Bapa dakwa bayi demam minum susu rumusan tiruan

MELAKA: Seorang bapa mendakwa bayi perempuannya yang berusia 10 bulan dipercayai menjadi mangsa susu rumusan bayi tiruan selepas membeli makanan itu dari sebuah kedai di Bachang, di sini, beberapa bulan lalu.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Koh, 33, mendakwa anak tunggalnya itu mengalami simptom seperti demam dan ruam merah sejak September lalu.

Lebih membimbangkan, katanya, keadaan itu selepas rampasan sejumlah 210 kotak susu rumusan bayi dipercayai tiruan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor pada Ahad lalu.

"Saya sangat terkejut selepas dimaklumkan isteri mengenai kewujudan susu rumusan bayi dipercayai tiruan daripada jenama yang sama (seperti dirampas KPDNKK) diberikan kepada anak.

"Selepas apa yang menimpa anak kami seperti demam dan ruam kemerahan, pelbagai persoalan bermain kerana ia membabitkan soal kesihatan dan nyawa," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Jalan Tun Perak, di sini, hari ini.

Koh juga mendakwa, sebelum ini bayinya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan ketika peringkat awal mengambil susu jenama sama yang dibeli di Singapura oleh sepupunya.

"Bagaimanapun, selepas membeli dari sebuah kedai ubat (di Bachang), saya perasan kesihatannya mulai terjejas seperti demam dan keluar bintik merah.

"Saya bertambah yakin sesetengah produk yang dibeli ini tiruan selepas membandingkan paket bungkusannya ada perbezaan seperti yang viral di media sosial," katanya.

Katanya, perbezaan yang dikesan adalah garisan lipatan pada paket tiruan, berbanding tulen.

BH turut melakukan tinjauan di sebuah kedai yang didakwa menjual susu rumusan bayi tiruan berkenaan.

Seorang pekerja yang enggan dikenali berkata, kedainya hanya menjual produk berkenaan dan sejak kelmarin, dua pelanggan sudah memulangkan susu jenama terbabit kerana meragui status ketulenannya.



Sumber Bapa dakwa bayi demam minum susu rumusan tiruan

Related Posts :

0 Response to "Bapa dakwa bayi demam minum susu rumusan tiruan"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect