Hari 6
Selamat pagi Yazd! Angin sejuk meniup, sarapan pagi ini cukup menyelerakan, ada sosej dimasak dengan puree tomato macam sambal, telur, roti yang hangat dan buah-buahan segar. Selesai sarapan, kami mula bergerak perlahan ke Jame Mosque. Kedudukan Friendly Hotel yang terletak di tengah-tengah Yazd dan hampir dengan tempat-tempat menarik cuma perlukan kami berjalan kaki menyusurinya. Menariknya Old City of Yazd didominasi warna coklat kerana asas pembuatannya adalah tanah liat. Dek kerana itu, kawasan ini sejuk. Ia juga menempatkan lorong-lorong sempit, terowong, rumah-rumah penduduk tempatan dan kawasan jualan kraftangan. Intim sekali.
Jame Mosque of Yazd amat mempesonakan. Siap dibina pada abad ke 14 dan masih digunakan sehingga kini. Seperti biasa, pelancong asing perlu bayar tiket masuk, 150,000 IRR. Kami tak masuk ke dalam, cuma berlegar-legar di hadapan. Ada kedai buku kecil dan perpustakaan. Sewaktu menjenguk ke dalam, pintu berkunci, staff masjid memberitahu mereka akan buka semula selepas solat zohor. Paling menangkap binaan masjid ini adalah ketinggian dua menaranya yang mencecah 52 meter serta jubin biru gaya signature rekaan Parsi.
Kami menelusuri gerai-gerai kraf, barang kemas buatan tangan dan kebanggaan mereka, karpet. Halus buatannya. Old City of Yazd ni macam pagar sesat, kita akan jumpa lorong demi lorong yang tembus entah kemana, macam hidup dengan lorong-lorong godaan gitu. Tapi amat kami sukai, kami disapa seorang lelaki yang sedang mengawasi kerja pembinaan, dia mengajak kami masuk ke satu pintu yang tak bertanda apa-apa – kami masuk tanpa prejudis. Mereka sedang sibuk membina apa entah, kami tak pasti, ada tempat tadahan air yang cantik, tempat duduk, tangga. Naik ke atas semula melalui tangga yang lain, kami keluar di tempat mereka sedang membancuh simen tanah liat. Mungkin lelaki itu menyuruh kami melihat proses pekan tuanya, mungkin. Meski binaan baru, prosesnya masih mengikut tradisi sediakala. Mereka saja yang boleh meneruskan romantis bandar tua mereka ini.
Kami berjalan lagi mengikut kemana lorong itu membawa kami, akhirnya berjumpa sekolah. Oh anak-anak histeris meluru keluar dari sekolah, cepat-cepat naik bas dan kami menerima sapaan paling hingar. Semuanya menjerit hello.
Puas menerokai, kami patah balik ke bilik. Petang itu aku tak keluar, telan ubat dan terus lelap. Mereka yang lain berkeliaran dan bertembung dengan krew filem dari Malaysia. Bernard Chauly sedang bikin penggambaran, pelakon utamanya Fazura. Jadi kau tunggu sajalah cerita itu keluar nanti. Mereka pulang bawa makanan, nasi dan kebab kambing paling murah pernah dijumpai.
Malam itu kami cuma berlegar-legar di kawasan luar masjid, ada deretan kedai-kedai runcit, kraf, kain, kafe dan macam-macam lagi. Kami hanya memerhati gelagat orang sambil makan jagung rebus digaul keju sedikit paprika dan sos tomato. Ada tiga beradik menjaja, seorang dengan kotak gula-gula, seorang lagi dengan chewing gum dan seorang lagi menjual baju-baju diatas tikar. Ramai sekali kanak-kanak di Iran yang bekerja, aku perhatikan dari bazar di Tehran. Malam sejuk, kami yang mengenakan baju sejuk sesekali menggeletar, mereka cuma berkemeja nipis.
Hari 7
Bangun pagi dengan sarapan yang sama, tetap menyelerakan. Kami setuju memanggil Yazd sebagai kota penyembuhan. Semuanya bertambah sihat di Yazd, atau mungkin juga kerana pengurus hotel asyik suruh kami ambil air mineral. Dua hari kami dihujani kata-kata, take it, all firi (free). Padan dengan namanya Friendly Hotel. Kami siap-siap mengemas beg. Aku dan Cik Reen keluar ke Fire Temple sebentar, Khadijah pula demam.
Atashkadeh-e Yazd (Fire Temple of Yazd)
Zoroastrianisme adalah antara agama terawal di dunia, juga dipanggil sebagai agama Majusi. Ia diasaskan oleh Zarasthura lebih kurang 3500 tahun dahulu. Pernah menjadi agama rasmi Parsi semasa pemerintahan empayar Achaemenid. Darius I misalnya bersumpah atas nama Ahura Mazda. “I am the King by Grace of Ahura Mazda”, ia ditemui didalam inskripsi sejarah kerajaan terbabit.
Zarasthura melakukan pembaharuan dalam ketuhanan ketika rata-rata masih berpegang dengan animisme, paganisme dan politeisme. Ajaran Zarasthura mengajak menyembah Tuhan Yang Satu iaitu Ahura Mazda.
Aku mula-mula ingat mereka menyembah api, itulah yang aku tahu pasal agama Majusi pun. Rupanya ia lebih dari itu, api dianggap elemen yang suci dan mewakili cahaya Tuhan. Atashkadeh-e Yazd ini dibina pada tahun 1934, mereka percaya tapak kuil ini didirikan adalah tapak lama Yazda. Bila masuk je ke dewan utama, kita akan segera nampak api didalam bekas tembaga sebalik kaca. Api suci didalam bekas tembaga tersebut dikatakan tidak pernah terpadam dari tahun 470 M. Ia dipindahkan dari satu kuil ke kuil lainnya, dan kekal dari tahun 1934 di Yazd.
Keluar dari bangunan utama, kami ke belakang sedikit. Disitu penuh informasi lengkap tentang sejarah, amal ibadat, kitab dan cara hidup penganutnya. Salah seorang penjaga disitu ceritakan tentang amalan bersunat dan zakat cara mereka. In Islam you have taklif and zakat, same, waktu solat mereka juga hampir sama dengan waktu solat kita. Kami ke bawah pula, ada galeri gambar dan tiba-tiba tangga ke bahagian bawah. Nah, rupanya tempat berdoa. Ditemani cahaya LED dan kesunyian.
Pulang ke hotel menaiki teksi yang sama, 160,000 IRR bagi perjalanan pergi dan balik serta tiket masuk 150,000 IRR. Berkemas dan tunggu di bahagian lobi hotel. Pengurus hotel cukup baik bagi kami simpan beg sehingga waktu naik bas malam nanti. Tandas diluar juga boleh diakses untuk mandi.
Jam 3.30 petang, kami menunggu pemandu yang akan bawa kami ke padang pasir. Ada banyak padang pasir di Yazd, pilih saja dengan ongkosnya. Kami tak ambil pakej yang ditawarkan semasa kami datang, sebaliknya ada satu syarikat yang menawarkan pakej dengan harga paling murah dekat dengan hotel kami. Mereka juga buat tour keliling Old Yazd City setiap hari dengan percuma. Untuk itu, kami perlu bayar 500,000 IRR seorang.
Baran Desert
Jalil, pemandu pelancong yang bercakap Inggeris laju ya amat. Yang dapat aku tangkap dalam kereta cuma Baran Desert (disebut Boron), sunset dan tea – dan itulah itinerari kami petang ini. Perjalanan bermula ke rumahnya dahulu, menunggu kereta pacuan 4 roda dan abangnya. Dua adik beradik ni yang akan bawa kami ke sana.
Kami sangkakan perjalanan di padang pasir dengan pacuan empat roda manis dan lemah lembut, rupanya tidak. Panjang doa dan jerit kami sepanjang waktu. Berbaloilah latihan suara kami, cantik dan ada tasik.
Jalil ceritakan, tasik ini adalah tasik buatan lama dahulu, entah era pemerintahan apa. Oleh kerana Yazd adalah kawasan padang pasir, mereka punya krisis bekalan air. Dengan cara mengorek sebahagian padang pasir, mereka memerangkap air hujan disitu dan dapatlah digunakan oleh semua. Sebab itu namanya baran, didalam bahasa Parsi bermaksud hujan. Tambah Jalil lagi, disitu dapat kita saksikan dua sunset, muka aku macam pelik sikit. Rupanya satu lagi bayang matahari tu dekat air tasik.
Jalil pemandu pelancong kami ni kelainan upaya. Kakinya tempang kerana dilanggar satu masa dulu. Dari bekerja sebagai pemotong daging sambung belajar IT, kemalangan dahsyat yang menyebabkan dirinya koma satu tahun. Tersedar semula, berjuang belajar Literature in English dan ambil kursus pelancongan setahun.
Usai menatap senja, kami singgah di kawasan liburan tengah padang pasir, punya teh, shisha dan kedai runcit. Berhenti sebentar dalam gelap dan keluar dari kereta, Jalil suruh kami semua pandang ke atas. Kau tahu, aku belum pernah saksikan ribuan bintang macam tu. Terlalu menakjubkan.
Pulang ke hotel semula lepas sesi teh lagi sekali dekat taman, kami jumpa Masoud lagi. Dia bawa pelancong Australia dari Shiraz ke Yazd. Seperti biasa, Masoud tanya kami akan kemana selepas ini dan sedaya upaya mengatur pemandu, hotel dan tour kami di Esfahan.
Jam 11:40 malam kami ucapkan selamat tinggal kali terakhir pada Masoud dan pengurus hotel, bergerak ke stesen bas untuk perjalanan ke Esfahan. Harga tiket bas dari Yazd ke Esfahan, 200,000 IRR termasuk komisen agen. Kami beli di tempat sama menempah tour. Oh ya, harga hotel bagi dua malam adalah 85 USD, harga off season dengan bilik empat katil yang besar. Kaching!
Bersambung
Alynn Sharuddin
#MaklinJalanJalan
#Iran
Sumber Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Lima
0 Response to "Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Lima"
Post a Comment