Undi belah bahagi matangkan demokrasi ― Mohammad Fakhrurrazi

28 NOVEMBER ― Pada malam 20 November 2017, Dewan Rakyat menyaksikan persaingan sengit undi belah bahagi dalam bahas peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Ramai tidak menyangka perbahasan tersebut  menjadi nyawa-nyawa ikan buat kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam bajet 2018. 

Dengan undi 52 menyokong dan 51 menolak, ia menimbulkan pelbagai pandangan ke atas wakil rakyat yang mengambil bahagi semasa perbahasan, terutama sekali blok BN yang hampir gagal menyelamatkan menteri KPDNKK waktu itu. 

Hakikatnya, undian pada Isnin itu menyaksikan hakikat sebenar perjalanan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia yang kian sepi dalam memberi tekanan kepada kerajaan BN. Tetapi, masih ada rakyat yang kurang jelas akan kesan undi belah bahagi yang boleh menjadi penentu masa depan rakyat dan dasar kerajaan itu sendiri.  

Nilai undi 

Undi belah bahagi merupakan pendekatan dalam Dewan Rakyat untuk mengundi sesuatu dasar yang dibentang. Berbeza dengan undi suara, pendekatan itu memerlukan kiraan undi setiap wakil rakyat secara individu. Tetapi, bagaimana undi belah bahagi mampu menghalang dan mendesak pihak kerajaan di parlimen?

Berdasarkan amalan demokrasi matang di beberapa negara, undi belah bahagi menjadi  "mimpi ngeri" buat menteri. Ahli parlimen diberi peluang mengundi berdasarkan kapisitinya. Sekiranya majoriti ahli parlimen tidak bersetuju dengan sesuatu dasar, maka ia akan memberi tamparan hebat kepada mandat sebuah kerajaan untuk meneruskan pemerintahannya. 

Bekas perdana menteri Britain, David Cameroon mengalami kekalahan sembilan kali di House of Commons semasa kepimpinannya. Usul yang dibawa David Cameroon pada 2011 untuk membahaskan isu ekonomi dengan Kesatuan Eropah ditolak oleh 213 ahli parlimen yang diketuai parti Buruh berbanding 79 orang yang menyokong menerusi undi belah bahagi, menyebabkan kerajaan Britain gagal meneruskan agendanya. 

Kerajaan David Cameroon tewas sekali lagi di parlimen pada 2016 ketika membawa dasar membenarkan kerajaan tempatan England dan Wales menambah waktu operasi berniaga setiap hari Ahad, dengan undi belah bahagi iaitu 317 undi menolak berbanding 286 undi menyokong. Lebih buruk lagi usul kerajaan David Cameron ditolak oleh 27 ahli parlimen partinya sendiri. 

Timor Leste, sebuah negara muda membuktikan peranan ahli parlimen pembangkang dalam menolak dasar kerajaan melalui pimpinan Mari Alektri. Pakatan ahli parlimen pembangkang secara majoriti menolak perancangan lima tahun kerajaan untuk Timor Leste di parlimen pada 20 Oktober 2017, menyebabkan kerajaan tidak dapat meneruskan insentif dalam sektor kesihatan serta pembangunan dengan undi belah bahagi 35 menolak dan 30 ahli parlimen parti memerintah menyokong. 

Jelas undi belah bahagi secara asasnya memberi tekanan kepada kerajaan yang memerintah. Sebarang penolakan ahli parlimen ke atas dasar dan perancangan kerajaan di parlimen menyebabkan kerajaan hilang mandat dan kepercayaan untuk terus mentadbir negara. Itulah salah satu nilai kuasa undi belah bahagi yang mampu memberi tekanan kepada kerajaan supaya melaksanakan dasar yang menguntungkan rakyat. 

Mengapa KDPNKK? 

Langkah wakil rakyat pembangkang meminta undi belah bahagi untuk belanjawan 2018 KPNKK merupakan pendekatan berkesan untuk mendesak menteri mendengar keluhan rakyat. Tekanan cuba dizahirkan oleh wakil rakyat pembangkang berdasarkan kelemahan kementerian itu dalam menguruskan kos sara hidup yang membebani rakyat Malaysia. 

Lihat sahaja lambakan kes penipuan hak pengguna dan kenaikan harga barang diperjuangkan oleh persatuan pengguna di ruang awam kepada KPDNKK, sering tidak diendah. Begitu juga hasrat wakil rakyat pembangkang untuk mendesak kerajaan mendengar keluhan pengguna di Dewan Rakyat. 

Perkara ini sukar berlaku dalam parlimen Malaysia memandangkan BN menguasai 133 kerusi Dewan Rakyat. Kebanyakan wakil rakyat mengundi sesuatu dasar berdasarkan arah tuju partinya yang dikawal rapi oleh seorang pemimpin yang digelar ketua whip. Walaupun banyak keluhan yang dibawa pihak BN di parlimen mengenai kos sara hidup rakyat, tetapi mereka tidak mempunyai daya mendesak KPDNKK memandangkan keterikatan dengan arahan parti. 

Jadi, amat sukar buat wakil rakyat pembangkang untuk menolak setiap belanjawan kementerian lain kerana mereka tidak mempunyai majoriti dalam Dewan Rakyat. Tetapi, atas kekurangan pihak BN di parlimen ketika pergulangan menteri dan kos sara hidup rakyat yang kian terbeban, maka undi belah bahagi KPDNKK memberi nilai penting dalam membawa kemarahan rakyat di parlimen. 

Bukan "main-main"

Ada sesetengah pihak melihat isu ini dalam sudut pandang berbeza, tetapi yang paling penting setiap keputusan di Dewan Rakyat tidak harus dipandang ringan. Jika undi belah bahagi dianggap sandiwara, maka mengapa timbalan perdana menteri menempelak kegagalan hampir 80 ahli parlimen BN yang gagal hadir waktu pengundian sehingga mengambil tindakan disiplin buat mereka? 

Undi menolak belanjawan kerajaan BN di parlimen bukanlah perkara yang mustahil. Pindaan belanjawan 2009 kerajaan BN sebanyak RM7 billion yang dibentang Datuk Seri Najib Razak pernah ditolak oleh Dewan Rakyat dengan kepetahan dan kecekapan wakil rakyat pembangkang melalui kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kali pertama kerajaan BN menerima kekalahan untuk membenarkan dewan rakyat meluluskan perbelanjaan kerajaan.

Kita mengerti bahawa peruntukan untuk KPDNKK diteruskan untuk 2018, tetapi peristiwa ini memberi mesej jelas, iaitu demokrasi berparlimen Malaysia masih punya harapan untuk memperjuangkan nasib rakyat. 

Kecekapan wakil rakyat Pakatan Harapan dalam membuat perancangan untuk menolak peruntukan KPDNKK merupakan langkah positif dalam membawa hasrat rakyat yang kian terbeban dengan kos sara hidup. Begitu juga pendirian wakil rakyat PAS yang turut menolak belanjawan atas dasar mengambil kira beban rakyat di kawasan mereka. 

Lebih penting lagi apabila kejayaan wakil rakyat pembangkang "menekan" KPDNKK menunjukkan kemampuan mereka mencabar kerajaan BN supaya lebih bertanggungjawab kepada parlimen dalam memulihkan kos sara hiudp rakyat. Ketegasan wakil rakyat pembangkang harus diteruskan bagi memastikan demokrasi berparlimen Malaysia bertambah matang dalam menzahirkan suara rakyat. 

* Tulisan ini pendapat peribadi penulis atau organisasinya dan tidak semestinya mewakili pendapat Malay Mail Online.



Sumber Undi belah bahagi matangkan demokrasi ― Mohammad Fakhrurrazi

0 Response to "Undi belah bahagi matangkan demokrasi ― Mohammad Fakhrurrazi"

Post a Comment