Umno Bahagian Pekan juga turut akan mengagihkan bantuan beg sekolah dan alat tulis kepada kanak-kanak keluarga miskin di setiap DUN di daerah ini.

"Hampir setiap tahun program bantuan kepada murid sekolah diadakan di daerah ini, pejabat Ahli Parlimen Pekan menjadi penyumbang besar kepada bantuan persekolahan," katanya ditemui pada program 'Back To School' disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya, Datuk Seri Sh Puzi Sh Ali, di sini, hari ini.

Seramai 100 kanak-kanak di DUN Peramu Jaya menerima bantuan beg sekolah dan alat tulis, dan agihan seterusnya di DUN Chini, DUN Bebar dan DUN Pulau Manis.

Malia Irdawati berkata, agihan bantuan terbabit dilakukan oleh wakil rakyat di setiap DUN, kehadiran penjaga pada setiap program memeriahkan lagi acara itu.

Sementara itu, suri rumah, Noor Mimi Afzan Mokhtar, 40 berkata, bantuan beg sekolah dan alat tulis diberikan Puteri UMNO dapat meringankan bebannya sebelum persekolahan bermula.

"Walaupun hanya seorang daripada empat anak saya yang bersekolah menerima bantuan daripada Puteri UMNO kali ini, namun saya yakin sumbangan pihak lain akan menyusul selepas ini.

"Saya bersyukur menetap di daerah ini apabila menerima pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan kerajaan yang begitu prihatin dengan nasib rakyat berpendapatan rendah," katanya yang berasal dari Kampung Marhum, di sini.



Sumber Murid keluarga miskin dapat beg, alat tulis

Related Posts :

0 Response to "Murid keluarga miskin dapat beg, alat tulis"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect