PADA mulanya ia hanya dibina sebagai tempat menyidai pakaian, namun selepas dihias dengan ukiran berkonsepkan tradisional, struktur binaan di satu unit kediaman di Pangsapuri Kenanga Sari, Kuala Lumpur, dilihat seperti rumah papan di tingkat bawah bangunan 12 tingkat.
Video: Rumah papan di pangsapuri 12 tingkat jadi viral
Menariknya struktur yang dibina dengan lebar 1.2 meter dari dinding rumah itu dijadikan sebagai ‘mini koridor’ yang diperbuat daripada besi kecuali lantai yang menggunakan papan lapis kalis air setebal satu inci.
Pemilik rumah, Abdul Razak Shaari, 49, berkata, penambahan itu dibuat sejak lebih lima tahun lalu dan pembuatannya hanya memakan masa kira-kira 10 hari yang dilakukan sendiri.
Katanya yang bekerja sendiri sebagai kontraktor, pembinaan itu dilakukan tanpa membabitkan kerja memecahkan dinding atau mengubah struktur rumah sebaliknya hanya menambah ruang di tepi rumah berkenaan.
“Kalau lihat dari luar memang ia nampak seperti rumah yang diubah suai tetapi sebenarnya dinding rumah ini ‘ditampal’ dengan struktur yang hanya menggunakan skru tanpa membabitkan proses pecah dan bina semula.
“Konsepnya sama seperti rumah pangsa lain yang membesarkan awning (sengkuap) untuk dijadikan sebagai tempat menyidai pakaian,” katanya ketika ditemui di rumah berkenaan, hari ini.
Menurut Abdul Razak, bahan yang digunakan pada struktur binaan itu adalah yang berkualiti dan idea konsep tradisional yang ditampilkan itu adalah secara kebetulan.
“Selain besi padat yang dicat dengan warna seperti kayu, bumbung pula diperbuat daripada getah tahan lasak bagi mengelakkan bunyi bising apabila hujan.
“Konsep tradisional itu adalah kebetulan. Saya hanya membuat perkara yang mudah dan cepat sahaja. Memang bentuknya seperti itu, bukan kerana minat atau apa-apa,” katanya yang sudah lebih 10 tahun mendiami rumah itu.
Menurut bapa kepada lima anak itu, pada mulanya struktur binaan yang dianggarkan menelan kos lebih RM10,000 itu mahu dijadikan tempat menyidai pakaian namun kini ia juga dijadikan sebagai lokasi berehat dan tidur.
Katanya, binaan dengan panjang kira-kira sembilan meter itu sedikit pun tidak mengganggu kawasan jalan di pangsapuri berkenaan malah penduduk turut berbangga dengan binaan itu yang mencantikkan lagi bangunan kediaman mereka.
Sejak Isnin lalu, dua gambar rumah Abdul Razak menjadi tular di laman sosial dan menampakkan seperti rumah kayu yang diubah suai pada rumah pangsa sehingga menerima pelbagai reaksi daripada netizen.
Via: Mstar
Sumber Video: Rumah papan di pangsapuri 12 tingkat jadi viral
0 Response to "Video: Rumah papan di pangsapuri 12 tingkat jadi viral"
Post a Comment