Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Empat

Masih Hari ke 3

Selepas berbelas jam jaga dan lelap dalam teksi, Masoud tunjukkan Pasargadae dari dalam kereta. Katanya kami tak perlu ke Pasargad kerana mengejar masa ke Necropolis dan Persepolis. Pasargad adalah kota yang dibina oleh Cyrus The Great tetapi tak sempat siap kerana kematiannya semasa perang. Cyrus The Great adalah pengasas Empayar Achaemenid (500-330SM). Empayar ini digelar sebagai First Persian Empire. Ia juga batu asas kepada pembentukan negara Iran moden yang kita kenal sekarang. Di Pasargad, ada kubur Cyrus The Great. Dijaga dengan baik dan diisytihar sebagai salah satu Unesco’s World Heritage. Iran juga menyambut Cyrus The Great Day pada 28 Oktober setiap tahun.

Naqsh-e Rustam (Necropolis)

Necropolis bermaksud kuburan berskala besar. Sebaik saja membelok di kawasan ladang gandum, aku dah teruja, memang besar gila. Tiket masuk ke Necropolis berharga 200,000 IRR seorang. Kami sampai waktu matahari tegak atas kepala, sememangya panas. Makam disini menempatkan Darius II, Artzxerxes, Darius The Great dan Xerxes. Dikhabarkan antara makam Darius The Great dan Xerxes sepatutnya makam Darius III tetapi tak sempat siap.

Necropolis. Makam Darius II & Artaxerxes. Pintu tu macam terbuka je. Sculpture relief.

Takth-e Jamshid (Persepolis)

Hegel menjuluki Dinasti Achaemenid sebagai first historical people didalam bukunya The Philosophy of History. Persepolis merupakan runtuhan istana dan kota lama. Aku tak ingat berapa keluasan asal Parsa ni dulu, Masoud ada beritahu. Persepolis bermaksud City of Persian People. Persepolis dibina pada 518 SM oleh Darius I. Tujuan asalnya sebagai istana keraian berubah menjadi ibu kota empayar ini. Empayar kekuasaan ini adalah empayar paling besar mengalahkan empayar lain yang pernah ada. Jadi, setiap kawasan taklukannya akan datang ke Persepolis untuk menyampaikan hadiah. Macam ufti kot?

Peta Persepolis.

Salah satu relief menunjukkan tentang gift bearer ini. Fungsi Persepolis terbahagi kepada tiga, iaitu kawasan diraja, kawasan ketenteraan dan kawasan perbendaharaan. Dari bawah kita segera nampak tiang-tiang yang dipanggil Gate of All Nations. Ada kawasan simpanan harta, ada kawasan keraian, makam, istana-istana kecil. Didalam kawasan ni ada muzium juga untuk pemahaman lebih lanjut tentang Persepolis. Kalau kau punya daya yang lebih, boleh memanjat kaki gunung Kuh-e Rahmat untuk meninjau tinggalan lain termasuk kuil.

Mendaki Persepolis. Sculpture relief yang ni tunjukkan gift bearer. Ni aku tak ingat apa maksudnya. Gate of All Nations. Keluar dari Persepolis, ada unta dan kuda untuk ride. 150,000 IRR.

Kami teruskan perjalanan ke Bandar Shiraz. Kebiasaannya bagi pelancong yang menaiki bas, mereka perlu berpatah balik dari Shiraz kesini. Pro dan kontra sesuatu pilihan kenderaan. Masoud tanyakan penginapan kami di Shiraz dan rekomen hotel. Kami jujur saja yang kami ini broke traveler. Katanya never mind, its off season, surely the hotel will give you much discount. Tambahnya lagi hostel yang kami nak inap tu tak selesa. Kami pun sampai di Hotel Arian, lepas tawar menawar dan drama sikit, kami dapat harga 110 USD untuk dua malam beserta sarapan pagi. Harganya sama seperti hostel. Kaching!

Malam itu kami tak mampu keluar makan malam selepas perjalanan 21 jam dari Tehran. Kami cuma meratah sambal ikan bilis yang mak Cik Reen bekalkan. Lucu perihal bawa makanan dari Malaysia atau makan makanan tempatan sahaja jadi perbalahan antara kaki jalan-jalan. Itukan pilihan peribadi? Jadi terserah dirimu untuk bawa beras atau maggi, kau yang membayar berat bagasi.

Hari 4

Hari baru di Shiraz. Angin pagi sejuk sekali, tengahari pula panas berdengking dan malam sekali lagi tidur tak perlu penyaman udara. Dek kerana panas sejuk, panas sejuk, aku mula demam. Jadi ada baiknya persiapkan diri dengan ubat-ubatan yang sesuai. Usai sental sarapan hotel, kami ambil teksi untuk ke Nasr al-Mulk. 200,000 IRR tambang dua hala.

Nasr al-Mulk (Pink Mosque)

Pintu masuk Nasr al-Mulk.

Masjid Nasr al-Mulk adalah antara 10 masjid tercantik didunia. Masjid yang legendaris ini dibina pada tahun 1876 dan siap pada tahun 1888. Ia dibina semasa era pemerintahan Qajar. Tingkap yang berwarna-warni itu dibina khas untuk menangkap cahaya matahari pagi. Masoud pesan supaya kami sampai pada 7.20 pagi, meskipun lewat sedikit, pesonanya tetap kami nikmati. Kompleks masjid ni besar, terbahagi kepada beberapa bahagian; kawasan solat, galeri taman dan kawasan ini yang sentiasa sesak dengan pengunjung. Selain cahaya yang melekakan itu, apa yang menangkap pandangan kami adalah silingnya. Direka oleh arkitek Iran sendiri, rekaan itu digelar sebagai Panj Kase atau five concaved design. Ia dipanggil orang tempatan sebagai Pink Mosque kerana penggunaaan jubin berwarna merah jambu yang mendominasi hiasan dalaman.

Tingkap warna-warni yang legendaris. Ramai orang buat fotografi dekat sini. Aku tak pasti ni tempat apa, tapi ada nampak orang duduk berdoa.

Lagi biasan cahaya matahari di tingkap Nasr al-Mulk. Lengkungan ni indah sekali. Salah satu siling Nasr al-Mulk. Di bahagian luar.

Kami pulang semula ke bilik hotel, sebelum itu sempat terpandangkan spaghetti dan kuahnya di kedai runcit. Maka makan tengahari kami masak sendiri memandangkan bilik kami disediakan dapur bersama. Kosnya cuma 134,000 termasuk cheese dan ham. Jimat!

Petangnya, Masoud bawa kami tour ke Pink Salt Lake di selatan Shiraz. Kos tour adalah 25 USD dan tips 5 USD. Kami bersama-sama dengan anak isterinya. Isteri Masoud, Maryam juga adalah pemandu pelancong. Pemegang Master dalam English Literature, pernah menulis buku dan menterjemah buku Edward de Bono ke dalam bahasa Parsi. Kekesalannya adalah peluang pekerjaan yang terhad di Iran. Katanya lagi mereka bercita-cita untuk mulakan hidup di negara baru demi masa depan anak-anak yang lebih baik. Bukan satu kisah baru, ramai yang bercita-cita begitu.

Maharloo Lake (Pink Salt Lake)

Maharloo Lake.

Selain dua nama diatas, ia juga digelar Namak Lake oleh orang tempatan. Cukup indah. Aku setuju nak datang sini sebab Masoud kata pemandangan matahari terbenam disini sangat cantik. I’m sunset people. Tak ramai pelancong asing disini, mungkin ianya masih asing dari senarai 10 Tempat Mesti Pergi Jika….. Garam yang terhasil disini hanya untuk kegunaan industri, bukan untuk makanan. Warna merah yang terjadi adalah kerana kehadiran plankton dan alga. Keseluruhan tasik ni amat luas, entah berapa ratus kilometer radiusnya. Usai klik berapa puluh gambar, kami minum teh dan makan tembikai bersama diatas timbunan garam.

Takjub betul aku tengok garam ni. Piknik.

Hafez Tomb

Hafez Tomb.

Siapa yang tak kenal penyair agung Parsi ini? Makam Hafez tak pernah surut pengunjung. Barisan membeli tiketnya amat panjang, walhal hari dah malam dan bukan waktu cuti. Selain makam Hafez, juga ditempatkan makam beberapa penyair asal Shiraz disini. Ada yang membaca Divan, ada yang menangis, ada yang duduk dan terbuai dalam alunan puisi yang dipasang sepanjang masa. Arsitektur makam juga mempesona, tak akan kau rasa takut, orang disini berlibur dengan anak-anak.

Arsitektur siling makam Hafez. Penuh. Hafez Tomb

Ada banyak lagi tempat dan bangunan yang boleh diterokai di Shiraz, misalnya bazar, Quran Gate, Shah Cheragh Mosque tetapi kami pilih untuk berdamai dengan kondisi kesihatan badan. Ada banyak hari lagi untuk ditempuh. We take it slowly.

Malamnya kami ulang masak spaghetti dan mengemas untuk ke tempat baru.

Hari 5

Bersiap, sarapan dengan semangat walaupun dah tak mampu kunyah roti. Kami ambil teksi ke stesen bas. Masoud dah booking tiket bas VIP untuk kami beserta diskaun. Harga asal 340,000 IRR jadi 280,000 IRR. Bukan saja urusan disini, hotel dan teksi di Yazd nanti juga dah diselesaikan. Jodoh kami disini adalah urusan yang amat-amat lancar.

Kami tempuhi perjalanan 5 jam dari Shiraz ke Yazd dengan perut yang dah berkeroncong. Sepanjang jalan kiri dan kanan tandus, dan perlahan-lahan kami nampak lampu kawasan bandar di tengah-tengah padang pasir.

Pemandu yang ambil kami dari stesen bas ke hotel tunjukkan tour yang boleh kami ambil di Yazd, padang pasir atau tinggalan purba agama Majusi. Dalam fikiran kami cuma ada restoran.

Check in Friendly Hotel yang terletak dalam Old City of Yazd dan makan. Makanan malam tu paling mewah kami sepanjang beberapa hari, 585,000 IRR; nasi, ayam bakar, kebab kambing, burger dan coklat panas. Pulang dan tidur nyenyak.

Alynn Sharuddin 

Bersambung

#MaklinJalanJalan
#Iran



Sumber Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Empat

Related Posts :

0 Response to "Tiga Belas Hari Mengenal Iran Yang Kontroversi : Bahagian Empat"

Post a Comment

Recent Post With Sliding Effect