‘Datuk Seri’ pukul RELA menyesal: “Saya sanggup memohon maaf kepada mangsa”

Ahli perniagaan berusia 29 tahun bergelar ‘Datuk Seri’ yang berhadapan empat pertuduhan kerana menyerang tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bulan lalu, hari ini meluahkan kekesalannya atas tindakan tersebut.

“Saya menyesali tindakan saya dan ingin menjadi sebahagian daripada masyarakat,” kata Liow Soon Hee seperti dipetik The Sun.

“Saya sanggup memohon maaf kepada mangsa yang terkesan akibat insiden itu,” katanya lagi selepas memberikan sumbangan berjumlah RM210,000 kepada pengasas Persatuan Kepolisan Komuniti Malaysia, Kuan Chee Heng.

Menurut laporan itu, sumbangan itu bagi membantu dua pelajar universiti, kegiatan kepolisan komuniti dan pembinaan gelanggang bola keranjang di sebuah sekolah persendirian Cina di Puchong, Selangor.

Mengulas gesaan gelaran ‘datuk seri’ miliknya ditarik balik, Liow berkata terpulang kepada pihak bertanggungjawab untuk membuat keputusan tentang perkara itu.

Liow dihadapkan dengan empat pertuduhan bagi kes menyerang tiga anggota RELA yang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, kira-kira pada pukul 6.30 pagi 27 Oktober lalu.

Kejadian itu didakwa berlaku selepas salah seorang anggota RELA itu meminta Liow mengalihkan keretanya yang diletakkan di depan tokong, kerana menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Dua lagi anggota yang datang membantu rakannya turut diserang Liow.

Liow yang kini bebas dengan ikat jamin boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda, jika didapati bersalah untuk setiap empat pertuduhan itu.

Dia juga berhadapan sekurang-kurangnya dua lagi pertuduhan berkaitan dadah.

Sumber: MK



Sumber ‘Datuk Seri’ pukul RELA menyesal: “Saya sanggup memohon maaf kepada mangsa”

Related Posts :

0 Response to "‘Datuk Seri’ pukul RELA menyesal: “Saya sanggup memohon maaf kepada mangsa”"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect